
NARATHIWAT (Selatan Thai): Satu lagi letupan bom kereta berlaku di wilayah ini malam tadi (29 September 2024), menyusul beberapa serangan yang menyasarkan pihak berkuasa Thailand di Selatan Thai, sejak beberapa hari lalu.
Kejadian kira-kira jam 9.50 malam tadi berlaku di hadapan rumah Pegawai Daerah Tak Bai, Jirat Siriwanlop, menyebabkan dua pengawal keselamatan cedera.
Beberapa rumah penduduk berhampiran tempat kejadian turut rosak.
Tak Bai adalah daerah yang bersempadan dengan Pengkalan Kubor, Malaysia yang dipisahkan oleh Sungai Golok. Ia adalah pintu keluar masuk penduduk tempatan dan pelancong Malaysia yang menggunakan feri.
Dua pengawal keselamatan yang cedera ialah Kantayot Binream, 22 tahun, dan Anuwat Mera, 22. Mereka dihantar ke Hospital Tak Bai sebelum dipindahkan ke Hospital Narathiwat.

Minggu lalu, dua serangan bom ke atas anggota pasukan keselamatan dilakukan iaitu melibatkan kenderaan renjer di Daerah Ra-Ngae, Narathiwat pada 26 September, dan serangan ke atas bas yang membawa anggota polis di Daerah Sai Buri, Wilayah Pattani, sehari kemudian.
Menurut polis, dalam kejadian malam tadi lima lelaki memakai balaclava dan bersenjata api melarikan sebuah kereta baharu jenis MG milik isteri seorang pegawai renjer yang diletakkan dihadapan rumah, iaitu kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian.
Kira-kira sejam kemudian, seorang penyerang memandu kereta berkenaan yang telah dipasang dengan bom buatan sendiri dan diletakkan di hadapan kediaman Pegawai Daerah Tak Bai, iaitu berhampiran persimpangan tiga hala, tidak jauh dari Kem Kor Pertahanan Sukarelawan Ke-5.
Penyerang terbabit kemudian melarikan diri menaiki motosikal ditunggangi rakannya.
Selang beberapa minit letupan berlaku. Ketika kejadian, Jirat Siriwanlop dikatakan berada di bandar Narathiwat.
Dua anggota marin yang berpakaian awam dikatakan sedang berjalan berhampiran ketika letupan berlaku, menyebabkan kedua-duanya cedera terkena serpihan.
Pasukan keselamatan menganggarkan letupan itu menggunakan bom buatan sendiri seberat antara 50 dan 80 kilogram.
Susulan kejadian itu, pasukan keselamatan menutup laluan berkenaan selain memperketatkan kawalan dengan menambah lagi sekatan pemeriksaan di Majlis Perbandaran Tak Bai dan Majlis Perbandaran Sungai Golok.
Sungai Golok adalah bandar yang bersempadan dengan Rantau Panjang, Kelantan.

Kejadian di Tak Bai malam tadi adalah serangan bom kereta ketiga untuk tahun ini yang berlaku di Selatan Thai.
Kejadian pertama berlaku pada 30 Jun lalu berdekatan flat polis Bannang Sata, Wilayah Yala, menyebabkan seorang terbunuh dan lebih 30 orang lagi, kebanyakannya ahli keluarga anggota polis cedera.
Serangan bom kereta kedua berlaku di tepi agar Bahagian Siasatan Jenayah Polis Wilayah Pattani pada 9 Ogos lalu.
Untuk rekod, sejak ketegangan memuncak selepas pembunuhan beramai-ramai penduduk Melayu Islam di Takbai pada 25 Oktober 2004, terdapat 64 serangan bom kereta dilancarkan terhadap pasukan keselamatan Thai dengan bom kereta pertama adalah pada 2005.
Berikut adalah pecahan serangan bom kereta yang berlaku di Selatan Thai:
- Wilayah Narathiwat (26 kejadian);
- Wilayah Yala (15 kejadian);
- Wilayah Pattani (18 kejadian); dan
- Wilayah Songkhla (empat kejadian di empat daerah).
Terdapat satu lagi serangan bom kereta di luar empat wilayah terbabit iaitu yang berlaku di tempat letak kereta pusat beli-belah Central Festival di Daerah Koh Samui, Wilayah Surat Thani pada 2015, yang turut dikaitkan dengan kumpulan bersenjata Selatan Thai.






Leave a Reply