PUTRAJAYA, 3 Jun: Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) terus memperkukuh agenda pemuliharaan biodiversiti negara menerusi penganjuran Biodiversity Forum 2026 (Bio-D Forum 2026) yang memberi tumpuan kepada pendekatan kehidupan bersama manusia dan hidupan liar dalam landskap perladangan kelapa sawit.

Forum dwitahunan yang berlangsung di The Everly, Putrajaya itu bertemakan “Coexistence in Malaysian Oil Palm Plantation Landscapes” . Program dua hari ini menghimpunkan 500 peserta dari dalamdan luar negara, turut mendapat sokongan daripada 50 syarikat dan organisasi.

Lebih 30 pembentang  kertas kerja berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam bidangb iodiversiti untuk dimanfaatkan bersama. Program bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai pendekatan coexistence bagi menangani konflik manusia dan hidupan liar sambil menyokong pengurusan perladangan secara mampan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof. Hadir sama, Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud.

Antara tetamu yang hadir pada majlis perasmian termasuk Pengerusi Malaysian Palm Oil Board (MPOB), Datuk Mohamad Helmy Othman Basha; Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir; Timbalan Ketua  Pengarah Konservasi Perhilitan, Datuk Fakhrul Hatta Musa, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr Shamsul Bahri Tamrin, serta Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Prof. Dr Goh Yong Meng.

Yusran Shah dalam ucapannya berkata, program seumpama ini membuktikan komitmen berterusan daripada pihak yayasan dan agensi berkaitan dalam usaha memperkukuh agenda pemuliharaan biodiversiti dalam lansakap industri sawit negara.

Katanya, Malaysia antara negara yang memiliki mega biodiversiti dunia dengan dikurniakan kekayaan sumber semula jadi yang amat bernilai.

Kepelbagaian biologi ini bukan sahaja menjadi aset strategik negara, malah berperanan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem serta menyokong  kesejahteraan hidup manusia secara menyeluruh.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa menunjukkan  komitmen yang tinggi dalam berhadapan agenda biodiversiti melalui pelbagai dasar dan inisiatif pemuliharaan secara menyeluruh.

Katanya, kerjasama erat antara semua pemegang taruh sangat penting bagi memastikan kelestarian biodiversiti negara dan masa depan industri sawit Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Hairulazim berkata, penganjuran forum tahun ini dijayakan dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan merupakan edisi kedua selepas kejayaan Biodiversity Forum 2024. Beliau berkata, MPOGCF sudah melaksanakan lebih 30 projek membabitkan pemuliharaan hidupan liar, pemulihan hutan terosot, kajian saintifik biodiversiti di kawasan sawit serta pelaksanaan amalan pengurusan terbaik dalam kalangan pekebun kecil sawit.

Antara projek tersebut katanya, termasuklah pemulihan hutan habitat Orang Utan di Lower Kawag, Hutan Simpan Hulu Segama di Lahad Datu; Sabah. Pada masa sama  MPOGCF turut mewujudkan Pusat Konservasi Gajah Borneo di Kinabatangan Sabah.

Katanya, inisiatif berkaitan termasuk menjayakan program konservasi Harimau Malaya di dua lokasi iaitu di Lanchang, Pahang dan Sungkai Perak serta program Tabin Sun Bear di Tabin Wildlife Reserve Lahad Datu di Sabah.

Majlis perasmian turut disempurnakan dengan sesi pelancaran buku garis panduan perladangan Lestari bertajuk “GAP4WILDLIFE: Guidelines for Diversity Friendly Plantation dan Pertukaran Memorandum Persefahaman(MoU) antara MPOGCF, YP  Hevea Sdn Bhd dan UPM.

Sepanjang forum berlangsung, peserta berpeluang mengikuti pelbagai sesi termasuk ucaptama, forum panel, pembentangan teknikal, sesi poster dan aktiviti jaringan profesional. Antara tema utama yang dibincangkan ialah Human-Wildlife Coexistence, Challenges and Limitations in Implementing Coexistence, Connecting Landscapes and Sustaining Wildlife serta Managing Biodiversity Sustainably within Oil Palm Landscapes oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latiff Mohamad dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Penasihat Kumpulan Dagangan Prestige, Muhammad Al-Shafieq Mustafah.

Topik perbincangan turut mengetengahkan beberapa inisiatif pemuliharaan biodiversiti termasuk program OrangUtanDiplomacy (OUDip) oleh MPOGCF di Sungai Pin Conservation Area, Kinabatangan, Sabah.

Program memberi fokus kepada usaha pemuliharaan orang utan secara in-situ melalui pemulihan habitat, penyelidikanbiodiversiti, sokongan kepada renjer hidupan liar dan pelaksanaan program kesedaran awam. Selain itu, perbincangan forum turut menekankan kepentingan koridor hidupan liar, pembangunan food bank, pengurusan biodiversity mampan serta strategi jangka panjang bagi mengurangkan konflik manusia dan hidupan liar tanpa menjejaskan kelangsungan ekonomi pengusaha ladang dan pekebun kecil.

Usaha ini sejajar dengan objektif penubuhan MPOGCF untukterus menyokong usaha pemuliharaan berkaitan industri sawit dan mencerminkan komitmen sektor itu terhadap pemeliharaan alam sekitar. 

Yayasan turut berperanan mempromosikan amalan mampan industri sawit Malaysia di peringkat global melalui pelbagai program pemuliharaan dan pengurusan warisan semula jadi negara.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading