
Mahkamah Wilayah Narathiwat di Selatan Thai menetapkan esok (Isnin, 24 Jun 2024) sebagai tarikh perbicaraan awal terhadap sembilan pegawai kerajaan, termasuk tentera dan polis, yang dituduh terbabit dalam Tragedi Tak Bai yang menyebabkan 85 individu terbunuh, pada 25 Oktober 2004.
Pusat Yayasan Peguam Muslim dalam satu kenyataan hari ini menyatakan Mahkamah Wilayah Narathiwat akan memulakan pendengaran awal esok, bagi menentukan sama ada terdapat asas yang kukuh untuk memfailkan aduan jenayah atau tidak terhadap pegawai terbabit.
“Pada 24 Jun 2024 jam 9:00 pagi Mahkamah Wilayah Narathiwat menjadualkan pendengaran awal untuk menentukan sama ada kes itu mempunyai asas untuk difaikan sebagai aduan jenayah atau tidak.
“Dalam kes di mana mereka yang cedera dan keluarga mereka yang terbunuh dalam penyuraian tunjuk perasaan di hadapan Balai Polis Tak Bai pada 25 Oktober 2004, memfailkan saman terhadap sembilan pegawai kerajaan yang bertugas ketika kejadian,” kata kenyataan itu.

Yayasan Peguam Muslim turut menyenaraikan sembilan pegawai dan bekas pegawai kerajaan Thailand yang terlibat dalam menyuraikan penunjuk perasaan itu.
Mereka ialah:
- Defendan Pertama adalah bekas panglima Wilayah Tentera Ke-4 ketika itu;
- Defendan Kedua ialah bekas Timbalan Komander Wilayah Tentera ke-4 ketika itu;
- Defendan Ketiga ialah bekas Panglima Raja Rama 5 ketika itu;
- Defendan Keempat ialah bekas Pengarah Pusat Gerakan Polis Diraja Thai;
- Defendan Kelima ialah bekas Komander Polis Wilayah 9;
- Defendan Keenam ialah bekas Penguasa Balai Polis Tak Bai ketika itu;
- Defendan Ketujuh ialah bekas Timbalan Penguasa Balai Polis Tak Bai ketika itu;
- Defendan Kelapan ialah Timbalan Pengarah Direktorat Mempromosi Keamanan Wilayah Sempadan Selatan dan merupakan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Dalam Negeri ketika itu; dan
- Defendan Kesembilan ialah Gabenor Wilayah Narathiwat pada masa kejadian.
Menurut Yayasan Peguam Muslim itu, sejak tarikh pemfailan kes berkenaan pada 25 April 2024 lalu, pasukan undang-undang telah menyerahkan beberapa sapina untuk mendapatkan dokumen daripada pelbagai agensi kerajaan.
“Pada 12 Jun 2024, pasukan undang-undang menghantar lima sepina ke Mahkamah Wilayah Narathiwat, meminta dokumen, perintah dan laporan menyiasat fakta insiden Tak Bai.

“Sapina juga dihantar kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRC); Sekretariat Kabinet (SLOC); dan Majlis Keselamatan Negara (NSC) yang menyatakan bahawa dokumen mengikut waran mesti dihantar ke Mahkamah Wilayah Narathiwat sebelum 24 Jun 2024 untuk pertimbangan selanjutnya.
“Walaupun kemudiannya diketahui bahawa dokumen rasmi yang berusia hampir 20 tahun mungkin tidak tiba di mahkamah pada hari perbicaraan. Beberapa dokumen ini boleh dicari di internet,” kata yayasan itu.
Kenyataan itu menyatakan pada 25 April 2024, iaitu hari kes Tak Bai difailkan, timbul keraguan mengapa Polis Wilayah 9 menghantar arahan untuk tidak memfailkan pertuduhan dalam siasatan kes di Tak Bai itu.
Mengikut Kanun Jenayah Seksyen 288 dan Seksyen 83 dalam kejadian Tak Bai dengan pendapat dalam surat yang ditujukan kepada Peguam Negara bahawa ia adalah tindakan yang sesuai dengan kes dan merupakan peristiwa force majeure (istilah undang-undang untuk kejadian yang tidak diduga).
Oleh itu, pasukan undang-undang mengeluarkan sapina untuk memperoleh kedua-dua dokumen itu. Empat dokumen bedah siasat kejadian dan empat dokumen ‘pembunuhan di luar undang-undang’ dipertimbangkan untuk dibentangkan di mahkamah esok.
Pada 20 Jun 2024, defendan pertama dan kesembilan memfailkan petisyen meminta mahkamah memutuskan isu perundangan awal, manakala defendan ketiga pula mengemukakan kenyataan fakta dan isu undang-undang meminta mahkamah memutuskan supaya aduan 48 plaintif tidak mempunyai asas.

Seramai 48 plaintif memfailkan aduan jenayah di Mahkamah Wilayah Narathiwat terhadap pegawai terlibat.
Mereka memfailkan tuntutan atas pertuduhan melakukan kesalahan secara bersama di bawah Kanun Jenayah, pertuduhan membunuh orang lain dengan penyeksaan atau kekejaman mengikut Seksyen 288, Seksyen 289 (5), Seksyen 309 dan Seksyen 310.
Di bawah undang-undang Thailand, statut kes 20 tahun itu akan berakhir pada Oktober 2024, sekali gus menghalang sebarang tindakan undang-undang selepas tempoh itu.
Pada 25 Oktober 2004, anggota keselamatan dari pelbagai unit tentera dan polis Thai telah dikerah untuk menyuraikan umat Islam yang berdemonstrasi di hadapan sebuah balai polis di daerah Tak Bai.
Kejadian pada bulan Ramadan itu bermula apabila enam penduduk tempatan ditahan dan dituduh membekalkan senjata kepada pihak pemberontak. Penahanan mereka dibantah oleh penduduk tempatan yang kemudiannya mengadakan perhimpunan dan tunjuk perasaan bagi menuntut pembebasan rakan serta sanak saudara mereka itu.
Perhimpunan tersebut bertukar menjadi ganas apabila tentera menggunakan gas pemedih mata dan meriam air terhadap orang ramai yang kemudiannya menyebabkan enam lelaki berkenaan mati ditembak.
Beratus-ratus penduduk tempatan yang kesemuanya beragama Islam kemudiannya ditangkap dan dibawa dengan trak ke sebuah kem tentera di Pattani dengan tahanan dibawa dalam keadaan terbaring tindih-menindih..
Apabila trak berkenaan tiba di kem tersebut beberapa jam kemudian, kebanyakan mereka yang ditahan itu didapati meninggal dunia akibat sesak nafas.
Kejadian itu mencetuskan bantahan di seluruh dunia dan meningkatkan keganasan di Selatan Thai.
Mengikut laporan Human Right Watch (HRW), kira-kira 1,200 orang telah ditahan dalam tahanan tentera selama beberapa hari tanpa rawatan perubatan yang sewajarnya. Akibatnya, ramai penunjuk perasaan mengalami kecederaan parah yang memerlukan anggota badan mereka dipotong.

Pada Disember 2004, satu jawatankuasa yang dilantik oleh kerajaan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra ketika itu, memutuskan bahawa kaedah yang digunakan untuk menyuraikan penunjuk perasaan – termasuk menembak peluru hidup dan mengerahkan tentera dan renjer yang tidak berpengalaman dalam bertindak balas terhadap bantahan – adalah tidak sesuai dan tidak mematuhi garis panduan dan amalan antarabangsa yang ditetapkan.
Jawatankuasa itu juga mendapati pegawai pemerintah gagal mengawasi penunjuk perasaan dalam tahanan, menyerahkan tugas kepada kakitangan yang tidak berpengalaman dan berpangkat rendah.
Siasatan itu mengenal pasti tiga pegawai kanan tentera – termasuk komander Wilayah Tentera Keempat, Lt Jeneral Pisan Wattanawongkiri; timbalannya, Lt Jeneral Sinchai Nutsathit; dan komander Divisyen Infantri Kelima, Mej Jeneral Chalermchai Wirunpeth – gagal memantau dan mengawasi operasi tentera dengan betul, menyebabkan kematian dan kecederaan terhadap penunjuk perasaan.
Pada Mei 2009, Mahkamah Wilayah Songkhla memutuskan dalam inkues bedah siasat bahawa 78 orang mati akibat sesak nafas ketika ditahan oleh pegawai yang telah menjalankan tugas mereka. Bagaimanapun, polis memutuskan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai itu, sambil mendakwa bahawa kejadian itu adalah force majeure.
Sebagai pilihan terakhir mereka untuk mendapatkan keadilan, pada 25 April, mangsa Tak Bai dan keluarga mereka memfailkan tuduhan jenayah secara terus kepada Mahkamah Wilayah Narathiwat.
Sehubungan itu, HRW menggesa kerajaan sekarang ini, yang dipimpin Perdana Menteri Srettha Thavisin harus secara terbuka memberi isyarat sokongannya terhadap usaha memastikan akauntabiliti bagi pembunuhan beramai-ramai Tak Bai.
“Kitaran penderaan dan pengecualian daripada hukuman di wilayah sempadan Selatan Thai menyumbang kepada suasana di mana pegawai percaya mereka boleh melanggar hak asasi manusia tanpa rasa takut terhadap hukuman.
“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kerajaan asing yang prihatin harus menuntut keadilan untuk mangsa Tak Bai tanpa berlengah lagi,” kata HRW.






Leave a Reply to [Bahasa Melayu/Thai] Tragedi Tak Bai 2004: Pampasan bukan alasan untuk tutup jenayah, kata MP Narathiwat – apakhabartv.comCancel reply