Oleh Dr. Muhammad Hazim Mohd Azhar dan Nurbatriesya Abd Rahim
Ketegangan geopolitik di Timur Tengah sekali lagi memperlihatkan bahawa peperangan moden bukan sekadar pertembungan senjata. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Iran berdepan tekanan berterusan daripada sekatan ekonomi yang melumpuhkan kepada serangan ketenteraan dan provokasi geopolitik yang melibatkan kuasa besar seperti Amerika Syarikat. Dalam keadaan seperti ini, persoalan yang timbul ialah bagaimana sebuah negara yang diasak dari pelbagai sudut masih mampu bertahan.
Dalam analisis konflik moden, kekuatan sesebuah negara tidak hanya diukur semata-mata melalui kecanggihan teknologi ketenteraan atau kapasiti ekonomi. Sebaliknya, dimensi yang lebih halus tetapi signifikan ialah kekuatan sosial iaitu tahap perpaduan, identiti kolektif, semangat nasionalisme dan kesedaran sejarah dalam kalangan rakyatnya.
Dalam kes Iran, sejarah panjang tamadun Parsi memainkan peranan penting dalam membentuk identiti nasional yang kukuh. Tamadun ini telah melalui pelbagai episod sejarah, daripada kegemilangan Empayar Parsi Achaemenid yang diasaskan oleh Cyrus the Great, campur tangan asing, revolusi politik hingga kepada tekanan geopolitik moden.
Pengalaman sejarah yang panjang dan warisan intelektual bangsa Parsi ini membentuk satu kesedaran kolektif bahawa kelangsungan negara bergantung kepada keupayaan untuk bertahan dan bersatu. Oleh kerana itu, mereka mampu berdikari, membangunkan teknologi sendiri termasuk rudal dan bertahan selama hampir 47 tahun di bawah embargo Amerika Syarikat dan dunia Barat.
Episod-episod ini bukan sahaja menguji ketahanan negara, malah membuktikan bahawa perpaduan merupakan satu keperluan, bukan pilihan. Walaupun berbeza ideologi, namun semangat nasionalisme dan “keparsian” atau “keIranan” itu menebal dalam diri. Sebab itu, apabila Iran diserang, ada rakyat yang berada di luar negara sanggup pulang untuk turut bersama mempertahankan negara dicintai.
Selain itu, dalam kerangka geopolitik, tekanan luar terhadap sesebuah negara sering tidak hanya bertujuan melemahkan keupayaan ketenteraan. Ia juga boleh menjadi strategi untuk mencetuskan ketidakstabilan dalaman. Sebahagian penganalisis melihat bahawa tekanan berterusan terhadap Iran sama ada melalui sekatan, serangan terpilih dan tekanan politik turut membawa harapan agar rakyatnya bangkit menentang kerajaan sendiri.
Namun realiti di lapangan menunjukkan gambaran yang lebih kompleks. Dalam banyak keadaan, ancaman luar tidak memecah-belahkan masyarakat, sebaliknya menyatukan mereka. Apabila sesebuah negara berdepan tekanan dari luar, sentimen kebangsaan “keparsian” dan “keIranan” serta rasa kebersamaan sering meningkat. Masyarakat, walaupun berbeza pandangan dalam isu dalaman, cenderung untuk bersatu mempertahankan negara daripada ancaman luar. Fenomena ini menjelaskan mengapa tekanan ketenteraan tidak semestinya membawa kepada kejatuhan dalaman sesebuah negara.
Ahli sejarah dan sarjana sosiologi, Ibn Khaldun, telah lama menekankan bahawa kekuatan sesebuah masyarakat bergantung pada โasabiyyah atau solidariti sosial. Menurut beliau, masyarakat yang memiliki semangat kebersamaan yang kuat akan lebih mampu mempertahankan diri daripada ancaman dan membina ketahanan jangka panjang.
Prinsip ini juga ditegaskan dalam ajaran Islam. Firman Allah: โDan berpeganglah kamu semuanya kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai.โ (Surah Ali โImran: 103). Ayat ini bukan sekadar seruan keagamaan, tetapi asas kepada pembinaan masyarakat yang kukuh dan bersatu.
Dalam konteks umat Islam di Malaysia, pengajaran ini menjadi sangat signifikan apabila kita menyambut Syawal selepas melalui madrasah Ramadan. Ramadan bukan sekadar bulan ibadah individu, tetapi satu proses tarbiah yang membentuk disiplin kolektif dan semangat kebersamaan.
Sepanjang Ramadan, umat Islam dilatih untuk hidup dalam kerangka komuniti melalui solat berjemaah, berbuka puasa bersama serta pengukuhan amalan zakat dan sedekah. Semua ini membina jaringan empati dan solidariti sosial yang menjadi asas kepada perpaduan masyarakat.
Apabila Syawal tiba, nilai-nilai tersebut diteruskan melalui amalan kunjung-mengunjung, rumah terbuka dan bermaaf-maafan. Tradisi ini bukan sekadar adat, tetapi mekanisme sosial yang memperkukuhkan hubungan kemasyarakatan dan merapatkan jurang antara kelompok.
Dalam dunia yang semakin terdedah kepada konflik, polarisasi dan provokasi, kekuatan masyarakat tidak boleh hanya bergantung kepada pembangunan material. Pengalaman pelbagai negara menunjukkan bahawa masyarakat yang bersatu lebih sukar digugat, manakala perpecahan membuka ruang kepada kelemahan dari dalam.
Bagi umat Islam di Malaysia, sambutan Syawal seharusnya menjadi lebih daripada sekadar perayaan. Ia adalah peluang untuk memperkukuhkan perpaduan, memulihkan hubungan dan membina semula kepercayaan sosial yang menjadi asas kepada kestabilan masyarakat.
Sangat jelas bahawa Syawal membawa satu peringatan yang mendalam: kekuatan umat tidak terletak pada apa yang dimiliki secara zahir, tetapi pada kesatuan hati dan semangat kebersamaan. Jika perpaduan ini benar-benar dipelihara, ia akan menjadi benteng yang paling kukuh dalam menghadapi apa jua cabaran.
Memahami Syawal dalam kerangka sejarah dan pengalaman kolektif umat mengajarkan kita bahawa kekuatan sebenar terletak pada kesatuan hati dan perpaduan. Dalam dunia yang penuh ketidakpastian hari ini, perpaduan bukan sekadar nilai moral, bahkan ia adalah keperluan strategik. Dan di sinilah terletaknya makna sebenar Syawal sebagai kesinambungan tarbiah Ramadan dalam membina sebuah masyarakat yang kuat, berdaya tahan dan kaya dengan semangat perpaduan.
Dr. Muhammad Hazim Mohd Azhar ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan Nurbatriesya Abd Rahim ialah Calon PhD di Jabatan Sejarah, Tamadun dan Pendidikan Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.





Leave a Reply