TATKALA wakil Kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional Melayu Pattani (BRN) berbincang di Kuala Lumpur sejak kelmarin (19 Mei 2024) hingga hari ini, dua letupan menggegarkan Narathiwat – wilayah Selatan Thai yang bersempadan dengan Malaysia – pagi semalam.

Dalam dua kejadian itu – masing-masing berlaku di Mukim Chuap di Daerah Cho-airong, dan Mukim Sukhirin di Daerah Sukhirin – dua bom yang ditanam di pinggir jalan meletup menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan Thailand terbunuh, manakala 11 lagi cedera.

Seorang anggota sukarelawan pertahanan Virapon Apdullalim, 41 tahun, yang terkena letupan di Mukim Shukirin meninggal dunia di hospital tengah hari semalam, manakala seorang anggota unit kawalan pertahanan Mukim Chuap, Maslan Saheng, meninggal dunia di Hospital Rajanagarindra, Narathiwat, pagi tadi. Kedua-duanya berbangsa Melayu beragama Islam.

Dalam kejadian di Mukim Chuap, enam anggota unit kawalan pertahanan yang menaiki tiga buah motosikal dalam perjalanan pulang ke kem mereka setelah menjalankan tugas mengawal guru di sebuah sekolah di Luboya. Ketika tiba di tempat kejadian kira-kira jam 8.10 pagi sebutir bom yang diisi dalam tong gas telah meletup.

Semua mereka kemudian dihantar ke Hospital Sungai Golok untuk mendapatkan rawatan, namun Maslan Saheng yang cedera parah meninggal dunia jam 8.15 pagi tadi. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan anak yang masih kecil.

Susulan kejadian itu sepasukan tujuh anggota keselamatan daripada Unit Pemusnah Bom dari bandar Narathiwat dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

Anggota pasukan keselamatan Thailand yang berbangsa Melayu dan beragama Islam menjadi sasaran pembunuhan pihak tertentu di Selatan Thai.

Salah seorang anggota pasukan itu, Sarjan Worawit Naratta, kemudian dilaporkan terpijak bom yang dipasang di tepi jalan sebelum meletup. Semua mereka dihantar ke hospital, namun Virapon Apdullalim yang cedera parah meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sukirin.

Kedua-dua kejadian itu berlaku ketika Pasukan Teknikal Panel Dialog Damai Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PEDP) dan BRN sedang mengadakan perbincangan secara terperinci mengenai Pelan Komprehensif Bersama ke arah Pendamaian (JCPP) di Kuala Lumpur bermula kelmarin hingga hari ini (21 Mei 2024).

Dua serangan terbaharu di Narathiwat semalam yang berlaku ketika dialog diadakan itu, sekali gus membenarkan sangkaan bahawa dialog damai antara Kerajaan Thai dan BRN tidak mendapat persetujuan beberapa pihak lain.

Gambar kejadian semalam di Narathiwat

Sebelum ini, banyak pihak mendakwa bahawa sayap bersenjata BRN tidak bersetuju dengan perbincangan itu. Ini berdasarkan kepada banyak ketegangan dan keganasan yang berterusan di Selatan Thai sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, Apa Khabar TV sebelum ini telah melaporkan bahawa sekurang-kurangnya terdapat empat pihak yang dikatakan sering menimbulkan keadaan tidak tenteram di Selatan Thai. BACA DI SINI

Dalam pertemuan di Kuala Lumpur kelmarin hingga hari ini, PEDP diketuai oleh Panglima Tentera Darat Wilayah 4 yang juga Timbalan Pengarah Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri, (ISOC) Wilayah 4, Lt Jen Pramote Phrom-in. Bagaimanapun, tidak dinyatakan siapa yang mengetuai Pasukan Teknikal BRN.

Keputusan menubuhkan Pasukan Teknikal itu dicapai pada Mesyuarat Proses Dialog Keamanan Pusingan ketujuh yang diadakan di Kuala Lumpur, Februari lalu.

Malaysia terus menjadi pemudahcara (fasilitator) bagi proses damai di Selatan Thai dengan diketuai bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Untuk rekod, boleh dikatakan setiap hari berlaku kejadian keganasan di Wilayah Yala, Narathiwat dan Pattani, sama ada melibatkan pasukan keselamatan Thai, individu yang dikatakan anggota kumpulan pejuang dan serangan atau perbuatan khianat.

Keadaan ini sekali gus menimbulkan persoalan adakah keamanan akan tercapai di Selatan Thai, khususnya di Yala, Narathiwat dan Pattani, menerusi meja rundingan di mana Malaysia hanya menjadi fasilitator, bukannya mediator.

Berikutan kejadian yang berlaku itu semakin kurang pelancong Malaysia melawat tiga wilayah berkenaan, walaupun terdapat tarikan seperti tempat peranginan dan keenakan makanannya.

Sebaliknya Hat Yai di Wilayah Songkhla, terus menjadi tumpuan.

One response to “[VIDEO/GAMBAR] Mesyuarat di KL, bom tetap meletup di Selatan Thai: 2 askar maut, 11 cedera”

  1. […] buah motosikal untuk pulang ke kem mereka. Ketika melalui sebatang jalan pada jam 8.50 pagi, satu letupan kuat berlaku menyebabkan mereka tercampak ke tepi. Kejadian berlaku kira-kira 400 meter dari kem […]

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading