
PADA usia 75 tahun, Profesor Abdullah kelihatan masih sihat, mungkin menjaga kesihatan selain kawasan tempat tinggalnya di kawasan berbukit – Pak Chong, Nakhor Ratchasima – masih tidak tercemar.
“Usia sudah semakin meningkat… tapi saya masih mampu memandu,” katanya kepada Apa Khabar TV ketika ditemui di kawasan penempatannya, baru-baru ini.
Sambil bertongkat, Prof Abdullah beriringan dengan penulis, berjalan menuju sebuah bangunan – The Door Of Kaaba and Masjid Al-Haram @ Makkah Learning Center – yang didirikan sekembalinya dari Arab Saudi.
Di pusat inilah beliau mengabadikan segala kenangan ketika menjadi penyelia dalam pembuatan Pintu Kaabah Kedua zaman Kerajaan Arab Saudi di bawah pemerintahan Al-Saud.
Mengimbas kembali setelah lebih dua tahun kerja mengukir dan menyalut 280 kilogram emas pada Pintu Kaabah yang diperbuat daripada kayu Makhamong (Black Rosewood) (gambar bawah), pun akhirnya siap.



Profesor Abdullah bergurau bahawa kerja kaligrafi petikan al-Quran yang dipanggil ‘khat’ pada Pintu Kaabah itu banyak membuang masa. Ini disebabkan oleh masalah kesihatan Sheikh Abdulraheem Ameen, penulis khat.
“Pintu Kaabah lama diperbuat daripada logam, sangat berat… dibina pada zaman pemerintahan Raja Abdulaziz Ibn Saud, Raja Arab Saudi yang pertama.
“Syeikh Abdulraheem inilah yang menulis khat pintu lama itu yang masih hidup. Dia juga yang menulis kaligrafi pada pintu yang kami bina itu.
“Ketika itu dia sudah agak tua. Kesihatan tidak begitu baik… dapat tulis satu ayat kemudian dimasukkan ke hospital. Begitulah seterusnya… Sebab itu kami lambat selama bertahun-tahun kerana ini (Sheikh Abdulraheem),” katanya ketawa.
Proses pemasangan pintu, ia tidak mudah. Sepasukan juruteknik mengambil masa kira-kira 10 hari penuh untuk memasang pintu baharu pada rangka di Kabah. Selama seminggu penuh mereka berada di tengah-tengah Masjidil Haram.
Profesor Abdullah masih perlu bersoal jawab dengan ketua keluarga Al-Syaibah – keturunan yang mewarisi jawatan Pemegang Kunci Kaabah sejak zaman dahulu Nabi Muhammad SAW.
“Anak sulung keluarga Al-Syaibah akan sentiasa memegang kunci ini. Jika dia tidak membuka pintu untuk anda, tiada siapa boleh masuk. Tidak juga di peringkat pemimpin negara. Jika dia tidak mengizinkannya,” Profesor Abdullah menjelaskan kelebihan keluarga itu ke atas Kaabah.
“Ketika itu Sheikh Taha al-Syaibah yang memegang kunci berkenaan. Dia memarahi saya setiap hari sambil mendakwa tukang-tukang dari Thailand lambat melakukan kerja.”
Lebih-lebih lagi, ketika pemasangan pintu, mereka masih tidak mendapat kelulusan untuk membawa masuk kipas ke dalam Kaabah. Oleh itu, tujuh tukang dan penyelia Thailand ini terpaksa meletakkan kipas di luar.




Bagaimanapun, tempoh pemasangan pintu itu adalah sesuatu yang amat memberi kepuasan dalam hidup kepada Profesor Abdullah dan rakan-rakannya.
Ini kerana beliau dan rakan-rakannya itu adalah antara segelintir umat Islam yang pernah menjejakkan kaki di dalam Kaabah, yang biasanya hanya terbuka kepada raja atau pembesar negara untuk masuk bersolat.
“Saya berada Baitullah selama 10 hari penuh ketika kerja pemasangan pintu itu. Saya masuk dan bersolat di dalam Kaabah. Saya bersolat di dalamnya, menghadap mana-mana pun.
“Biasanya kita tidak boleh melakukan perkara seumpama itu jika bersolat di luar… kita perlu menghadap arah Kiblat iaitu Kaabah. Tetapi di dalam Kaabah, anda boleh menghadap ke arah mana pun,” cerita Profesor Abdullah, sambil mengesat linangan air mata kerana bertuah diizinkan masuk ke dalam Kaabah.
Apabila pintu itu siap dipasang sepenuhnya, Raja Khalid bin Abdulaziz Al Saud, Raja Arab Saudi ketika itu, datang membuka Pintu Kaabah yang baharu secara rasmi.
Raja Khalid duduk di atas kerusi roda yang kemudian diangkat ke hadapan Pintu Kaabah, untuk perasmian pembukaan, jelas Profesor Abdullah lagi.
Pintu Kaabah yang dibuat oleh tukang-tukang dari Thailand itu telah diperagakan kepada umat Islam di seluruh dunia.
Kemudian satu peristiwa yang mengejutkan berlaku terhadap Kaabah, apabila sekumpulan pelampau Arab yang bersenjata menyerbu masuk ke dalam Masjidil Haram, sambil mengancam untuk menggulingkan keluarga diraja Arab Saudi. Akibatnya, berlaku pertempuran selama lebih dua minggu, yang memakan banyak korban.
Rasa bosan mula menjelma, ditambah pula dengan kebajikan pekerja yang tidak terurus dan rapi, Profesor Abdullah yang telah lama berjauhan dari tanah airnya, memutuskan untuk pulang ke Thailand, walaupun Sheikh Ahmad Ibrahim menawarkan kerja lain untuk beliau lakukan.
Sekembalinya ke Thailand, Profesor Abdullah tinggal sementara waktu di daerah Watthana, Bangkok dan menjadi imam pertama di Masjid Soi Nana – Soi Sukhumvit 3/1, Mukim Khlong Toei Nuea.
Menggunakan sedikit wang hasil kerja-kerja beliau sebelum ini, termasuk ketika di Makkah, Profesor Abdullah membeli tanah di Pak Chong, Khao Yai, Nakhon Ratchasima pada tahun 1988. Ketika itu keadaan di kawasan berkenaan masih sepi.
“Menggunakan sedikit wang, sama membeli tanah di Khao Yai dengan harga 20,000 baht (RM2,000 ketika itu) satu rai (0.395 ekar). Saya beli 20 rai atau kira-kira 7.90 ekar.
“Tahu berapa harga tanah satu rai di sini (Khao Yai) sekarang?,” soal Profesor Abdullah. Penulis mengagak mungkin sejuta baht
“Sekarang jika saya mahu menjual satu rai tanah di sini, awak kena bayar lapan juta baht (kira-kira RM1.06 juta),” katanya sambil menjelaskan beliau mula menternak ayam dan biri-biri.
Kemudian sedikit demi sedikit beliau mula menjadikan kawasan itu sebagai tempat pelancongan – mendirikan resort ‘Halal’. Semua operasi dijalankan mengikut prinsip Islam dan dinamakan ‘Nagnawa Farm and Resort’.Resort itu kini terkenal dalam kalangan umat Islam Thai hingga ke hari ini.
“Saya beli tanah ini kerana kedudukannya di tanah tinggi. Memerhati ke bawah sama seperti Bonn ketika tinggal di Jerman sebelum ini.”
Kini, tanah yang sebelum ini kosong telah mempunyai segala-galanya, termasuk restoran, resort, dewan syarahan, dan ruang bagi menjalankan aktiviti kem remaja musim panas setiap tahun.
Pada 2012 Profesor Abdullah membuka perkampungan contoh untuk memperkenalkan budaya Arab yang dikenalinya serta memaparkan sejarah Pintu Kaabah di titik tertinggi Nagnawa Farm and Resort.
Tetapi, pada 2021 ‘Learning Center’ itu diubah lebih rendah sedikit kerana pada titik tertinggi resort berkenaan, akan menyukarkan pelancong untuk mendakinya. Sekali gus memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mengunjunginya.
Profesor Abdullah turut menghabiskan banyak wang untuk membeli pelbagai gambar berkaitan Kaabah dan pintunya, untuk dipamerkan kepada pengunjung.
Beliau turut membeli tunggul kayu Makhamong – kayu jenis sama untuk membina Pintu Kaabah sekarang – yang berusia 200 tahun dan diletakkan di pekarangan ‘Learning Center’.
“Tidak ramai pun orang Arab yang tahu bahawa Pintu Kaabah itu dibuat oleh tukang dari Thailand. Sejak berkomunikasi dan menjalin hubungan dengan penduduk Arab Saudi, mereka datang untuk melihat tempat ini dan sangat terkejut.
“Tiada siapa yang percaya bahawa orang Thai membinanya. Mereka tidak memberitahu satu sama lain berkenaan perkara itu,” kata Profesor Abdullah sambil berkata beliau mendapat idea membuka pusat berkenaan untuk mendedahkannya kepada dunia luar.
Hanya sedikit sahaja umat Islam yang ada sekarang, termasuk di Malaysia, yang dapat masuk dan bersolat di dalam Kaabah.
Mengakhiri perbualan bersama Apa Khabar TV, Profesor Abdullah melemparkan senyuman yang jelas menunjukkan betapa beliau bangga dapat melaksanakan misi besar di Baitullah – selayak dengan nama ‘Abdullah’ yang dimilikinya.
“Terima kasih… jangan lupa datang lagi,” kata Profesor Abdullah yang menghantar penulis ke pekan Muak Lek di wilayah Saraburi, bersempadan dengan Korat (Nakon Ratchasima).
“Insya-Allah… assalammualaikum,” jawab saya. Profesor Abdullah kemudian memandu perlahan meninggalkan penulis yang akan melakukan perjalanan pulang, sambil membawa 1,000 kenangan.
Seperti biasa ucapan terima kasih kepada beberapa individu yang memberi bantuan, termasuk dari segi kewangan, untuk menjayakan Siri Bertemu Pembuat Pintu Kaabah Kedua.

Mungkin ada yang bertanya berapa kos untuk ke The Door Of Kaaba and Masjid Al-Haram @ Makkah Learning Center milik Profesor Abdullah di Khao Yai, Nakhir Ratchasima.
RM3,000 dalam poket. Jumlah ini sudah dikira selesa untuk perjalanan – kereta api dan bas – dari Narathiwat, Thailand. Kos ini termasuk, penginapan satu malam (kongsi dua orang) di Nagnawa Farm and Resort, hotel (satu malam – kongsi dua orang) di Bangkok, pengangkutan di Bangkok, dan makan minum.
p/s: Apa Khabar TV menerima maklumat mengenai seorang lagi tukang emas yang menyiapkan Pintu Kaabah Kedua. Insya-Allah pertemuan dengannya akan menyusul.
Siri bertemu pembuat Pintu Kaabah Kedua – Bahagian I
Siri bertemu pembuat Pintu Kaabah Kedua – Bahagian II
Siri bertemu pembuat Pintu Kaabah Kedua – Bahagian III






























Leave a Reply