JIKA ijazah sarjana muda di Universiti Al-Azhar adalah pencapaian terbesar Profesor Abdullah Naknawa, ijazah Sarjana di universiti sama menjadi salah satu kegagalan yang paling menyakitkan dalam hidupnya.

“Di Al-Azhar, mereka menggunakan sistem Inggeris. Sebagai contoh, jika anda mengambil peperiksaan untuk lapan subjek, anda perlu lulus semua subjek itu.

“Kalau tak lulus, kena belajar sekali lagi. Ia tidak seperti sistem Amerika di mana jika anda gagal sesuatu subjek, anda ambil semula hanya subjek itu. Saya gagal satu subjek.

Kami melaksanakan misi penting untuk dunia Islam, kata Profesor Abdullah Naknawa yang kini tinggal di Pak Chong, Kaoyai, Nakhon Ratchasima, Thailand kepada apakhabartv.com.

“Kebetulan pula, masa itu ayah saya cakap dia tak sihat. Jadi saya pulang ke Thailand. Saya tak belajar lagi,” katanya dalam selang seli bahasa Melayu, Inggeris dan Thai.

Walaupun gagal memperoleh ijazah Sarjana dari Universiti Al-Azhar, beliau tidak patah semangat dan memilikinya daripada sebuah universiti terkenal lain di Kaherah, dan membolehkan beliau mengajar teologi.

“Profesor Imran Makudi, seorang lulusan Mesir, menerima saya sebagai tenaga pengajar. Dan, saya kembali bekerja sebagai guru bahasa Arab di Bangkok. Tetapi setelah mengajar selama dua tahun, saya berasa pendapatan saya tidak mencukupi untuk menampung kehidupan saya.

“Profesor Imran sendiri tidak mempunyai pendapatan yang besar. Suatu hari dia menyatakan bahawa dia tidak keberatan jika saya pergi bekerja di tempat lain,” kata Prof Abdullah lagi.

Menjadi pemandu pelancong Arab
Dengan kata-kata itu, guru muda itu memohon pekerjaan di S.I. Tour Co Ltd – sebuah agensi pelancongan berhampiran Silom Road – pada 1996.

Syarikat itu dimiliki oleh seorang Muslim Selatan Thailand. Di syarikat itu, ilmu bahasa Arab telah berubah daripada mengajar di papan hitam kepada memimpin pelancong asing melihat keindahan Thailand.

“Dia menjadikan saya sebagai pemandu pelancong Arab. Brosur jadual perjalanan pelancong mesti ditulis dan dihantar ke pelbagai syarikat pelancongan di negara Arab. Saya satu-satunya pemandu pelancong berbahasa Arab dan perlu melakukan semuanya sendiri.

“Saya bekerja di syarikat itu selama dua bulan dan saya menguruskan kedatangan sekumpulan besar tetamu. Mereka adalah putera dan puteri dari Kuwait.

“Menginap di Dusit Thani Hotel. Pada hari kumpulan itu pulang, saya mendapat 12,000 baht daripada mereka sebagai tip. Ketika saya menjadi guru saya hanya mendapat 1,200 baht sebulan,” Profesor Abdullah tersenyum menceritakan mengenai sejumlah besar wang yang diterima daripada kumpulan pelancongan itu.

Tidak lama selepas itu Profesor Abdullah bertemu kumpulan pelancongan yang akan diingati sepanjang hayatnya.

Bertemu Sheikh
“Ketika itu saya menerima sijil daripada Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand. Menjadi satu-satunya pemandu elancong berbahasa Arab di negara ini. Sebab tidak ada pemandu pelancong berbahasa Arab yang lain.” Profesor Abdullah membuat andaian berkenaan sebab beliau ditugaskan untuk memberi perkhidmatan kepada Putera Majid bin Abdulaziz Al Saud.

Putera Majid adalah kerabat diraja dan gabenor Makkah pada 1980 hingga 1999, ketika Putera Khalid bin Abdulaziz Al Saud menjadi Raja Arab Saudi. Beliau juga seorang ahli perniagaan.

Putera Majid bin Abdulaziz Al Saud.

“Putera raja ini seperti gabenor Bangkok. Beliau adalah gabenor Makkah. Beliau datang ke Thailand dan membawa orang bawahannya bersama menyewa Hotel Mandarin Oriental, Bangkok, menginap di seluruh tingkat. Saya menjaga rombongan ini setiap hari. Dari pagi hingga gelap.”

Suatu hari ketika Profesor Abdullah hendak bersarapan di hotel, beliau mengetahui bahawa dua tetamu Arab yang bertugas di syarikat Putera Majid tidak bercakap bahasa lain, kecuali Arab, keluar dari lif.

“Jika bahasa Thai disebut begini, kebetulan tidak kenal dia, tidak kenal kita, dalam bahasa Arab dipanggil ‘Takdir’, maksudnya Allah menetapkan pertemuan tanpa janji,” Profesor Abdullah terus bercerita kepada apakhabartv.

Salah seorang daripada mereka ialah Syeikh Ahmad Ibrahim Badr, seorang peniaga emas terkenal yang ditugaskan untuk menguruskan Kaabah. Kedua-duanya adalah adik kepada Dr Faiz Ibrahim Badr, Gabenor Pelabuhan Jeddah.

“Mereka bertanya siapa saya. Lalu, saya memperkenalkan diri saya sebagai Abdullah. Beliau pula adalah individu yang menjaga Putera Majid.

“Sheikh Ahmad memberitahu saya bahawa dia tidak lagi berada di hotel. Jadi saya indahkan mereka ke Hotel Montien di Jalan Surawong. Di dalam kereta dia menyuruh saya mencari tukang Thailand untuk membina Pintu Kaabah.

“Sudah tentu saya terkejut. Saya pulang dan beritahu bos saya, ayah saya, ibu saya. Semua orang berkata ia adalah mustahil. Kerana jika anda pergi untuk membina Pintu Kaabah, perkara pertama adalah mempunyai kemahiran.

“Yang kedua ialah menjadi seorang Muslim… baharu anda boleh pergi ke Makkah. Semua orang menggelengkan kepala sambil berkata, mustahil dia datang dan mencari tukang Muslim yang mahir di sekitar Bangkok.

“Lagipun, Thailand ketika itu hanya mempunyai 10 peratus umat Islam, tidak lebih daripada ini. Selebihnya semuanya beragama Buddha. Jika anda sedang mencari tukang, anda boleh mencarinya di sekitar Arab Saudi, Mesir, Maghribi, Jordan, mereka semua Islam. Kenapa perlu datang dari Thailand? Semua orang berkata ia adalah khayalan.”

Contoh kayu makhamong dari Saraburi, Thailand yang digunakan untuk membuat Pintu Kaabah Kedua, yang dipamerkan di pusat pembelajaran Pintu Kaabah di kawasan milik Profesor Abdullah.

Kayu makhamong dari Thailand
Pemandu muda itu terperangkap dalam kekeliruan selama sebulan. Kira-kira sebulan kemudian, kedua-dua Sheikh itu kembali semula ke Thailand, seiring dengan berita bahawa gabenor pelabuhan Jeddah telah memesan kayu dari syarikat perdagangan Narong Wongwan, Ahli Parlimen Wilayah Phrae, pada masa itu dan kayu itu sudah tiba di Arab Saudi. Ia disahkan setiausaha Narong sendiri.

“Sheikh Ahmad memberitahu saya bahawa memang benar… lapan kayu besar dan tebal yang ditempah telah sampai dan Abdullah perlu mencari tiga tukang kayu dan tiga orang tukang emas untuk membuat pintu bahru Kaabah.”

Kemudian Sheikh Ahmad menyuruh Abdullah menjadi jurubahasa untuk menyampaikan tugas mengukir Pintu Kaabah itu.

“Apabila saya balik dan menceritakan kisah itu kepada syarikat dan keluarga, semua orang berkata saya perlu pergi. Ini adalah peluang penting dalam hidup. Jadi saya berhenti kerja di syarikat itu. Ikut Sheikh Ahmad untuk bekerja di Makkah,” ceritanya lagi.

Tugas pertama yang perlu disiapkan oleh Profesor Abdullah adalah atas permintaan Sheikh Ahmad adalah untuk mencari tukang Muslim Thai yang sesuai untuk melaksanakan tugas mulia ini.

“Saya mempunyai seorang cucu bernama Yusuf. Dia tinggal di Khlong 19, Chachoengsao. Terdapat seorang tukang di kawasan itu yang pakar dalam membina rumah ala-Thai yang tidak menggunakan paku. Yusuf pergi dan berjumpa tukang kayu itu.”

Akhirnya Profesor Abdullah memperoleh enam tukang kayu dan emas Thailand yang terdiri daripada Sulaiman Sanwang, Isa Kasurong dan Hussain bertindak sebagai tukang kayu, manakala Ali Mulsap, Qassem Chanachai dan Hussaini Areepong tukang emas.

Semua tukang itu adalah Muslim sejati. Menganut agama Islam sejak lahir, namun tidak mengetahui bahasa Arab pada tahap komunikatif. Hanya Profesor Abdullah, yang pernah tinggal bersama orang Arab sebelum ini.

“Kami tidak mengenali antara satu sama lain sebelum ini. Saya baharu sahaja datang berjumpa mereka ketika hendak berangkat ke Makkah,” cerita Profesor Abdullah mengenai rakan-rakannya dalam projek penting itu.

“Tetapi semua orang patuh kepada saya. Kerja apa yang diarahkan oleh majikan Arab, saya beritahu mereka. Percaya atau tidak, kerja membina dan mengukir Pintu Kaabah tidak boleh salah… kerja bersungguh-sungguh… tiada kerja yang tertinggal.

“Majikan saya mengamanahkan saya dengan kerjanya. Tetapi kami tidak pernah melakukan satu kesilapan pun dalam kerja kami.”

Profesor Abdullah tinggal di Makkah, bukan lagi sebagai pelarian seperti sebelum ini. Apa lagi kini beliau menjadi penyelia dan jurubahasa kepada tukang yang membina serta mengukir sebuah pintu yang paling penting bagi dunia Islam.

Artis Syria ukir Pintu Kaabah Kedua
Kumpulan pekerja Thailand itu, termasuk Profesor Abdullah menjadikan rumah Syeikh Ahmad Ibrahim sebagai kediaman dan kilang tempat pintu ini dibuat.

Tugas tukang kayu bermula dahulu. Mereka terpaksa mengukir pintu mengikut rekaan seorang artis Syria bernama Munir Yundi.

Dalam banyak kesempatan, ramai tetamu kenamaan datang meninjau secara berkala kerja-kerja di kilang sementara ini. Bermula daripada Dr Faiz Ibrahim Badr, yang menempah kayu Makhamong dari Thailand, sehingga kepada Menteri Kesihatan Awam dan Menteri Haji dan Wakaf.

Putera Mahkota Fahd bin Abdulaziz Al Saud, yang kemudian menjadi Raja Arab Saudi kelima beberapa tahun kemudian (13 Jun 1982 – 1 Ogos 2005), juga turut meninjau kerja-kerja pembinaan Pintu Kaabah Kedua itu.

“Naik kapal terbang dan tinggal di Makkah selama dua tahun, iaitu pada 1978 hingga 1979, dan tidak pernah pulang ke rumah. Tukang kayu menghabiskannya dahulu tugas mereka.

“Menunggu tukang emas terus bekerja saya bekerja dengan Sheikh Ahmad di sebuah kedai emas. Tinggal di tempat yang berbeza daripada enam tukang itu. Pada waktu pagi, saya memberikan mereka tugas. Kemudian mereka pergi untuk menjalankan tugas masing-masing.

“Kami tidak bertemu satu sama lain pada siang hari. Melainkan ada yang hendak diberitahu seperti menerima pesanan,” kata Profesor Abdullah.

Tukang-tukang itu diberi gaji. Dikira dalam nilai wang Thai ianya sebesar 15,000 baht seorang. Ketua pasukan menerima 25,000 baht, dengan cuti sehari seminggu, iaitu pada Jumaat.

Profesor Abdullah memberitahu bahawa enam juruteknik itu mempercayai beliau… daripada jumlah emas yang mesti dikeluarkan untuk melapisi pintu kepada gaji yang semua orang terima.

Dua tahun di Makkah, banyak kisah berlaku dalam kehidupan tukang-tukang yang membina Pintu Kaabah. Semua juruteknik diberi peluang untuk menunaikan ibadah haji. Ini membawa kepada awalan ‘Haji’ pada nama mereka, yang bermaksud seseorang yang telah melaksanakan haji.

“Saya berkahwin di Makkah. Isteri saya asalnya beragama Buddha Thai yang memeluk Islam. Dia terbang ke sana untuk berkahwin dengan saya. Sheikh Ahmad Ibrahim mengaturkan perkahwinan yang sangat besar untuk saya. Anak sulung saya, Asma Naknawa, dilahirkan di sana.”

Pintu itu siap sepenuhnya dan akan dipasang di Kaabah….

Untuk mengetahuinya Siri Bertemu Pembuat Pintu Kaabah Kedua – Bahagian V, terus ikuti maklumat di dalam Apa Khabar TV.

Seperti biasa ucapan terima kasih kepada beberapa individu yang memberi bantuan, termasuk dari segi kewangan, untuk menjayakan Siri Bertemu Pembuat Pintu Kaabah Kedua.

Ikuti perkembangan dan maklumat semasa serta ilmiah dalam apakhabartv.com, termasuk kisah selanjutnya perjalanan saya ke Korat, dalam bahagian yang akan datang.

SIRI LALU:

Profesor tinggal di kawasan berbukit
A journey to Thailand to meet the professor behind the Kaaba Doors – Part 1
Daripada pemandu pelancong kepada ketua pasukan pembina Pintu Kaabah Kedua
Siri bertemu pembuat Pintu Kaabah Kedua – Bahagian III

One response to “Bertemu pembuat Pintu Kaabah – Bahagian IV: Artis Syria buat diagram, Muslim Thailand ukir, salut emas”

  1. […] Bertemu pembuat Pintu Kaabah – Bahagian IV: Artis Syria buat diagram, Muslim Thailand ukir, salut … […]

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading