
Daripada pemandu pelancong kepada ketua pasukan pembina Pintu Kaabah Kedua
Mungkin ada ratusan atau ribuan perkara di dunia ini yang mengingatkan kita kepada Islam. Dan satu perkara yang sering muncul pertama kali dalam imaginasi setiap umat Islam – satu bangunan berbentuk kiub terletak di dalam masjid paling suci di atas muka bumi ini, Masjidil Haram di Makkah, Arab Saudi.
Diselimuti kain hitam bercorak dan bertulisan benang emas, Kaabah, berdiri terserlah di tengah-tengah gelombang jutaan umat Islam yang berkumpul di sekelilingnya yang terletak di satu kawasan lembah, selama ribuan tahun lalu.
Ia adalah pusat bagi agama kedua terbesar di dunia (mengikut Wikipedia) dengan setiap hari, hampir dua bilion umat Islam di seluruh dunia menghadapi bangunan ini, menjadikannya sebagai kiblat untuk bersolat.

Kaabah dan Masjidil Haram juga menjadi tempat yang diimpikan semua umat Islam untuk melaksanakan Rukun Islam Kelima – Haji – sekali dalam hayat mereka. Malah, sehingga akhir hayat, jenazah dikafankan dengan kain putih, dibaringkan mengiring dengan muka menghadap ke Kaabah (kiblat).
Semua ini menunjukkan betapa pentingnya Kaabah – kiblat kedua umat Islam – selain menjadi destinasi penting untuk mengerjakan haji pada bulan Zulhijjah dalam kalendar Islam. Selain haji, ia juga menjadi pusat pelaksanaan ibadah umrah.
Namun, ada satu perkara yang masih ramai orang tidak tahu. Kaabah mempunyai sebuah pintu kayu yang besar bersalut emas dan berkunci yang membolehkan orang tertentu sahaja keluar dan masuk di dalamnya, selain dibuka beberapa kali sahaja dalam setahun.
Mengikut rekod, ia adalah pintu kedua pada zaman dinasti Al-Saud yang menubuhkan Kerajaa Diraja Arab Saudi. Pintu pertama pada era Arab Saudi telah dipasang ketika pemerintahan Raja Abdul Aziz Al-Saud, yang diperbuat daripada aluminium, disokong dengan jeriji besi dan ditutup dengan plat perak bersalut emas, namun, kuncinya digunakan sejak tahun 1891.
Ketika Raja Khalid bin Abdul Aziz Al-Saud memerintah, baginda mengarahkan seorang tukang emas, Ahmed bin Ibrahim Badr menyediakan pintu baharu Kaabah.
Jumlah emas yang digunakan di pintu adalah kira-kira 280 kilogram dengan kualiti 99.99. Jumlah kosnya ialah 13.420 juta riyal, tidak termasuk emas.
Pintu ini telah dipasang pada 13 Oktober 1979 dan masih wujud sehingga kini. Pintu itu, yang diperkenalkan oleh Almarhum Raja Khalid bin Abdul Aziz al-Saud, dianggap sebagai salah satu jisim emas terbesar di dunia kerana ia mengandungi 280 kilogram emas tulen.
Pintu Kaabah Kedua Zaman Kerajaan Arab Saudi yang kekal hingga kini diperbuat daripada kayu dari Thailand. Pintu ini kekal hingga sekarang. Siapa yang bertanggungjawab mengukir, menyalutkannya dengan emas? Inilah yang ditemukan oleh Apa Khabar TV.
Dan, apa yang ramai tidak tahu ialah pintu yang boleh dilihat oleh umat Islam di seluruh dunia sekarang ini, baik daripada gambar atau mata kepala sendiri, telah dibina oleh enam tukang kayu dan tukang emas dari Thailand pada 1978 dan 1979.
Mungkin sejarah sepatutnya menulis sesuatu yang baharu dan lain daripada yang lain.
Hanya kerana ditakdirkan delegasi Arab Saudi bertemu seorang pemandu pelancong Thailand beragama Islam bernama Abdullah Naknawa – yang kini telah bersara daripada kerjayanya, termasuk sebagai profesor – yang fasih bertutur bahasa Arab.
Bangga dapat selia kerja bina Pintu Kaabah Kedua
“Saya adalah jurubahasa, bertanggungjawab membawa enam pekerja Thailand yang pergi membina Pintu Kaabah yang ada sekarang. Sekali gus menjadi penyelia mereka.
“Ini adalah pekerjaan paling membanggakan dalam hidup saya,” kata lelaki berusia 75 tahun itu dengan senyum lebar menggambarkan bagaimana beliau begitu bangga dengan tugas lamanya.

Profesor Abdullah kini hidup sederhana mengikut cara Islam di satu kawasan berbukit di Kaoyai, Pak Chong, Nakhon Ratchasima, kira-kira tiga jam perjalanan dari Bangkok dengan menaiki bas.
Apa Khabar TV melakukan perjalanan lebih 4,000 kilometer untuk mendengar sendiri bagaimana kisah pembabitan beliau sebagai penyelia dan individu yang membawa enam tukang kayu dan tukang emas, dalam pembinaan Pintu Kaabah Kedua pada zaman Kerajaan Arab Saudi, kira-kira 45 tahun lalu.
Dalam perbualan yang diselang seli dengan bahasa Melayu (10 peratus); Inggeris (30 peratus); dan Thai (60 peratus), penulis dibantu Rohana Ma – jurualih bahasa Thai-Melayu – yang turut menyertai usaha mencari sehingga dapat bertemu Profesor Abdullah.
Rohana banyak membantu dalam mencari maklumat berkaitan Profesor Abdullah, termasuk menghubungi beberapa pihak yang hanya boleh bertutur dalam bahasa Thai, sebelum berjaya bercakap dengan Profesor Abdullah.
Kami kemudian membuat temu janji untuk hadir di penempatan beliau di Kaoyai.
Bertolak dari Narathiwat ke Bangkok dengan menaiki bas yang memakan masa perjalanan hampir 20 jam, kami tiba di ibu negara Thailand, sebelum menyambung perjalanan dengan van yang boleh memuatkan kira-kira 15 penumpang, menuju wilayah Saraburi.
Perjalanan mengambil masa kira-kira tiga jam pula, kerana van kadang kala berhenti menurun dan mengambil penumpang di sepanjang perjalanan.
Kelihatan sedikit uzur pada usia 75 tahun, Profesor Abdullah sendiri menyambut ketibaan penulis dan Rohana kira-kira jam 1 tengah hari, di pekan Muak Lek di wilayah Saraburi, bersempadan dengan Korat (Nakon Ratchasima).
Memberi salam dan memperkenalkan diri, kami menaiki kenderaan pacuan empat roda dipandu beliau. Kami dibawa terus ke penempatan beliau di satu kawasan berbukit yang turut menempatkan Masjid Darulsunnah Kaoyai.
“Hanya saya dan keluarga satu-satunya orang Islam yang tinggal di kawasan ini. Oleh kerana ramai pelancong Islam dan pelajar yang kerap datang ke sini, saya mendirikan sebuah masjid.
“Tapi tiada solat Jumaat di sini. Tak cukup makmum,” katanya dalam bahasa Inggeris dan Thai. Profesor Abdullah juga adalah Imam di sebuah masjid yang terletak kira-kira 17 kilometer dari penempatan beliau.
Siapakah Profesor Abdullah dan dari mana asalnya? Mengapa beliau diberi penghormatan untuk menyelia projek pembinaan yang begitu penting dalam dunia Islam? Benarkan beliau Melayu dan berasal dari Pattani di Selatan Thailand?
“Saya adalah orang Thai Muslim,” katanya.
Tetapi….
Untuk mengetahuinya Siri Bertemu Pembuat Pintu Kaabah Kedua – Bahagian III akan menyusul…
Seperti biasa ucapan terima kasih kepada beberapa individu yang memberi bantuan, termasuk dari segi kewangan, untuk menjayakan Siri Bertemu Pembuat Pintu Kaabah Kedua.
Ikuti perkembangan dan maklumat semasa serta ilmiah dalam apakhabartv.com, termasuk kisah selanjutnya perjalanan saya ke Korat, dalam bahagian yang akan datang.
Siri Bertemu Pembuat Pintu Kaabah Kedua – Bahagian I
A journey to Thailand to meet the professor behind the Kaaba Doors – Part 1





Leave a Reply