
Contoh rangka kerja bagi program ‘mewujudkan komuniti pintar digital di Malaysia’
Rangka kerja ini dibangunkan berdasarkan enam prinsip strategi komunikasi iaitu:
- Boleh diakses;
- Boleh dilaksanakan;
- Berkredibiliti dan dipercayai;
- Relevan;
- Menepati masa; dan
- Difahami.
BOLEH DILAKSANAKAN
Komunikasi adalah komponen komprehensif yang diperlukan dalam usaha pihak berkepentingan, khususnya kementerian untuk mencapai matlamat projek ini.
Untuk berjaya, pegawai komunikasi mesti memahami – pengetahuan, sikap dan tingkah laku khalayak sasaran – untuk menyediakan mesej yang menangani halangan dan menggalakkan khalayak mengambil langkah yang disyorkan.
Merancang soalan bagi mengaktifkan strategi komunikasi
Pegawai komunikasi perlu mempertimbangkan soalan di bawah untuk membantu mengenal pasti sama ada kumpulan sasaran bersedia untuk bertindak atau tidak. Wawasan ini kemudiannya boleh dijadikan produk dan aktiviti komunikasi yang menarik.
- Apakah tingkah laku atau tindakan yang kita mahu khalayak ambil untuk memastikan mereka mempunyai ilmu teknologi digital? Adakah terdapat langkah yang boleh digalakkan?;
- Adakah kumpulan sasaran memahami situasi, perkembangan teknologi, dan dasar yang disyorkan?;
- Adakah khalayak sasaran menyedari isu teknologi digital yang berkaitan dengan mereka;
- Adakah mereka berasa terbabit secara peribadi dengan isu ini?;
- Adakah khalayak memahami manfaat menggunakan nasihat atau dasar yang disyorkan?
- Adakah mereka memahami akibat tidak menggunakannya?;
- Apakah halangan mereka hendak terbabit dalam teknologi? Contohnya, peralatan, rangkaian jalur lebar;
- Apakah wujud norma sosial yang boleh memberi pengaruh positif atau negatif terhadap nasihat dan usaha yang dicadangkan?; dan
- Adakah kumpulan sasaran boleh bertindak secara bebas? Sekiranya mereka memerlukan bantuan untuk bertindak, adakah maklumat yang disediakan mampu memberi bantuan atau di mana mereka perlu mencari maklumat tambahan?
Latar belakang
Komunikasi adalah komponen penting dalam usaha untuk mencapai kejayaan mewujudkan masyarakat pintar digital. Kementerian mesti menyediakan maklumat yang tepat dengan cara yang boleh menggalakkan kumpulan sasaran mengambil bahagian dan mengikut nasihat serta bimbingan yang diberikan.
Terdapat banyak model kaji selidik dan teori berasaskan penyelidikan yang menggambarkan pendekatan komunikasi yang berkesan membawa kepada kejayaan sesuatu program.
Beberapa amalan dan pendekatan komunikasi memberi tumpuan kepada perubahan tingkah laku pada peringkat individu, sementara yang lain mempunyai pandangan sosial yang lebih luas, menangani tingkah laku dan membuat keputusan.
Prinsip yang digunakan terdiri daripada beberapa komponen yang membantu pegawai komunikasi kementerian menyediakan maklumat dan kempen yang memberi fokus kepada perubahan tingkah laku dengan memahami khalayak:
- Tahap kesedaran mengenai perkembangan teknologi digital;
- Pengetahuan atau tingkah laku khalayak hasil daripada perubahan teknologi digital;
- Perasaan peribadi mengenai tahap perubahan teknologi masa kini;
- Keyakinan bahawa kumpulan sasaran akan mengambil bahagian;
- Berasa semua cadangan tindakan akan diterima oleh komuniti; dan
- Percaya bahawa keuntungan hasil daripada pelaksanaan tindakan lebih banyak berbanding kos yang dikeluarkan.
Menggerakkan kumpulan sasaran supaya mengambil bahagian: Komunikasi yang berterusan
Pegawai komunikasi boleh menyediakan maklumat dan strategi yang membantu khalayak membuat keputusan dan mengambil tindakan menyertai komuniti pintar digital. Pastinya akan wujud masalah, dan setiap masalah berbeza daripada satu sama lain.
Oleh itu, pendekatan baharu perlu dirancang untuk setiap individu atau komuniti. Pegawai komunikasi perlu memahami bahawa khalayak yang tidak mengetahui mengenai kebaikan mungkin tidak mengambil bahagian.
Ada juga khalayak enggan menerima nasihat yang rumit. Menggunakan pendekatan komunikasi langkah demi langkah yang mengikut urutan tertentu, pegawai komunikasi dapat mengubah sikap dan tingkah laku kumpulan ini secara bertahap sekali gus membawa minat mereka menyertai program berkaitan.
Meningkatkan kesedaran
Pegawai komunikasi mesti terlebih dahulu membina kesedaran terhadap faedah dan kebaikan menyertai program menjadi masyarakat pintar digital.
Jika individu pembuat keputusan tidak mengetahui faedah dan kebaikan program itu, mereka tidak akan menyertainya dan mungkin mempengaruhi orang lain mengambil tindakan sama.
Untuk mencapai manfaat tingkah laku dan dasar baharu, pegawai komunikasi perlu mendekati khalayak seperti ini untuk memberi penjelasan yang benar-benar jelas. Kaedah seperti ini boleh digunakan:
- Meningkatkan tahap pemahaman mengenai teknologi digital sedia ada;
- Menyebarkan mesej yang mudah, mudah diingat, berulang dan mendapat perhatian;
- Guna saluran media massa dan media sosial untuk berinteraksi;
- Memperluas liputan media sosial dengan merancang mesej yang boleh dikongsi oleh jabatan atau organisasi lain, ahli keluarga dan rakan sekerja;
- Bersaing untuk menarik perhatian dengan menggunakan sumber mesej yang boleh dipercayai; dan
- Ketengahkan keunikan kemudahan yang disediakan oleh kementerian dan penyedia perkhidmatan.
Sokongan menyelesaikan risiko
Kumpulan sasaran perlu percaya bahawa dalam setiap program ada risiko dan masalah tersendiri. Ini akan menjadikan mereka mungkin tidak akan menyertai program berkenaan.
Dalam hal ini, pegawai komunikasi boleh menggunakan pendekatan berikut untuk bertindak:
- Wujudkan hubungan terus pada peringkat personal atau komuniti;
- Tunjukkan keuntungan dan kejayaan jika menyertai program berkenaan;
- Bangkitkan semangat kepada khalayak supaya membuat keputusan dan bertindak;
- Lencongkan perhatian media kepada kejayaan mana-mana individu atau kumpulan yang menyertai program berkaitan;
- Menyasarkan anak-anak khalayak (jika kumpulan sasaran agak berusia dan mempunyai anak), dengan menarik perhatian mereka kepada teknologi digital – kanak-kanak akan tertarik dan sekali gus mendorong ibu bapa mengetahui lebih lanjut; dan
- Pertimbangkan perspektif khalayak sasaran mengenai risiko ketika merancang maklumat.

Menggalakkan penyelesaian masalah
Orang yang berasa terdedah kepada teknologi digital biasanya cenderung mencari cara untuk membolehkan mereka sama-sama menyertai program yang dianjurkan.
Bagaimanapun, kadang kala mereka akan berasa teragak-agak kerana mempunyai pengetahuan yang sedikit. Pegawai komunikasi perlu menawarkan penyelesaian yang berkesan, supaya khalayak sasaran dapat membuat keputusan yang produktif.
Dalam hal ini, pegawai komunikasi memerlukan strategi untuk memastikan khalayak tahu apa yang akan mereka peroleh jika menyertai program berkenaan. Pegawai komunikasi boleh:
- Menyokong keputusan khalayak melaksanakan sesuatu langkah dengan menjelaskan apakah kesan keseluruhan, serta memberi maklumat tambahan bagi memudahkan pelaksanaan tindakan;
- Pertimbangkan sumber dan saluran yang menjadi sasaran khalayak; dan
- Guna pendekatan komunikasi interpersonal. Jadi khalayak tidak malu untuk bertanya soalan. Biasanya, sesetengah khalayak mempunyai soalan yang hendak ditanya. Tetapi mungkin kerana kesuntukan masa atau malu mengemukakan soalan disebabkan tahap pendidikan, maka pendekatan interpersonal adalah lebih sesuai;
Pertimbangkan perkara berikut apabila berkomunikasi dengan khalayak sasaran:
- Orang ramai belajar dalam cara yang berbeza;
- Orang ramai mempunyai tahap pendidikan yang berbeza;
- Orang ramai mempunyai latar belakang sosio ekonomi yang berbeza; dan
- Penggunaan bahasa yang mudah diikuti dengan visual bagi mengenal pasti penyelesaian masalah, boleh menarik perhatian. Contohnya, menggunakan gambar atau infografik. Kadang kala statistik juga sesuai digunakan.
Menanam keyakinan dalam tindakan
Apabila khalayak mempunyai keyakinan diri, mereka yakin boleh mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan.
Terdapat pelbagai cara di mana pegawai komunikasi boleh memastikan individu dan kumpulan sasaran mempercayai bahawa mereka akan mendapat keuntungan jika mengambil bahagian.
- Guna berita atau artikel atau visual yang menunjukkan kejayaan pihak lain yang menyertai program berkenaan;
- Gunakan strategi terkenal untuk mempengaruhi keyakinan orang ramai. Contohnya, menggalakkan keupayaan diri melakukan perubahan tingkah laku, memberi contoh individu dalam khalayak itu yang berjaya mengubah tingkah laku dan menggunakan sumber boleh dipercayai untuk menggalakkan perubahan tingkah laku;
- Menyampaikan maklumat yang jelas, kebaikan yang diperoleh jika menyertai program berkenaan;
- Beri latihan jika diperlukan. Mulakan dengan individu yang mempunyai pengetahuan minimum dan meneruskannya dengan khalayak lain; dan
- Cipta peluang kepada individu dan pemimpin khalayak untuk mengamalkan kemahiran atau menyediakan rancangan dengan seseorang yang telah mahir mengenai teknologi digital.
Meningkatkan keyakinan dengan menunjukkan apa yang mereka boleh lakukan secara individu, walaupun kempen program itu adalah meluas. Biasanya mereka akan bertindak sendiri jika yakin boleh melakukannya sendirian.
Tunjukkan bahawa penyertaan ke dalam program itu akan menjadikan mereka sebagai kumpulan masyarakat yang berbeza daripada komuniti lain.
Pengaruh norma sosial
Norma sosial boleh memudahkan atau lebih mendatangkan kesukaran bagi khalayak untuk mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan.
Norma sosial adalah peraturan, kepercayaan, harapan dan tingkah laku seseorang yang disokong oleh rakan dan komuniti. Ianya boleh datang hasil daripada sikap rakan sebaya, kepercayaan sosial atau komuniti, dan dalam konteks kerja.
Perlu diketahui bahawa kebanyakan orang akan berasa sukar untuk menerima sesuatu cadangan yang tidak berkaitan dengan keyakinan dan harapan sosial mereka.
Oleh itu, pegawai komunikasi boleh menggunakan pendekatan berikut untuk menyelaraskan cadangan dan manfaat dengan norma sosial dan budaya yang berkaitan.
- Menggalakkan kepercayaan khalayak terhadap kewibawaan penyampai maklumat, model, matlamat dan polisi;
- Kenal pasti masalah, di mana khalayak berasa tertekan akibat perbezaan norma sosial yang mungkin bertentangan dengan program dianjurkan;
- Bekerjasama dengan kumpulan sasaran untuk mengurangkan tekanan akibat norma sosial;
- Pertingkatkan kredibiliti maklumat dengan menyediakan penyampai yang boleh mengubah tingkah laku kumpulan sasaran. Contohnya, membawa tokoh agama memberi ceramah dan maklumat berkaitan teknologi digital; dan
- Cipta maklumat yang menggambarkan bagaimana komuniti, pertubuhan dan pihak lain menyokong program berkenaan.
Memperkukuh manfaat mengatasi halangan
Jika khalayak berfikir bahawa ada halangan terhadap sebarang langkah yang dicadangkan, mereka mungkin tidak menyertai program itu. Pegawai komunikasi boleh membantu khalayak sasaran melihat manfaat di sebalik penyertaan dalam program itu, dan mengurangkan halangan.
Oleh itu:
- Keyakinan khalayak mesti dipertingkatkan dengan memberi maklumat bahawa institusi bertanggungjawab akan terus memberi bantuan dan sokongan, dalam usaha memecahkan benteng halangan berkenaan;
- Mencipta bahan dan alat komunikasi pada peringkat individu atau komuniti. Contohnya, mewujudkan laman web individu dan komuniti bagi menggalakkan penyertaan mereka;
Memfokuskan komunikasi pada titik tengah di mana penyertaan mereka bakal memperoleh keuntungan; dan - Menyatakan bahawa keuntungan yang diperoleh bukan semata-mata hasil, tetapi khalayak juga akan mendapat ilmu pengetahuan dalam dunia teknologi digital.
Mencipta kempen perubahan tingkah laku
Kempen kementerian mengikut urutan tertentu yang memindahkan khalayak sasaran daripada kesedaran mengenai kepentingan ke arah tingkah laku yang membuahkan hasil:
- Membabitkan rakan kongsi pada awal kempen;
- Manfaat kempen akan diperoleh pihak yang sudah mahir dengan teknologi digital.
- Membentangkan mesej yang konsisten daripada pelbagai sumber meningkatkan kemungkinan penyertaan. Apabila pegawai komunikasi membawa bersama rakan kongsi, mereka boleh:
a. Menyediakan bahan dan sumber mereka sendiri;
b. Melaksanakan aktiviti media pelengkap; dan
c. Membabitkan kawasan mereka.
Guna maklumat dipercayai
Maklumat dipercayai dan personaliti berprofil tinggi boleh digunakan untuk meningkatkan jumlah penyertaan:
- Membantu mengatasi halangan, seperti stigma sosial dan perubahan tingkah laku;
- Memberitahu norma sosial yang bertentangan dengan tingkah laku dikehendaki; dan
Sediakan model tingkah laku diingini.
Memastikan sumber komuniti
Beberapa tindakan yang disyorkan, seperti memasuki kelas teknologi digital, memerlukan sumber organisasi atau komuniti. Untuk memastikan bahawa kumpulan sasaran mempunyai akses kepada sumber-sumber ini, pegawai komunikasi perlu:
- Mencipta bahan dan aktiviti untuk menarik khalayak ke arah sumber. Contohnya: Menyediakan laman web;
- Menyemak sama ada sumber telah wujud atau tidak sebelum mencadangkan kepada khalayak; dan
- Bekerjasama dengan kakitangan lain untuk memberi maklumat mengenai sumber yang ada.
Prinsip tiga BERKREDIBILITI DAN DIPERCAYAI akan diulas esok (Ahad, 1 Oktober 2023).
Penulis terlibat dalam dunia penulisan untuk media cetak dan digital sejak 1993. Bermula sebagai wartawan sehingga ketua pengarang media digital. Daripada penggunaan mesin taip pada tahun 1990-an hingga kini – komputer riba.
SIRI 1
SIRI 2
SIRI 3
SIRI 4
SIRI 5
SIRI 6
SIRI 7
SIRI 8
SIRI 9
SIRI 10






Leave a Reply to [SIRI 12) Komunikasi Strategik – BERKREDIBILITI DAN DIPERCAYAICancel reply