LAHAD DATU: Projek pemulihan hutan di Lower Kawag, Hutan Simpan Ulu Segama–Malua merupakan inisiatif pemulihan ekosistem yang dilaksanakan di kawasan hutan hujan tropika Sabah. Projek ini bukan sahaja berjaya menghidupkan semula habitat Orang Utan Borneo, malah membuktikan bahawa usaha pemuliharaan alam sekitar mampu menjana peluang ekonomi kepada komuniti setempat.
Menerusi projek yang diterajui Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), penduduk Kampung Tampenau membentuk Komuniti Nurseri yang memainkan peranan penting dalam usaha mengutip dan menyemai anak benih spesies hutan untuk digunakan bagi menjayakan kerja penanaman semula di kawasan hutan yang terjejas.
Penanaman semula itu dilakukan bagi kerja pemulihan hutan kesan daripada kebakaran besar semasa fenomena El Niño pada tahun 1983, 1997 dan 1998, selain aktiviti pembalakan yang tidak terancang.
Eksekutif Pemuliharaan dan Kemampanan MPOGCF, Daniel Pamin, berkata projek bernilai RM10 juta yang dilaksanakan dari 2019 hingga 2029 melibatkan kawasan seluas 2,500 hektar itu mencerminkan komitmen jangka panjang organisasi dalam memulihkan ekosistem hutan.

Eksekutif Pemuliharaan dan Kemampanan MPOGCF, Daniel Pamin
Menurut beliau, sehingga kini lebih 100,000 anak pokok daripada 18 spesies tempatan telah ditanam, termasuk Talisai, Binuang, Laran serta spesies kayu keras daripada keluarga dipterokarpa seperti Seraya dan Kapur.
“Pemilihan spesies dibuat berdasarkan kesesuaiannya dengan ekosistem hutan hujan tropika Sabah bagi mempercepatkan proses pemulihan habitat, selain menyediakan sumber makanan dan kawasan perlindungan kepada hidupan liar, khususnya Orang Utan.
“Pelaburan jangka panjang ini membuktikan kesungguhan MPOGCF dalam memastikan usaha pemulihan hutan dilaksanakan secara berterusan,” katanya ketika ditemui pada lawatan media ke kawasan projek baru-baru ini.
Beliau berkata, setiap pokok yang ditanam hari ini mungkin kelihatan kecil, namun dalam tempoh beberapa dekad akan datang ia akan membentuk semula struktur hutan, mewujudkan koridor hidupan liar serta menyokong kelangsungan biodiversiti.
Di sebalik kejayaan pemulihan habitat itu, Komuniti Nurseri Kampung Tampenau muncul sebagai antara penggerak utama projek menerusi pelaksanaan program Komuniti Nurseri.
Melalui program itu, penduduk mengumpul benih dari hutan berhampiran sebelum menyemai benih dan membesarkan anak pokok untuk dijual kepada MPOGCF bagi tujuan penanaman semula.
Pendekatan itu bukan sahaja mempercepatkan usaha pemulihan ekosistem, malah mewujudkan sumber pendapatan tambahan kepada masyarakat luar bandar.
Sehingga kini, seramai 114 peserta Komuniti Nurseri berusia antara 21 hingga 84 tahun menyertai program berkenaan, dengan hasil jualan anak benih menjana pendapatan hampir RM1 juta kepada komuniti Kampung Tampenau.
Bagi Kasmina Supawil, 59, aktiviti mengutip anak benih bukan sahaja memenuhi minatnya terhadap tanaman sejak kecil, malah menjadi sumber pendapatan sampingan.
“Sejak kecil saya memang suka menanam pokok. Peluang ini saya manfaatkan sepenuhnya dan saya gembira melihat anak benih yang dikutip dari hutan dapat membesar dengan subur,” katanya.
Kasmina berkata, pendapatan antara RM4,000 hingga RM6,000 bagi setiap musim projek banyak membantu menampung keperluan keluarga.
“Selain memperoleh pendapatan, saya juga berpeluang menyumbang kepada usaha memulihara hutan demi generasi akan datang,” katanya yang juga menganjurkan kelas anyaman kepada penduduk setempat untuk menghasilkan barangan kraftangan.
Seorang lagi peserta, Roslen Pamiyang, 47, berkata sebelum masuk hutan, peserta Komuniti Nurseri perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa dan tidak dibenarkan masuk sesuka hati.
Katanya, aktiviti mengutip anak benih dijalankan secara berkumpulan, pada masa sama ada juga para suami peserta yang ikut serta memberi sokongan dan mengawal keselamatan peserta.
“Dari kampung kami memandu kira-kira lima kilometer sebelum meletakkan kenderaan di bahu jalan berhampiran hutan. Dari situ, kami berjalan kaki ke lokasi kutipan.
“Akar anak pokok yang dikutip akan dibersihkan terlebih dahulu sebelum disusun ke dalam beg poli. Bagi anak benih yang masih kecil, ia disimpan di dalam dulang semaian sebelum dipindahkan ke beg poli apabila saiznya sesuai.
“Kami masuk ke hutan dua atau tiga kali seminggu bergantung kepada keadaan. Jika lokasi kutipan jauh, kita pergi dalam kumpulan seramai 30 orang. Bagi kawasan yang berhampiran kampung pula, penyertaannya sekitar lima hingga 10 orang. Kami tidak dibenarkan masuk bersendirian dan perlu sentiasa bergerak secara berkumpulan,” katanya.
Roslen berkata, beliau sebelum ini bekerja sebagai ahli terapi urutan badan sebelum mengusahakan kedai runcit, manakala aktiviti mengutip anak benih ini dilakukan sebagai pekerjaan sampingan.
“Kerja secara berkumpulan ini mengeratkan hubungan sesama penduduk. Kami saling membantu untuk mencapai sasaran jumlah anak benih yang diperlukan MPOGCF. Masa lapang juga dimanfaatkan dengan aktiviti yang memberikan pendapatan tambahan untuk keluarga,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pemuliharaan Hutan Jabatan Perhutanan Sabah, Jacklyn Ambrose, berkata kejayaan projek tidak hanya diukur berdasarkan jumlah pokok yang ditanam, tetapi juga melalui kadar pertumbuhan yang memberangsangkan serta peningkatan kualiti habitat hutan.
Beliau berkata, setiap spesies dipilih berdasarkan kesesuaiannya dengan ekosistem setempat bagi memastikan proses pemulihan berlaku secara semula jadi dan berkekalan.
“Kejayaan ini membolehkan projek pemulihan Lower Kawag menerima pensijilan antarabangsa daripada Preferred by Nature (PbN), sekali gus mengiktiraf pelaksanaan projek mengikut amalan terbaik dan piawaian pemulihan ekosistem di peringkat global,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan yang menggabungkan kepakaran teknikal, penglibatan komuniti serta kerjasama erat antara MPOGCF dan Jabatan Perhutanan Sabah membuktikan bahawa pemuliharaan alam sekitar mampu bergerak seiring dengan pembangunan sosioekonomi masyarakat.
Beliau berkata, MPOGCF akan meneruskan fasa ketiga projek melibatkan kawasan seluas 132 hektar dengan sasaran penanaman lebih 32,000 anak pokok.
“Projek di Lower Kawag membuktikan bahawa pemulihan hutan bukan sahaja memulihkan habitat Orang Utan dan biodiversiti, malah membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat melalui penglibatan mereka dalam program nurseri, menyemai anak benih dan penanaman anak pokok.
“Usaha ini menunjukkan bahawa pembangunan industri sawit dan pemuliharaan alam sekitar boleh dilaksanakan secara seimbang demi memastikan khazanah hutan Sabah terus terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.






Leave a Reply