Oleh Penulis Khas Apa Khabar TV
Perlindungan terakhir seorang ibu terhadap bayinya yang baharu 35 hari melihat dunia, berakhir dengan dirinya sendiri menjadi korban keganasan, apabila terbunuh ketika empat individu melepaskan tembakan ke arah kereta dinaikinya di sebuah sekolah di Daerah Yarang, Pattani, petang semalam (25 Mei 2026).
Sambil menyusu bayinya di dalam kereta, Fatimah Yango, 35 tahun – seorang guru Sekolah Yayasan Prasan Wittaya di Mukim Pongsta, Yarang – dalam perjalanan bersama suaminya Sarjan Polis Abdul Haji Sulong, 38, untuk mengambil seorang lagi anaknya di sekolah itu.
Bagaimanapun, kira-kira jam 3.30 petang, bunyi tembakan bergema dan dia mula memeluk memberi perlindungan kepada bayinya. Namun, ketetapan Allah tiada siapa pun yang boleh mengelak. Peluru yang dilepaskan secara rambang ke arah kereta dan suaminya, turut mengenai dirinya. Manakala, bayinya calar di perut akibat tembakan itu.

Di tempat duduk belakang, Fatimah terkulai sambil memeluk bayinya, Affrina Haji Sulong. Manakala, Sarjan Abdul pula keluar dari kereta dengan kaki berdarah meminta bantuan orang ramai yang berada di sekitar tempat kejadian.
Dengan suara sebak, Sarjan Abdul menceritakan:
“Biasanya isteri saya yang ambil dan hantar anak ke sekolah… tetapi dia sekarang mengambil cuti bersalin dan sekolah pula baharu saja mula dibuka seminggu lalu… jadi saya lah yang urus perkara itu. Semalam, dia ikut saya ambil seorang lagi anak di sekolah itu.
“Ketika memandu menuju ke sekolah itu semalam, saya terdengar bunyi kaca pecah sebelum terdengar satu lagi bunyi tembakan. Isteri saya bertanya apa yang berlaku… saya mula sedari saya sedang ditembak. Saya memecut kereta masuk ke kawasan sekolah sebelum keluar untuk melihat apa yang berlaku,” katanya.

Dalam kejadian mengejutkan warga Thailand, khususnya penduduk Selatan Thai, polis mendapati terdapat 13 lubang peluru pada kereta berkenaan.
“Selepas berhenti di kawasan sekolah, saya keluar untuk melihat apa yang berlaku sambil menenangkan diri. Saya kemudian menoleh dan mendapati Fatimah terkulai tidak lagi bertindak balas. Saya segera meminta seorang guru di kawasan itu untuk membantu menjaga Affrina yang masih menangis kerana terkejut,” ceritanya lagi.
Sarjan Abdul percaya penyerang mungkin telah memerhatikan tingkah lakunya dan seseorang di kawasan itu mungkin tahu dia seorang pegawai polis.
“Saya percaya pelaku mungkin bersembunyi di lorong itu sebelum melepaskan tembakan. Mereka memakai pakaian seperti wanita. Kejadian berlaku ketika ramai ibu bapa sedang mengambil anak-anak mereka, mewujudkan suasana huru-hara dan sukar dibezakan kerana kebanyakan penduduk berpakaian serupa iaitu berhijab,” katanya lagi.
Sementara itu, jenazah Fatimah dikebumikan pada jam 10 malam tadi dengan dihadiri saudara-mara, rakan, guru, pelajar, dan pegawai polis.

Hari ini pula, lebih 500 penduduk, pemimpin masyarakat serta pelajar sebuah sekolah agama di Daerah Yarang, di sini, hari ini menyertai solat hajat memohon keamanan, susulan pembunuhan itu.
Mereka mula berkumpul di dewan Sekolah Yayasan Prasanwitay jam 9 pagi sambil membawa beberapa sepanduk bersolidariti mengutuk keganasan di kawasan berkenaan.
Solat hajat dipimpin pengetua sekolah itu, Muhammad Haji Te. Hadir sama, Pegawai Daerah Yarang, Mayuso Kuteh dan Pegawai Pasukan Petugas Batalion Infantri ke-2, Lt Kolonel Sukrit Kanjanakhod.
Peristiwa tragis semalam amat mengejutkan masyarakat setempat. Ia menyusul kejadian di mana seorang kanak-kanak, Nurfirdaus Taleh, 7 tahun, cedera terkena peluru sesat dalam satu cubaan bunuh anggota tentera yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Mukim Tayong Mas, Range, Wilayah Narathiwat, 20 Mei lalu.
Sementara itu, Lt Kolonel Sukrit menekankan kepada semua pelajar, remaja dan belia supaya membesar menjadi kuasa penting dan cerah kepada keluarga, masyarakat dan negara.

“Belia adalah sasaran utama bagi mereka yang berniat jahat yang cuba memanipulasi mereka, menggunakannya sebagai pangkalan massa atau sebagai alat untuk memacu pelbagai inisiatif. Insiden ini mungkin salah satu alat yang digunakan untuk menyesatkan belia atau mewujudkan kepercayaan palsu.
“Masa depan anda terletak di tangan anda sendiri. Anda boleh memilih untuk membesar menjadi orang yang baik untuk masyarakat dan negara, atau membiarkan diri anda menjadi alat orang yang berniat jahat, seperti yang berlaku di kawasan itu semalam.
“Walaupun anda memakai pakaian Muslim, jika tindakan anda bertujuan untuk mencederakan orang awam yang tidak bersalah, itu bukanlah jalan yang betul,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Muhammad Haji Te, menyifatkan Allahyarham Fatimah sebagai guru yang penuh dedikasi kepada kerjaya dan mendidik anak bangsa menjadi manusia berguna.
“Saya amat bersedih dengan kehilangan ini. Allahyarham sedang cuti bersalin merupakan seorang guru di sekolah kami dan mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan institusi ini. Dia datang semalam untuk mengambil dua anaknya yang juga bersekolah di sini, tetapi telah ditembak.

“Allahyarham seorang wanita yang tidak banyak bercakap, dan bekerja rapat dengan saya, mengendalikan tugas pentadbiran dan pengajaran. Beliau seorang yang rajin.
“Saya ingin memberitahu pelaku bahawa nyawa setiap orang adalah berharga bagi keluarga mereka, dan mereka mempunyai banyak tanggungjawab. Saya mahu pelaku mempertimbangkan bagaimana perasaan mereka jika anak atau isteri mereka sendiri yang ditembak.
“Saya harap ini adalah kes terakhir seumpamanya. Mari kita kembali menumpukan perhatian kepada membina keamanan dan persefahaman di kawasan ini,” kata Muhammad.





Leave a Reply