SELANGOR: Inovator berasaskan tumbuhan Malaysia, Pure Mylk, bersama peneraju global dalam bidang pemprosesan dan pembungkusan makanan, Tetra Pak, mengumumkan satu kerjasama strategik.
Kerjasama ini bertujuan membantu jenama tempatan membangunkan dan melancarkan minuman berfungsi berasaskan tumbuhan yang inovatif di Malaysia. Menerusi inisiatif ini, teknologi pemprosesan dan kepakaran pembungkusan Tetra Pak akan digabungkan di The Mylky Way, sebuah hab inovasi menyeluruh bagi produk berasaskan tumbuhan milik Pure Mylk di Pulau Indah di sini.
Langkah ini menawarkan jenama tempatan akses kepada keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang canggih, ujian berskala rintis, serta sokongan pembangunan produk secara kolaboratif.
Kerjasama ini dimeterai selaras dengan peningkatan permintaan terhadap minuman berfungsi, iaitu minuman yang diperkaya dengan bahan tambahan seperti protein, vitamin dan probiotik, yang diunjurkan mencecah kira-kira AS$758.99 bilion menjelang 2034.
Peningkatan permintaan ini didorong oleh pengguna yang lebih mengutamakan produk yang menyokong kesihatan fizikal mereka. Di Malaysia, pasaran minuman berasaskan tumbuhan juga menunjukkan pertumbuhan yang kukuh, dengan unjuran peningkatan daripada AS$18.5 bilion pada 2025 kepada AS$39.7 bilion menjelang 2031.
Pelancaran Pusat Inovasi ini, yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal memperlihatkan sinergi sektor swasta dengan dasar kerajaan dalam membangunkan masa depan sistem makanan yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim serta gangguan rantaian bekalan global.
Inisiatif ini menyokong secara langsung Dasar Bioteknologi Negara 2.0 serta Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (NAP 2.0). Ia membuktikan bahawa inovasi yang diterajui industri melengkapi aspirasi negara dalam membina ekosistem makanan yang mampan dan pintar-iklim.
“Kerjasama ini merupakan satu langkah penting dalam usaha mentransformasikan landskap makanan dan minuman Malaysia ke arah ekosistem yang lebih mampan, berdaya tahan, serta dipacu inovasi berasaskan bio. Saya berharap Pusat Inovasi ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi tempatan, pembangunan produk berasaskan bio yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab bio-ekonomi terkemuka di rantau ini,” ujar Dato’ Dr. Mohammad Yusof.
Peningkatan Trend Pemakanan Gaya Hidup
Pengguna yang mengutamakan kesihatan kini melihat produk berfungsi seperti minuman diperkaya protein, nutrien, dan suplemen berfungsi, sama penting dengan pemakanan sihat, senaman dan tidur yang mencukupi.
Peralihan trend ini sedang membentuk semula pasaran suplemen makanan dan nutrisi (FSN) di peringkat global. Kajian yang dilaksanakan oleh Tetra Pak terhadap pengguna global yang mengutamakan kesihatan menunjukkan bahawa mereka mementingkan:
- Kesejahteraan Emosi & Fizikal: 58% pengguna memilih produk FSN untuk menyokong kesihatan fizikal, manakala 42% menyatakan “rasa dapat mengawal kesihatan diri” sebagai pendorong emosi utama.
- Format yang Mengutamakan Kemudahan: 59% pengguna memilih produk Sedia Diminum (RTD) kerana ia lebih praktikal dan mudah dibawa ke mana-mana, selaras dengan gaya hidup aktif.
- Semula Jadi Berbanding Sintetik: 71% pengguna lebih mengutamakan hasil yang diperoleh secara beransur-ansur daripada sumber semula jadi berbanding dengan alternatif sintetik, malah mereka sanggup membayar lebih untuk mendapatkannya.
Berdasarkan Tinjauan Pengguna Global Data Suku Ketiga 2024, tujuh daripada 10 rakyat Malaysia mempertimbangkan kesan sesuatu produk terhadap kesejahteraan dan kesihatan mereka sebelum membuat keputusan pembelian.
Pengguna turut mencari pilihan minuman yang praktikal dan sedia diminum mengikut kesesuaian gaya hidup serta nilai mereka, menunjukkan peningkatan minat terhadap minuman berfungsi di seluruh negara.
Inovasi bahan turut memainkan peranan penting dalam kategori FSN. Protein bunga matahari kini semakin mendapat perhatian kerana sifatnya yang mampan, bebas alergen, mempunyai komposisi asid amino lengkap, dan rasanya yang neutral sesuai untuk minuman sedia diminum. Protein bunga matahari proprietari Tetra Pak diproses tanpa menggunakan bahan kimia atau air, sekali gus menawarkan alternatif label bersih yang lebih kos efektif berbanding protein kacang pea atau soya.
Menghapuskan Halangan untuk Pengembangan Skala
The Mylky Way menggabungkan proses penjanaan idea, eksperimen dan penciptaan bersama dalam satu ruang, membolehkan jenama bekerjasama dengan pakar Pure Mylk dan Tetra Pak bagi membangunkan formulasi, menguji bahan, memperhalusi konsep serta meneroka format pembungkusan di satu lokasi.
Pendekatan kolaboratif ini mempercepatkan tempoh pembangunan dengan ketara dan membolehkan pemain industri makanan dan minuman (F&B), sama ada baharu atau sedia ada, berinovasi pada skala lebih besar tanpa memerlukan pelaburan awal yang tinggi atau tempoh menunggu bekalan import yang panjang.
“Apabila kami membangunkan The Mylky Way, matlamatnya bukan untuk Pure Mylk semata-mata, tetapi untuk mewujudkan infrastruktur yang boleh menjadi asas pertumbuhan keseluruhan industri berasaskan tumbuhan di Malaysia,” kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Pure Mylk, Marcus Khoo. “Kerjasama dengan Tetra Pak membolehkan kami menawarkan penyelesaian hujung ke hujung yang sebenar kepada pemilik jenama, daripada pemprosesan bertaraf dunia, pembungkusan mengikut piawaian antarabangsa, hinggalah kepada keyakinan bahawa produk yang dibangunkan di sini mampu menembusi pasaran serantau.”
“Melalui kerjasama dengan Pure Mylk, kami menetapkan penanda aras baharu bagi industri minuman berfungsi dan berasaskan tumbuhan di Malaysia. Langkah ini membolehkan jenama tempatan berinovasi, menjalankan pembungkusan secara bersama, serta menembusi pasaran serantau dengan lebih yakin.
Ianya akan mempercepatkan perjalanan inovasi dan mengukuhkan kedudukan mereka sebagai peneraju pasaran,” kata Pengarah Urusan Tetra Pak bagi Malaysia, Singapura, Filipina dan Indonesia, Marcelo Perazzo.
Teknologi pembungkusan aseptik Tetra Pak membolehkan minuman kekal stabil tanpa perlu disejukkan sehingga 12 bulan, membantu jenama meneroka format produk yang lebih berskala serta peluang pengedaran yang lebih luas.

(Dari kiri) Marcelo Perazzo, Dato Dr Mohammad Yusof Apdal dan Marcus Khoo, merasmikan Pusat Inovasi The Mylky Way.





Leave a Reply