
BANJIR teruk yang melanda sembilan wilayah di Selatan Thai bermula 22 hingga 30 November lalu bukan sahaja meragut lebih 267 nyawa, tetapi menjejaskan sebahagian besar penduduk, dengan lebih 2.08 juta orang mengalami gangguan dan lebih RM5 bilion kerugian dalam semua sektor.
Wilayah terjejas akibat banjir di Selatan Thai merangkumi Surat Thani; Nakhon Si Thammarat; Trang; Phatthalung; Songkhla; Pattani; Yala; Satun; dan Narathiwat. Banjir tahunan Selatan Thai ini kerap kali berlaku pada penghujung November atau akhir Disember.
Songkhla merupakan wilayah yang paling teruk terjejas, melibatkan lebih 582,000 isi rumah, dengan 220 mangsa meninggal dunia. Lebih 142 daripadanya adalah penduduk sekitar Daerah Hat Yai – destinasi pelancongan utama rakyat Malaysia. Hat Yai adalah bandar paling padat penduduk di Selatan Thai mencecah hampir sejuta penghuni dan yang paling teruk ditenggelami air.
Kira-kira 79,219.68 hektar tanah ditenggelami banjir terburuk dalam tempoh 100 tahun. Lebih 39,205 hektar kawasan di Wilayah Songkhla ditenggelami, diikuti Pattani (11,560.16 hektar); Nakhon Si Thammarat (11,183.84 hektar); dan Phatthalung (8,684.96 hektar).
Hujan lebat dalam tempoh 300 tahun menyebabkan 56 daerah, 320 mukim dan lebih 2,185 kampung dinaiki air, kata Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM), Teerapat Katchamat.
Walaupun DDPM melaporkan bahawa paras air di seluruh rantau ini terus surut, skala krisis di kawasan yang paling teruk terjejas masih sangat besar:
Songkhla menanggung beban bencana paling besar, dengan 582,053 isi rumah di 16 daerah terjejas teruk. Angka ini sahaja menyumbang lebih 70 peratus daripada jumlah isi rumah yang terjejas di sembilan wilayah. Diikuti Nakhon Si Thammarat dengan seramai 147,904 isi rumah di sembilan daerah terjejas.
Phatthalung dan Narathiwat pula masing-masing melaporkan 33,897 dan 32,162 isi rumah terjejas. Wilayah Trang (19,654 isi rumah); diikuti ribuan lagi isi rumah di Surat Thani, Pattani dan Yala.
Menurut Agensi Pembangunan Geoinformatik dan Teknologi Angkasa Lepas (GISTDA), antara 25 November dan 1 Disember 2025, banjir kali ini turut menjejaskan 103 sekolah, tujuh hospital, dan 2,024 kilometer jalan raya. Bagaimanapun, GISTDA menyatakan ini hanyalah anggaran impak dan kerosakan, berdasarkan analisis anggaran dan belum disahkan.

Hat Yai alami ‘gelombang kejutan besar’
Presiden Persatuan Perniagaan Perumahan Soonthorn Sathaporn pula menjelaskan krisis banjir di Seatan Thai kali ini telah menjejaskan sektor perumahan pada skala yang besar, walaupun nilai kerosakan tepat memerlukan penilaian terperinci.
Katanya, sektor perniagaan perumahan telah menghadapi pelbagai rintangan tahun ini, dengan banjir di selatan, terutamanya di Hat Yai, menjadi “gelombang kejutan besar” yang telah membebankan lagi pasaran yang sedia rapuh.
“Jika keadaan berlarutan, impaknya boleh bertahan tidak kurang daripada enam bulan, yang akan menjejaskan jualan, keyakinan dan pelaburan baharu di beberapa wilayah,” katanya.
Menurutnya, keutamaan pemaju sekarang ini adalah untuk membina projek yang berdaya tahan terhadap bencana – daripada perancangan tapak dan pemilihan bahan kepada sistem pengurusan air, untuk menangani cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku.
Dalam banjir di Selatan Thai kali ini, beliau menganggarkan kerugian sektor perumahan mencecah 25 bilion baht (RM3.227 bilion), tidak termasuk kesan sampingan yang telah memperlahankan pasaran hartanah.
“Pemulihan sektor hartanah dijangka mengambil masa paling kurang enam bulan, dengan bencana ini diramalkan akan memberi kesan negatif kepada jualan, keyakinan dan pelaburan baharu.
“Sebagai tindak balas, peneraju industri menyeru agar pembangunan hartanah masa depan mengutamakan daya tahan bencana melalui perancangan tapak dan sistem pengurusan air yang lebih baik,” katanya sambil menjelaskan pemulihan yang lebih cepat mungkin dapat dilakukan jika pentadbir bandar Hat Yai mempercepatkan penambahbaikan pada sistem salirannya.






Leave a Reply