Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) membuka mata dunia terhadap masalah dihadapi penduduk di Selatan Thai apabila berpeluang mengetengahkan pelbagai isu di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada Sesi Forum Ke-18 PBB berkaitan Isu-Isu Minoriti di Geneva bermula kelmarin dan semalam (27 hingga 28 November 2025), Presiden PULO, Wabatopatan Ismail, diberi peluang berucap pada perhimpunan berkenaan.

Antara lain dalam ucapannya beliau yang lebih dikenali sebagai Kasturi Mahkota menegaskan bahawa pada 11 November 2025 lalu, genap 240 tahun Patani kehilangan kedaulatan dan sejak itu hidup di bawah pemerentahan Siam.

“Namun selepas dua abad lebih, orang Patani masih lagi berdepan penafian hak asasi sebagai satu bangsa minoriti yang beridentiti sendiri,” tegas beliau lagi.

Berikut adalah intipati ucapan beliau pada forum berkenaan:

Yang Berbahagia Pengerusi, para delegasi sekalian,
Hari ini saya berdiri membawa suara dari bumi Patani — suara yang lama terpinggir dari perhatian dunia.
Pada 11 November 2025 baru-baru ini, genap 240 tahun Patani kehilangan kedaulatan dan sejak itu hidup di bawah pemerintahan Siam, kini Thailand. Namun selepas dua abad lebih, orang Patani masih lagi berdepan penafian hak asasi sebagai satu bangsa minoriti yang beridentiti sendiri.

Hingga hari ini:
– Bahasa Melayu Patani tidak diberi tempat yang adil dalam pendidikan;
– Budaya dan sejarah kita dipadam dari naratif rasmi negara;
– Kawasan kita diperketat dengan kawalan keselamatan yang menekan kehidupan awam; dan
– Ramai saudara kita hilang tanpa berita, ditahan tanpa bicara, dan terkorban dalam konflik yang tiada penghujung.

Kami bukan ancaman keselamatan
Kami adalah rakyat yang menuntut maruah, hak, dan pengiktirafan. Dengan penuh hormat, kami menyeru:

  1. Agar situasi hak asasi dan hak minoriti di Patani diakui secara serius di peringkat PBB;
  2. Agar proses dialog damai dilaksanakan secara inklusif dan mengiktiraf suara sebenar rakyat Patani;
  3. Agar Thailand menghormati piawaian antarabangsa dalam hak minoriti, keadilan, dan akauntabiliti.

Tuan Pengerusi,
Tangisan dari Patani bukan tangisan kebencian, tetapi tangisan harapan.
Harapan agar anak-anak kita tidak lagi dibesarkan dalam ketakutan.
Harapan agar bahasa dan budaya kita terus hidup terhormat.
Harapan agar keamanan benar-benar milik rakyat — bukan hanya dalam dokumen.

Selepas 240 tahun, kami masih menunggu:

  • Penghormatan kepada identiti kami
  • Perlindungan terhadap hak kewujudan kami
  • Masa depan yang layak untuk generasi akan datang.
    Hak minoriti adalah hak asasi manusia, dan hak asasi manusia harus berlaku untuk Patani juga.
    Terima kasih.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading