PERKEMBANGAN pesat teknologi digital pada era ini telah mengakibatkan perubahan cara manusia berfikir, berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain. Penyebaran idea, nilai dan ideologi menjadi aspek atau topik utama perbincangan dalam ruang penyebaran media sosial kini yang dahulunya sekadar medium perhubungan dan hiburan. Namun, di sebalik manfaat yang ditawarkan dan disediakan, media sosial juga menjadi pendorong mahupun gelanggang cabaran besar terhadap akidah umat Islam.
Arus ideologi moden yang bercampur aduk dengan wacana agama dalam talian telah menimbulkan kekeliruan yang meresap secara halus ke dalam pemikiran masyarakat, khususnya dalam kalangan generasi muda. Antara cabaran yang paling ketara ialah kemunculan malah kebangkitan fahaman liberalisme, sekularisme dan relativisme moral. Ideologi ini mengutamakan dan mengesyorkan kebebasan mutlak dalam mencorakkan nilai hidup manusia tanpa berpaksikan agama.
Sebarannya sering kali disampaikan dalam bentuk yang menarik serta luar daripada konteks biasa yakni menggunakan sentimen “hak individu”, “kebebasan berfikir” dan “tidak menghukum” dalam ruang-ruang media sosial saban hari ini. Namun di sebalik retorik tersebut, terselit agenda yang tersembunyi yang menggugat malah menggoyahkan asas akidah Islam seseorang Muslim kerana menjadikan akal dan perasaan manusia sebagai ukuran atau panduan utama kebenaran, bukan wahyu.
Perkara ini semakin membimbangkan apabila ramai anak muda terpengaruh dengan agenda tersembunyi tersebut akibat tidak menyedari bahawa konsep kebebasan tanpa sempadan itu bertentangan dengan prinsip tauhid dan ketaatan kepada Allah SWT.
Selain itu, media sosial juga menjadi medium penyebaran ajaran dan tafsiran agama yang menyeleweng. Lambakan masyarakat yang tidak memiliki latar belakang pengajian ilmu agama menggunakan platform media sosial seperti TikTok, YouTube atau Instagram untuk berbicara tentang hukum-hakam dan akidah. Niat yang baik sahaja tidak memadai untuk mengamalkan amar makruf malah semestinya disertai dengan asas ilmu yang sahih agar kandungan yang dimuat naik tidak menimbulkan kekeliruan. Fenomena “ustaz media sosial” sejak kebelakangan ini menuntut masyarakat agar lebih berhati-hati dan bertabayyun terlebih dahulu kepada sumber ilmu yang sahih dan berautoriti.
Cabaran lain yang semakin menular ialah penyebaran skeptisisme agama yakni sebaran berbentuk keraguan terhadap kewujudan Tuhan, kerasulan dan kebenaran wahyu. Dalam wacana digital melalui akaun, medium – medium dan forum antarabangsa, aliran pemikiran seperti ateisme dan agnostisisme semakin mendapat ruang. Pengguna media sosial Muslim pada abad ini yang tidak mempunyai asas ilmu tauhid yang kukuh dan mantap akan mudah terpengaruh dengan hujah logik yang dibentangkan kerana kelihatan rasional. Kepentingan pendedahan kepada ilmu kalam dan pemikiran Islam kepada generasi Muslim kini mampu berdepan dengan agenda yang tersembunyi ini agar mampu menangkis idea-idea mencabar daripada kelompok berkenaan secara ilmiah dan berhemah.
Seterusnya, budaya hegemoni algoritma media sosial turut memberi cabaran yang semakin membimbangkan dalam membentuk corak pemikiran masyarakat. Kandungan – kandungan media sosial yang sensasi semata sahaja tanpa kebenaran yang tepat turut mendapat banyak tontonan. Fenomena ini menjadikan suara – suara yang membawa kebenaran menjadi tenggelam di sebalik lautan maklumat yang menghiburkan dalam rancaknya suasana media digital. Hal ini bersangkut paut dengan ajaran Islam yang mementingkan prinsip tabayyun iaitu menyelidik dan memastikan kebenaran sesuatu berita yang tersebar sebelum mempercayainya.
Walaupun demikian, dunia digital tidak hanya mempunyai sisi buruknya sahaja kerana dunia digital juga mampu menjadi medan dakwah yang sangat berkesan dan bermanfaat sekiranya digunakan dan diambil faedahnya secara terancang. Pendakwah muda kini ramai yang mengetengahkan diri masing – masing dengan pendekatan kreatif seperti penggunaan animasi, visual dan gaya atau laras bahasa yang mudah difahami untuk menyampaikan mesej atau kandungan media berkenaan Islam.
Strategi ini diambil serius agar Islam terus dekat dan subur dalam jiwa generasi baharu yang hidup dalam dunia digital. Antara perkara yang perlu dititikberatkan ialah memastikan setiap usaha dakwah berpaksikan serta bersandarkan ilmu, adab dan niat yang ikhlas kerana Allah SWT.
Oleh hal yang demikian, usaha kolektif perlu dilakukan daripada pelbagai pihak demi menangani cabaran ini. Institusi pendidikan Islam patutlah memperkukuh pengajaran atau pengajian akidah dan pemikiran Islam agar selari dengan realiti semasa. Dalam masa yang sama, pihak berautoriti agama wajar meningkatkan kualiti dalam ruang digital dengan kandungan yang menarik, bermanfaat dan mendidik. Masyarakat pula perlu menyuburkan budaya belajar melalui talaqqi majlis ilmu agar tidak mudah terpengaruh dengan ideologi moden yang menyesatkan.
Sebagai mahasiswa Islam, kita seharusnya berganding bahu memikul tanggungjawab ini untuk menjadi benteng yang paling kuat terhadap pemikiran ummah. Di saat derasnya arus penularan maklumat, peranan kita adalah semestinya mendidik dan menegur masyarakat dengan hikmah serta bukan sekadar menapis maklumat sahaja. Dalam Hadis Riwayat Muslim (78), Rasulullah SAW pernah bersabda, “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.”
Hadis ini menjadi panduan serta petunjuk agar umat Islam terus berperanan aktif dalam mencegah kemungkaran termasuk menjaga kemurnian akidah, walaupun di alam maya.
Kesimpulannya, dunia digital ini adalah pedang bermata dua. Medium ini boleh menjadi alat sebaran dakwah yang menyebarkan kebenaran yang sahih atau menjadi saluran ideologi yang memesongkan iman dan ideologi batil. Sebagai pengguna Muslim, kita sepatutnya memanfaatkan teknologi dengan bijak, berteraskan ilmu dan ketaatan kepada Allah SWT kerana apabila tauhid dijadikan asas dan tiang kehidupan, cabaran ideologi moden ini dapat dihadapi serta ditangkis dengan kekuatan iman dan kecerdikan ilmu.







Leave a Reply