DALAM arus kemajuan teknologi masa kini, masyarakat kini disajikan dengan pelbagai kemudahan dalam Internet dengan mudah dan tanpa sekatan. Namun begitu, Internet juga boleh menjadi musuh di dalam selimut terutamanya bagi generasi sekarang. Menurut portal Jabatan Penerangan Malaysia, terdapat 3,670 laman sesawang bersifat lucah yang telah dikenakan tindakan sekatan dari 2022 sehingga 15 Februari 2025.
Bukan itu sahaja, laman sesawang lucah dan bersifat dewasa itu juga menerima kira-kira 4.46 bilion lawatan pada setiap bulan. Hal ini menunjukkan terdapat kecanduan seks yang teruk dalam kalangan masyarakat pada hari ini.
Allah berfirman dalam Surah Al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk“.
Zina digital merupakan kemaksiatan yang dilakukan dalam dunia maya tanpa mengira tempat dan waktu dengan hanya memerlukan talian Internet yang pantas. Perkara ini agak sukar untuk dibendung kerana lambakan laman sesawang lucah dan kemudahan untuk mengakses laman sesawang tersebut. Tambahan pula dengan kewujudan Rangkaian Persendirian Maya (VPN) yang berfungsi untuk menyembunyikan alamat IP seseorang supaya privasi mereka dapat dilindungi dan menyukarkan trafik Internet agar ia tidak dapat dikenal pasti.
Sebagai contoh, terdapat beberapa laman sesawang anonymous random chat atau video call seperti Omegle TV yang telah dinormalisasikan sebagai tempat bermesej secara lucah (sexting). Selain itu, gejala zina digital juga telah merebak di media sosial seperti Instagram, X dan Tiktok yang mana kandungan lucah dapat diakses hanya dengan log masuk di akaun media sosial dengan mudah. Hal ini berlaku kerana terdapat demand dan supply yang tinggi bagi setiap kandungan lucah tersebut.
Perkara ini amat membimbangkan kerana sebahagian kandungan tersebut melibatkan remaja di bawah umur dan secara tidak langsung dapat menggalakkan lagi penyakit pedofilia dalam kalangan masyarakat.
Lebih parah, ada yang sanggup mencari rezeki dengan menjual kandungan tersebut melalui Telegram dan X terutamanya apabila kedua-dua platform tersebut didirikan atas dasar kebebasan maklumat dan privasi pengguna seperti enkripsi end-to-end dalam Telegram.
Dalam pada itu, implikasi zina digital terhadap masyarakat sepatutnya diambil serius terutamanya apabila ia sehingga melibatkan jenayah seksual. Dapat kita lihat pada hari ini, kebanyakan jenayah seksual seperti rogol dan cabul berakar umbi daripada menonton video lucah tanpa had. Kebanyakan pelaku jenayah ini mempunyai fantasi yang berbahaya dan mempunyai keinginan untuk merealisasikan fantasi tersebut dalam dunia sebenar.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, kebanyakan kes rogol yang berlaku di negeri tersebut berpunca daripada kandungan lucah tanpa sekatan terutamanya dalam kalangan remaja. Hal ini membangkitkan keresahan ibu bapa mengenai kesedaran anak-anak tentang bahaya jenayah rogol. Selain itu juga, zina digital membuatkan masyarakat hari ini kehilangan rasa malu sehingga sanggup berkongsi aurat kepada ajnabi yang tidak dikenali.
Ianya amat membimbangkan apabila dalam Internet mengandungi beberapa laman sesawang chat anonymous yang menjadi lubuk pertukaran mesej, gambar dan video lucah. Perkara ini perlu diberi perhatian kerana tiada penjagaan ikhtilat dan menyebabkan keja.tuhan maruah diri yang dilakukan oleh individu itu sendiri. Dapat dilihat bahawa zina digital membawa kepada keruntuhan akhlak dan masalah sosial yang pelbagai kepada semua lapisan umur dalam masyarakat pada hari ini.
Bagi mengatasi masalah ini, pendidikan ibu bapa sejak kecil memainkan peranan yang penting. Ibu bapa seharusnya menyediakan pendidikan yang terbaik bagi anak-anak seperti pendidikan Islam, moral dan seksual supaya anak-anak ini mendapat pendedahan awal tentang bahaya zina. Dalam pada itu, pengawalan gadget juga sepatutnya dilakukan oleh ibu bapa terutamanya kepada anak-anak yang di bawah umur.
Bak kata pepatah, melentur buluh, biarlah dari rebungnya, begitulah pemikiran anak-anak ini yang belum matang sepenuhnya, jadi atas tanggungjawab ibu bapa yang perlu mengawal durasi screen-time, kandungan atau video yang ditonton oleh anak-anak sejak kecil supaya mereka gejalan zina digital dapat dicegah. Allah SWT berfirman dalam surah An-Nur, ayat 30 dan 31, bahawa wajib ke atas lelaki dan wanita beriman untuk menundukkan pandangan, memelihara kehormatan dan tidak menampakkan perhiasan yakni aurat mereka.
Demikianlah, Islam telah menyediakan garis panduan yang betul bagi setiap individu yang beriman dalam menjaga kehormatan diri dari terjerumus ke dalam kancah zina. Maka, atas individu tersebut untuk menyedari tanggungjawab sebagai hamba Allah dan berasa malu terhadap Allah SWT atas dosa yang telah dilakukan.
Tidak dapat dinafikan, kehidupan dalam dunia digital tanpa sempadan sememangnya sesuatu yang mengujakan dan dapat melancarkan urusan harian. Namun masyarakat Muslim sepatutnya berwaspada dan selalu beringat bahawa
kemajuan teknologi bukanlah tiket untuk melanggar syariat Allah SWT. Gunakanlah kemudahan ini dengan berhemah supaya tidak mengundang murka-Nya. Pilihan ada di hujung jari, adakan ia menuju redha Allah atau sebaliknya?







Leave a Reply