MAHKAMAH Wilayah Narathiwat meluluskan permohonan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan terhadap keputusan membebaskan penyanyi dikir barat Kelantan, suami dan empat rakan mereka, atas tuduhan bersama memiliki 6,059 biji pil methamphetamine.

Jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat ketika menghubungi apakhabartv.com memaklumkan kelulusan kali ini adalah yang terakhir, dan tidak akan dibenarkan lagi.

“Mahkamah telah mempertimbangkan permohonan yang dibuat oleh pendakwa raya hari ini, 4 Julai 2025, yang meminta tempoh memfailkan rayuan dilanjutkan untuk kali terakhir.

“Mahkamah memberi kebenaran lanjutan sehingga 6 Ogos depan dan mengingatkan pihak pendakwa raya supaya membuat keputusan sebelum tarikh berkenaan,” katanya petang ini (4 Julai 2025).

Susulan keputusan itu, Eda Ezrin atau nama penuhnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30; suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35; serta rakan mereka, Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26, akan terus ditahan di Penjara Pusat Narathiwat sehingga 6 Ogos depan.

Menjawab soalan beliau mengakui bahawa mengikut peraturan, pendakwa raya dibenar mengemukakan empat kali permohonan bagi melanjutkan tempoh memfailkan rayuan.

Pihak pendakwa raya mesti mengemukakan permohonan itu dari sebulan ke sebulan dan tidak lebih empat kali.

Bagaimanapun, jurucakap itu berkata, kebenaran yang diberi hari ini adalah hak mahkamah dalam mempertimbangkan kes dadah berkenaan, dan tidak boleh dipertikaikan.

Dalam kes, penyanyi dikir barat yang terkenal dengan lagu ‘Bae Soba Bae’, suami dan rakan-rakannya, mahkamah membenarkan permohonan pertama pendakwa raya antara 6 Mac hingga 6 April; kedua (6 April-6 Mei); ketiga (6 Mei-10 Jun); keempat (10 Jun-6 Julai); dan kelima (6 Julai-6Ogos).

“Selepas ini tidak ada lagi (sambung tempoh lanjut permohonan). Kita tunggu sama ada pendakwa raya akan failkan rayuan atau semua tertuduh akan dibebaskan,” katanya.

6 Mac lalu, Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan keenam-enam mereka daripada tuduhan secara bersama memiliki untuk menjual 6,059 biji pil methamphetamine.

Disebabkan semua tertuduh adalah rakyat asing, mereka tidak boleh dibebaskan segera kerana pihak pendakwa raya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Semua tertuduh ditahan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Golok dalam sebuah bilik hotel di Sungai Golok pada 1 November 2024. Dalam serbuan itu polis turut merampas 6,059 biji pil methamphetamine.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading