MAHKAMAH Rayuan Wilayah 9 Thailand menafikan laporan media Malaysia mengatakan kes dadah penyanyi dikir barat Kelantan, Eda Ezrin dan lima yang lain, telah dipindahkan ke mahkamah itu.

Jurucakap Pejabat Mahkamah Rayuan Wilayah 9 di Narathiwat ketika ditemui petang ini (30 Jun 2025) berkata, pihaknya belum menerima apa-apa permohonan daripada pendakwa raya wilayah berkaitan kes itu.

Terdahulu, empat media utama kumpulan Media Prima – Berita Harian, Harian Metro, New Straits Times, dan Buletin TV3 – melaporkan kes membabitkan Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail; suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35; serta rakan mereka – Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26, telah dipindahkan ke Mahkamah Rayuan di Songkhla atas permintaan pendakwa raya Thailand.

Media terbabit memetik sumber mendakwa Mahkamah Wilayah Narathiwat telah meluluskan permohonan pihak pendakwa raya untuk memindahkan kes rayuan tersebut ke Mahkamah Rayuan di Songkhla.

“Tidak ada… pendakwa raya belum kemuka rayuan kes berkenaan,” katanya sambil menyemak rekod di dalam komputer.

Mengulas lanjut, jurucakap Mahkamah Rayuan Wilayah 9 itu juga berkata sebarang permohonan rayuan perlu dikemukakan melalui pejabat Mahkamah Wilayah Narathiwat terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada pihaknya.

Mahkamah Rayuan Wilayah 9 yang terletak di Wilayah Songkhla membicarakan semua kes rayuan untuk Selatan Thai.

Sementara itu, jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat berkata, pihaknya juga tidak menerima apa-apa permohonan berkaitan kes enam rakyat Malaysia itu, daripada pihak pendakwa raya.

“Mengikut prosedur… semua rayuan kes perlu dikemukakan ke pejabat mahkamah wilayah terlebih dahulu sebelum pihak kami menghantarnya kepada Mahkamah Rayuan.

“Mengikut rekod dalam sistem komputer kami, tiada apa-apa permohonan lagi daripada pihak pendakwa raya berkenaan kes enam rakyat Malaysia itu,” katanya ketika ditemui.

Ditanya mengenai sistem kemas kini sesuatu kes atau rayuan ke dalam sistem komputer mahkamah, beliau menjelaskan pihaknya akan memasukkan semua data dalam komputer sebaik sahaja menerima permohonan.

Pada masa sama jurucakap itu meminta media datang sendiri ke mahkamah untuk membuat pengesahan sesuatu kes supaya tidak mengelirukan semua pihak.

“Ikut rekod kami tiada permohonan (oleh pendakwa raya)… jadi berita itu tidak benar… awak datang semula pada 6 Julai depan,” katanya.

Ketika diberitahu bahawa 6 Julai adalah hari Ahad (hari cuti), jurucakap itu berkata:

“Datang pada 7 Julai (Isnin)… walaupun permohonan berakhir pada 6 Julai, tetapi jika tarikh berkenaan jatuh pada hari cuti ia boleh dilanjutkan pada hari bekerja berikutnya.”

Eda Ezrin yang terkenal dengan lagu hit ‘Bae Soba Bae’ bersama suami dan empat rakan mereka dalam satu operasi Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Golok di sebuah hotel, pada 1 November 2024, selepas mendapat maklumat daripada polis Malaysia.

Pada 6 Mac lalu, Mahkamah Wilayah Narathiwat yang bersidang selama tiga hari bermula 11, 13 dan 14 Februari, membebaskan mereka daripada tuduhan secara bersama memiliki untuk menjual 6,059 biji pil methamphetamine.

Oleh kerana semua tertuduh adalah rakyat asing, mereka tidak dibenar dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu pendakwa raya mengemukakan rayuan.

Susulan itu, mereka kini ditahan di Penjara Pusat Narathiwat.

Semua berita mengenai Eda Ezrin di Narathiwat DI SINI

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading