
PUSAT Perintah Hadapan Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 Thailand (ISOC 4) yakin pelaksanaan prinsip ‘Hukum Pakat’ dan ‘Piagam 9 Amalan Baik Kampung’ di Selatan Thai dapat memastikan rakyat hidup aman, mempunyai pekerjaan, pendapatan, dan kualiti hidup yang lebih baik.
Pengarah Pusat Perdamaian ISOC 4, Mejar Jeneral Chalermchai Sutthinuan berkata pihaknya beroperasi berdasarkan prinsip penyelesaian secara aman, menyasarkan semua peringkat masyarakat iaitu kanak-kanak, belia, pelajar institusi pendidikan, dan warga emas.
ISOC 4 bertanggungjawab ke atas beberapa wilayah di Selatan Thai, termasuk kawasan konflik bersenjata utama iaitu Narathiwat, Yala dan Pattani, serta empat daerah di Songkhla – Saba Yoi; Tepha; Chana; dan Natawee.

Menurutnya, Pusat Pengaman ISOC 4 memainkan peranan penting dalam mewujudkan kefahaman dan meningkatkan pengetahuan orang ramai serta pegawai kerajaan dalam tugas mereka di wilayah sempadan selatan (Deep South), terutama dalam isu kepelbagaian agama, budaya dan tradisi.
“Kami juga bertanggungjawab menjalin hubungan baik dengan pemimpin agama untuk menyentuh golongan belia, terutama remaja sekolah, melalui prinsip ‘Hukum Pakat’ dan ‘Piagam 9 Amalan Baik Kampung’ yang diterbitkan dalam bahasa Thai dan Melayu (tulisan jawi) dan diedarkan melalui agensi berkaitan.
“Sembilan amalan baik meliputi menjadi insan baik; memiliki kebijaksanaan; pendapatan seimbang; kesihatan yang baik; alam sekitar yang sihat; masyarakat yang mesra; bebas jenayah; menubuhkan dana berdikari; dan jawatankuasa kampung yang teguh,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan ISOC 4 hari ini (3 Julai 2025).
Chalermchai juga menjelaskan tugas itu memfokuskan kepada lima bidang strategik iaitu:
- Kawalan kawasan dan penguatkuasaan undang-undang secara adil;
- Pencegahan dan penyelesaian masalah dadah;
- Menggalakkan hidup bersama dalam masyarakat berbilang budaya;
- Membangun kefahaman; dan
- Usaha integrasi dalam keselamatan dan pembangunan untuk memastikan kesinambungan dan keberkesanan.
“Sokongan diberikan selaras dengan Pusat Pentadbiran Wilayah Selatan (SBPAC). Semua kerajaan komited menyelesaikan keadaan berdasarkan konteks sosial berbilang budaya, dengan semua pihak bekerjasama membina kefahaman,” katanya.
Beliau menegaskan majoriti rakyat di rantau ini menolak keganasan, dan menangkis laporan palsu di media sosial yang menuduh kononnya kerajaan menangkap rakyat kerana memakai pakaian tradisional Melayu.
Menurutnya, kerajaan menyokong kepelbagaian budaya melalui Akta Pemeliharaan Warisan Budaya Negara 2016, yang mengiktiraf identiti tempatan.
Chalermchai juga berkata, Thailand dan Malaysia mempunyai hubungan erat dan konstruktif, malah secara berkala bekerjasama melalui mesyuarat keselamatan dan latihan ketenteraan tahunan melibatkan darat, udara, dan laut.
Katanya, walaupun terdapat kumpulan yang cuba menanam perpecahan beliau yakin Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini sebagai platform perpaduan serantau dalam menangani cabaran global.
Beliau berkata, jambatan kedua menghubungkan Sungai Golok di Wilayah Narathiwat dan Rantau Panjang, Malaysia, adalah simbol kerjasama keamanan antara dua negara.

Sementara itu, Panglima Tentera Wilayah 4, Leftenan Jeneral Paisal Nusang berkata, walaupun keganasan berkurang, kumpulan tertentu masih cuba mencetuskan kekacauan, terutama melalui media sosial.
Beliau berterima kasih kepada rakyat dan semua pihak atas sokongan dalam membantu pihak berkuasa mencapai misi mewujudkan persekitaran selamat dan aman dengan kualiti hidup yang lebih baik.
Sambil menghargai media tempatan dan antarabangsa atas minat dan memberi peluang kepada Kerajaan Thailand menerangkan keadaan, beliau juga menjelaskan lima undang-undang keselamatan khas yang diguna pakai di Selatan Thai, ialah:
- Akta Darurat (2004)
- Proklamasi Keadaan Darurat (2005)
- Akta Keselamatan Dalam Negeri (2008)
- Akta Undang-undang Islam
- Perundangan khusus di bawah SBPAC dan pihak keadilan
Sementara itu, Pengerusi Majlis Penasihat Pentadbiran dan Pembangunan SBPAC, Khoddari Sen menjelaskan majlis berkenaan ditubuhkan mengikut Akta SBPAC 2010.
Beliau menegaskan bahawa matlamat utama penubuhan majlis itu ialah untuk menjadi tempat pergantungan bagi rakyat tempatan, dengan akses yang mudah dan dasar yang jelas, berdasarkan tiga teras utama iaitu:
- Memperkukuhkan organisasi dari segi bajet, sumber manusia, dan mekanisme kerja yang cekap;
- Menyokong pelaksanaan tugas SBPAC, Majlis Keselamatan Negara (NSC), dan ISOC, khususnya dalam memperkasakan mekanisme masyarakat akar umbi bagi mencapai keselamatan dan keamanan; dan
- Memperkasa masyarakat sivil melalui rangkaian komuniti, pendidikan, dan kebudayaan pelbagai, selari dengan pengukuhan ekonomi komuniti dan persediaan menghadapi perubahan ekonomi makro.
“Ahli Majlis Penasihat ini bertekad untuk bekerjasama sebagai tempat bergantung rakyat, demi mewujudkan masyarakat yang stabil, aman, dan setara di Wilayah Sempadan Selatan,” kata Khoddari.

Pada masa sama, Setiausaha Agung SBPAC, Kolonel Polis Wannapong Kocharak menekankan kerjasama strategik dengan Malaysia, termasuk pelbagai inisiatif penting bagi meningkatkan keselamatan, ekonomi asas, sosial dan pendidikan, melalui rangkaian antarabangsa.
Menurutnya, SBPAC berperanan memperbaiki kualiti hidup rakyat dan menggalakkan kerjasama.
“SBPAC merupakan agensi penyelarasan antara agensi kerajaan, termasuk tentera, polis, awam, dan pentadbiran, dengan menggunakan pendekatan “Faham; Dekati; Bangkit”,” katanya memetik kenyataan ISOC 4.
Wannapong berkata, dasar SBPAC disokong oleh strategi yang jelas melalui penglibatan pelbagai pihak, komunikasi strategik, dan dialog keamanan, dengan pendekatan kepelbagaian budaya sebagai asas.
Namun, penstrukturan dalaman dan sistem pemantauan-perlaksanaan perlu diperbaiki agar lebih berkesan, jelas beliau lagi.
Katanya, sebuah pasukan khas bersama telah ditubuhkan antara lima wilayah Selatan Thai dan lima negeri di Malaysia untuk mempercepat pelaksanaan Projek Bandar Ekonomi Selatan.
“Projek infrastruktur bersama turut dirancang, seperti pos kawalan CIQ, perkhidmatan feri Ro-Ro, jalan raya dan jambatan sempadan Thailand-Malaysia,” katanya.





Leave a Reply