PERTUBUHAN Pembebasan Patani Bersatu (PULO) – salah satu kumpulan pejuang kemerdekaan Selatan Thai – menafikan rancangan melakukan siri pengeboman di beberapa lokasi di tiga pusat pelancongan utama baru-baru ini, ada kaitan dengan pergerakan itu.

Presiden PULO, Kasturi Mahkota berkata, beliau tidak terkejut jika ada pihak yang menuding jari kepada pergerakan itu kerana aksi di luar sempadan selatan (Deep South), pernah dilakukan pihaknya.

“Sebenarnya apa yang berlaku di Phuket, Phang Nga dan Krabi, baru-baru ini tidak ada kaitan langsung dengan PULO.

Objek mencurigakan ditemui di Taman Negara Hat Noppharat Thara–Mu Ko Phi Phi di Mukim Ao Nang, daerah Mueang, Krabi, baru-baru ini.

“Tetapi tuduhan ini memang telah dijangka oleh pihak kami kerana aksi di luar kawasan ini (di luar Deep South) selalu dilakukan oleh PULO pada masa-masa lalu.

“Ia (tuduhan) seperti mana Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) yang beraksi di dalam kawasan (Deep South) selalu menjadi sasaran tuduhan, walaupun perbuatan itu dilakukan oleh pihak lain,” katanya kepada apakhabartv.com ketika dihubungi di Sweden, hari ini (1 Julai 2025).

Pada 11 April 2015 lalu, PULO dikatakan bertanggungjawab dalam letupan bom kereta di pulau pelancongan popular Koh Samui di Wilayah Surat Thani (di luar Deep South) yang menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh cedera, termasuk pelancong Itali.

Untuk rekod, Deep South merujuk kepada kawasan konflik paling ganas di Selatan Thai yang merangkumi tiga wilayah iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat, serta empat daerah di Wilayah Songkhla – Saba Yoi; Tepha; Chana; dan Natawee.

Mengulas lanjut, beliau yakin kejadian di tiga pusat peranginan itu bertujuan mendapat perhatian masyarakat antarabangsa terhadap konflik Selatan Thai yang berlanjutan tanpa ada tanda-tanda berakhir.

Kasturi juga menjelaskan aktivis-aktivis di lapangan tidak terlalu terikat dengan mana-mana pergerakan sebaliknya mereka berjuang untuk membebaskan bumi Patani.

Objek dipercayai bom jangka ditemukan berhampiran pagar kediaman rasmi gabenor Phang Nga, baru-baru ini.

“Memang benar ada anggota BRN berpindah kepada PULO dan tentu sekali ada juga dari PULO yang kemudian menyertai BRN. Ini adalah perkara biasa,” katanya.

Beliau juga mengakui kekuatan PULO sekarang ini tidak setanding BRN.

Namun, menurutnya, PULO sedang berusaha untuk membina semula kekuatan lapangan dan beliau yakin dengan bantuan Allah pergerakan itu akan kembali ke tahap kegemilangan seperti pada tahun 80-an dan 90-an.

Pada masa sama, katanya, PULO juga terus berusaha berkerjasama dengan pihak lain yang mempunyai kepentingan bersama termasuk dengan BRN.

Menjawab soalan, Kasturi berkata, setakat ini PULO tidak berminat terhadap proses rundingan damai dengan Kerajaan Thailand.

“Soal rundingan damai… PULO amat tidak berminat kerana kami melihat pihak (kerajaan) Thailand belum menunjukkan kesungguhan.

“Cuma kerana rasa hormat kami kepada Kerajaan Malaysia sebagai fasilitator, maka PULO cuma mengikut sahaja rancangan proses damai itu,” jelas beliau.

Terdahulu ada pihak yang mendakwa tindakan meletakkan beberapa objek dipercayai bom jangka di beberapa lokasi di tiga pusat pelancongan itu, termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket, mungkin dilakukan pasukan operasi PULO.

Pihak terbabit juga mendakwa, tindakan itu bertujuan mendesak kerajaan Thai untuk memulakan rundingan damai dengan PULO.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading