
SEKURANG-KURANGNYA 50 anggota kumpulan bersenjata menyerang sebuah pangkalan tentera di Daerah Sukhirin di Wilayah Narathiwat, pagi tadi (28 Jun 2025), menyebabkan dua anggota pasukan pertahanan sukarelawan (OrSor) cedera.
Dalam serangan pada jam 5.45 pagi tadi di Ban Aiyamu, Kampung 2, Mukim Mamong, Sukhirin, penyerang turut melempar tiga bom paip, tetapi tidak meletup.
Siasatan pihak berkuasa dengan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sebelum kejadian, terdapat kira-kira 50 pelaku berpecah kepada tiga kumpulan.

Kumpulan pertama menyerang dari sepanjang dan hutan tebal di sebelah kiri pangkalan, manakala kumpulan kedua datang di arah belakang asrama; dan kumpulan ketiga dari tepi jalan bertentangan dengan pangkalan berkenaan.
Tiga kumpulan terbabit melakukan kepungan dan menggunakan senjata perang serta bom paip untuk menyerang anggota tentera dan OrSor di tiga titik sasaran iaitu kawasan asrama, bangunan markas dan di depan pangkalan.
Ketua pangkalan berkenaan, Sarjan Mejar Masod Nakwarin mengarahkan anggotanya untuk mengambil kedudukan di pusat pemeriksaan dan menggunakan senjata api peribadi untuk membalas serangan.
Pertempuran dilaporkan berlaku selama kira-kira 20 minit. Kumpulan penyerang menggunakan pelancar bom tangan M16, senjata api jenis AK, senapang patah, dan M79 berselang-seli dengan melontar bom paip ke pangkalan, sebelum melarikan diri ke dalam hutan.
Apabila pertempuran berhenti, didapati dua anggota cedera. Mereka iaitu Sarjan Mejar Aphisit Sri-anurak, 43 tahun, pegawai projek OrSor yang cedera di pinggang, dan Waeamram Waesamae, cedera di kepala.
Aphisit dihantar ke Hospital Sikhirin, manakala Waeamram dikejarkan ke Hospital Sungai Golok untuk rawatan lanjut.
Daripada pemeriksaan di tempat kejadian, anggota keselamatan menemukan tiga bom paip iaitu masing-masing di kawasan belakang menara tinjau di kiri pangkalan, di hadapan bangunan pentadbiran dan di belakang asrama.
Sementara menunggu anggota unit pemusnah bom tiba, bom paip di belakang menara tinjau tiba-tiba meletup, tetapi tiada cedera kerana kawasan terbabit telah di kepung.
Dua lagi bom paip dimusnahkan menggunakan pistol air bertekanan tinggi. Pihak berkuasa masih menyiasat kumpulan terbabit yang dipercayai cuba menimbulkan keadaan tidak tenteram di wilayah sempadan selatan.






Leave a Reply