PHUKET (Thailand): Dua lelaki yang ditahan di Daerah Phang Nga Selasa lalu (24 Jun 2025) mengaku merancang beberapa siri serangan bom di seluruh pusat pelancongan terkenal di Selatan Thai itu, termasuk bom motosikal di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket.

Suspek yang dikenali sebagai Sulaiman dan Mahama – kedua-duanya dari Selatan Thai – ditahan di Wilayah Phuket bersama sebuah kereta dan bom, kemudian dipindahkan ke Pusat Gerakan Polis Wilayah Yala semalam (25 Jun) untuk soal siasat lanjut.

Ketika soal siasat berasingan, Mahama mengaku secara berasingan memasang tiga bom. Dia secara khusus mendedahkan bahawa sebuah motosikal berwarna putih, dipasang bahan letupan bertujuan melakukan serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket.

Motosikal yang dipercayai dipasang bom dan diletakkan di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket dimusnahkan semalam (25 Jun 2025).

Polis kemudian mengesan motosikal berkenaan di lapangan terbang itu lewat petang semalam dan memusnahkannya melalui letupan terkawal.

Menurut laporan Polis Phang Nga, penyiasat yang menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kira-kira jam 9 malam Sabtu lalu (21 Jun), rakan Mahama menghantar motosikal berwarna putih ke sebuah rumah di kawasan Yarang, di Wilayah Pattani. Kemudian, seorang rakannya bernama Paju menjemput Mahama dari rumah itu.

Mereka bergerak bersama ke kawasan Hat Sakom di Songkhla dengan menaiki trak pikap Toyota gangsa. Apabila mereka tiba, sebuah kereta sedan (yang kemudiannya dirampas) dan tiga motosikal, telah sedia menunggu.

Jurucakap polis berkata, kumpulan itu terdiri daripada Mahama (menunggang motosikal berwarna putih); Paju (menunggang motosikal biru}; Po Sue (menunggang sebuah lagi motosikal berwarna putih); dan Sulaiman (memandu kereta sedan, yang membawa bom dan bahan api tersembunyi di dalam ruang tayar dan enjin).

“Konvoi mereka bergerak ke Phuket dengan Paju dan Po Sue mengetuai motosikal, Sulaiman memandu kereta sedan di tengah, dan Mahama mengikut di belakang dengan motosikalnya. Sepanjang perjalanan, mereka menukar motosikal dan jaket bagi mengelak dikesan dan berhenti semalaman di Krabi.

“Keesokan paginya, sekitar jam 8 pagi, mereka terus menuju ke Phuket. Sebelum tiba, mereka memasang beg penghantaran makanan Grab pada motosikal untuk menyamarkan.

“Sekitar tengah hari, mereka singgah di Masjid Baan Tha Chatchai di utara Phuket untuk makan dan solat, menghabiskan masa kira-kira 30 minit di sana. Mereka kemudiannya menuju ke Masjid Nurul Jannah di Baan Bang Rong di Pa Khlok untuk solat zohor.

“Selepas solat, Paju menyembunyikan bom di bawah tempat duduk motosikal berwarna putih, menukarnya menjadi ‘bom motosikal’. Paju kemudian menunggang motosikal itu, manakala Po Sue mengikut dengan motosikal lain untuk mengambil Paju selepas ‘bom motosikal’ dipakir. Kedua-duanya kemudian kembali ke masjid itu,” katanya.

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan pergerakan anggota kumpulan penyerang di sekitar Phuket.

Menurut pengakuan itu, kumpulan terbabit kemudian meletakkan bom lain di Laem Phromthep.

“Untuk misi ini, Mahama menunggang motosikal putih, Paju motosikal biru, dan Po Sue bersama Sulaiman menaiki kereta.

“Apabila mereka tiba di tempat sasaran, mereka meletakkan bahan letupan yang tersembunyi di dalam motosikal, kemudian menyerahkan motosikal kepada Po Sue untuk dipakir,” katanya.

Mahama juga dilaporkan mengaku kumpulan itu kemudian bergerak ke Pantai Patong, di mana mereka menanam dua bom tambahan.

Di Pantai Patong, Mahama menyerahkan bom kepada Po Sue untuk ditanam. Kumpulan itu kemudian berpecah dan meneruskan perjalanan secara berasingan sebelum Mahma dan Sulaiman tertangkap.

Sulaiman dalam pengakuannya mengesahkan bom motosikal itu diletakkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket. Motosikal itu kemudian diletupkan oleh pasukan pemusnah bom dan serpihannya diambil untuk siasatan lanjut.

Komander Polis Wilayah Phuket, Mejar Jeneral Sinlert Sukhum pula berkata polis masih menjalankan siasatan rapi untuk mengenal pasti rakan jenayah kedua-duanya dan menentukan sama ada rancangan itu dikaitkan dengan ancaman keselamatan serantau yang lebih luas.

Beliau berkata, pihak berkuasa masih menjalankan untuk menentukan sama ada peranti yang ditemui tersembunyi di dalam motosikal di Lapangan Terbang Phuket adalah bahan letupan.

Menurutnya, mengikut protokol keselamatan standard, pasukan EOD memusnahkan objek yang mencurigakan itu kira-kira jam 6:20 petang semlam.

Pada peringkat ini, kami belum dapat mengesahkan sama ada objek itu sebenarnya bom, katanya.

Jika ia adalah bom sebenar, kerosakan mungkin lebih teruk. Bagaimanapun, pemeriksaan awal menunjukkan hampir tiada kerosakan daripada proses pemusnahan.

Pihak berkuasa melakukan pencarian pagi tadi (26 Jun 2025) setelah dimaklumkan bom ditanam di Pantai Patong, Phuket, Thailand.

“Serpihan daripada objek telah dikumpul dan akan dihantar untuk analisis forensik selanjutnya untuk menentukan dengan tepat item itu. Polis meneruskan siasatan mereka dan tidak menolak sebarang kemungkinan,” katanya.

Sukhum berkata, Polis Wilayah Phuket telah meningkatkan tahap pemeriksaan di setiap pusat kawalan.

“Saya ingin memberitahu orang ramai termasuk pelancong supaya tidak bimbang berkaitan keselamatan. Polis Wilayah Phuket, bersama-sama entadbiran wilayah dan tentera, telah menyelaraskan pasukan mereka untuk mencegah insiden dari segi keselamatan dan jenayah am,” katanya.

Sementara itu, unit pemusnah bom menembak objek mencurigakan menyerupai bom yang tertimbus sedalam lebih 50cm di dalam pasir di Pantai Patong, Phuket, hari ini (26 Jun 2025).

Objek mencurigakan itu ditemukan polis Phuket selepas pengakuan Sulaiman dan Mahama. Ia kemudian dimusnahkan, manakala serpihannya diambil untuk dianalisis.

Sehingga kini, kawasan itu telah dikepung. Polis melarang pelancong dan orang ramai berjalan melalui kawasan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Sementara itu, menurut polis maklumat pengakuan kedua-dua individu terbabit didapati selaras dengan garis masa pemeriksaan kamera litar tertutup, iaitu seperti berikut:

22 Jun 68

  • 10.21 pagi – ambil kereta di Pantai Wang Nao (Pantai Na Thap), Mukim Na Thap, Daerah Chana, Wilayah Songkhla;
  • 12.07 tengah hari – melalui Pejabat Tanah Wilayah Songkhla, Cawangan Rattaphum;
  • 1.42 tengah hari – tiba di kedai membaiki trak dan tayar kereta, Jalan Phetkasem, Mukim Khok Muang, Daerah Khao Chai Son, Wilayah Phatthalung;
  • 4.55 petang – Masjid Ban Phru Pheng, Mukim Nuea Khlong, Daerah Nuea Khlong, Wilayah Krabi;
  • 6.57 petang – tapak khemah taman, Mukim Ao Nang, Daerah Mueang Krabi, Wilayah Krabi; dan
  • 10.54 malam – Pantai Nopparat Thara.

23 Jun 68

  • 6.45 pagi – Bertolak dari Pantai Noppharat Thara;
  • 7.03 pagi – Kedai serbaneka Cawangan Ban Klong Haeng, Daerah Ao Nang, Daerah Mueang Krabi, Wilayah Krabi;
  • 7.53 pagi – Stesen Minyak Ban Tung, Mukim Khao Kram, Daerah Mueang Krabi, Wilayah Krabi;
  • 1.31 tengah hari – Masjid Nurul Ibadia, Mukim Mai Khao, Daerah Thalang, Wilayah Phuket;
  • 4.20 petang – Kedai Serbaneka, Cawangan Kampung Thinwut, Jalan Chao Fa West, Mukim Chalong, Daerah Mueang Phuket, Wilayah Phuket;
  • 4.44 petang – Kafe, Mukim Rawai, Daerah Mueang Phuket, Wilayah Phuket;
  • 5.06 petang – Laem Phromthep, Mukim Rawai, Daerah Mueang Phuket, Wilayah Phuket;
  • 8.09 malam – Restoran, Jalan Sirirat, Mukim Patong, Daerah Kathu, Wilayah Phuket;
  • 8.24 malam – Resort, Jalan Thawiwong, Mukim Patong, Daerah Kathu, Wilayah Phuket;
  • 9.18 malam – Sebuah hotel di Jalan Thawiwong, Mukim Pa Tong, Daerah Kathu, Wilayah Phuket; dan
  • 10:49 malam – Pantai Surin, Mukim Cheng Talay, Daerah Thalang, Wilayah Phuket.
Unit Pemusnah Bom menutup Pantai Patong di Phuket setelah diberitahu mengenai ancaman bom hari ini (26 Jun 2025).

Polis juga mengesahkan siasatan rapi memperoleh maklumat berguna dan pihak berkuasa sedang memburu kumpulan terbabit yang melarikan diri.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama cubaan mensabotaj pusat ekonomi dan pelancongan, khususnya di Phuket.

Pada 22 Disember 2013, pihak berkuasa menemui sebuah pikap dengan sejumlah besar bahan letupan yang dikenali sebagai ‘bom kereta’, diletakkan di belakang Balai Polis Bandaraya Phuket, dan berjaya dimusnahkan. Bom kereta ini dipercayai diletakkan sejak 8 Disember tetapi tidak meletup.

Awalnya pada 20 Disember, polis melancarkan operasi jenayah cuti Krismas dan Tahun Baharu, Mereka mendapati kereta itu diletakkan tanpa sesiapa menuntutnya, manakala nombor pendaftaran pula tidak sepadan dengan nombor casis.

Siasatan lebih mendalam mendapati kereta itu dicuri di Daerah Saiburi, Wilayah Pattani pada 9 Mei tahun sama, dan pemilik kereta itu terbunuh. Apabila keadaan tidak baik, polis menunda kereta itu ke tempat selamat dan menghubungi unit pemusnah bom untuk memeriksanya.

Mereka kemudian mendapati terdapat bahan letupan buatan sendiri yang dibungkus dalam dua silinder gas memasak, setiap satu seberat 15 kilogram. Silinder gas disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu.

Bagaimanapun, dua tahun kemudian bom kereta meletup di tempat letak kereta pusat beli-belah Central Festival di pusat pelancongan Koh Samui, wilayah Surat Thani.

Serangan bom di Daerah Hua Hin, Prachuap Khiri Khan menyebabkan dua terbunuh dan 24 lagi cedera pada 11 Ogos 2016.

Kejadian pada 10 April 2015 menyebabkan tujuh cedera dan lebih 10 kereta serta motosikal rosak. Pelaku dari Wilayah Yala dan dengan dua kenderaan pengiring, berjaya melakukan serangan di Koh Samui, walaupun mereka terpaksa menaiki feri untuk menyeberang.

Bermula 10 hingga 12 Ogos 2016 pula, tujuh kawasan di Selatan Thai iaitu Trang; Nakhon Si Thammarat; Krabi; Phang Nga; Phuket; Surat Thani; dan Prachuap Khiri Khan (Daerah Hua Hin), berdepan serangan bom di lebih 20 lokasi.

Phuket adalah wilayah pertama iaitu pada 10 Ogos di mana dua bom api ditemukan di Tambon Pa Tong, Amphoe Kathu, di sebuah gerai pakaian di Paradise Market dan di sebuah kedai pakaian di Chinatown Market. Ia kemudian dimusnahkan.

Pada 12 Ogos, terdapat dua letupan masing-masing satu di Taman Loma di Daerah Patong, mencederakan seorang, dan satu lagi di pondok kawalan trafik di Balai Polis Kathu.

Di Wilayah Trang, dua serangan berlaku pada 11 dan 12 Ogos menyebabkan seorang terbunuh dan tujuh lagi cedera.

Kejadian pertama di Pasar Center Point, Tambon Thap Thiang, Daerah Mueang, pada 11 Ogos, manakala pada 12 Ogos pula berlaku kebakaran di Gedung Serbaneka Lee Wattana Thaworn (Lee Mart Super Wholesale), Tambon Thap Thiang, Daerah Mueang, akibat letupan bom api.

Wilayah Surat Thani – pada 12 Ogos, berlaku kebakaran di Kedai Plastik Taweesin, Daerah Mueang. Pada hari sama, terdapat juga dua letupan iaitu di hadapan pejabat Bahagian Polis Marin ke-6, Daerah Mueang, dan di hadapan pondok ATM di Balai Polis Mueang. Terdapat satu kematian dan tiga cedera.

Wilayah Phang Nga – pada 12 Ogos, berlaku kebakaran di sebuah pasar di Khao Lak, Mukim Khao Lak, Daerah Takua Pa yang disebabkan bom api. Pada hari sama berlaku dua lagi letupan iaitu di Pasar Bang Niang, Mukim Khukkak, Daerah Takua Pa, dan di Memorial Kapal T.813, bertentangan dengan Pasar Bang Niang.

Wilayah Nakhon Si Thammarat – Pada 12 Ogos, kebakaran berlaku di pusat beli-belah Twin Lotus di Daerah Mueang disebabkan bom api.

Wilayah Prachuap Khiri Khan – Pada 11 Ogos, dua letupan berlaku di Daerah Hua Hin melibatkan Kedai Gunting Rambut John 56 dan di Raintree Spa. Seorang maut dan 21 cedera. Pada 12 Ogos, dua letupan berlaku di hadapan Wat Hua Hin dan di dalam pasu bunga di bawah Menara Jam Hua Hin. Seorang maut dan tiga cedera.

Wilayah Krabi – Pada 12 Ogos kebakaran berlaku di sebuah kedai pakaian di Mukim Ao Nang, Daerah Mueang disebabkan bom api.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading