
SEKURANG-KURANGNYA enam perbuatan khianat, termasuk membakar bangunan dan kenderaan, berlaku di enam lokasi di dua daerah di Wilayah Pattani, malam tadi (25 Jun 2025), tetapi tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.
Kejadian dilaporkan berlaku di Daerah Kapho dan Saiburi bermula kira-kira jam 8 malam hingga 9.30 malam tadi.
Siasatan awal polis mendapati selain membakar bangunan dan kenderaan, pihak terbabit juga meletakkan objek mencurigakan menyerupai bahan letupan buatan sendiri serta menabur paku di beberapa jalan, sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang awam.

Di Daerah Kapho, objek yang mencurigakan ditemui di empat lokasi melibatkan:
- Sepanjang jalan di Ban Utae Bueraeng, Kampung No. 2, Mukim Talo Dueraman;
- Kawasan Kampung No 3, Mukim Karubi;
- Depan Sekolah Mu Lo Kampung No 4, Mukim Plong Hoi; dan
- Kawasan Jambatan Ban Mu Lo, Kampung No. 7, Mukim Plong Hoi.
Di Daerah Saiburi, terdapat dua kejadian iaitu:
- Membakar kenderaan dan bangunan Pertubuhan Pentadbiran Daerah Paen, Kampung No 2, Ban Cha Kae, Mukim Paen; dan
- Membakar getah dan menabur paku di Jalan No. 4015, Ban Bang Kao Tai, Kampung No. 2, Mukim Bang Kao.

Jurucakap polis berkata, penyerang menyerbu pejabat Pertubuhan Pentadbiran Daerah Paen di Saiburi, menahan dan mengikat dua pengawal keselamatan sebelum mencurah minyak di bangunan pejabat dan membakar empat kenderaan iaitu masing-masing sebuah lori bomba dan lori sampah, serta dua pikap.
Menurutnya, dua pengawal keselamatan yang disoal siasat menyatakan sekurang-kurangnya 10 penyerang memanjat tembok belakang bangunan pejabat berkenaan.
“Penyerang kemudian menggunakan senjata api memaksa kedua-dua pengawal itu supaya tidak melawan sebelum mengikat tangan mereka.
“Penyerang kemudian berpecah kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama menuang minyak ke atas kenderaan yang diletakkan di garaj sebelum membakarnya.
“Kumpulan kedua membakar bangunan pejabat dengan menggunakan objek keras untuk memecahkan pintu kaca sehingga pecah.
“Mereka memecah masuk ke dalam bangunan itu dan menuang minyak dan menyalakannya yang menyebabkan kebakaran besar. Selepas itu, semua penjenayah memanjat dinding belakang bangunan dan melarikan diri,” katanya sambil menjelaskan penduduk menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.

Sementara itu, pihak berkuasa turut menerima laporan mengenai penemuan tiga objek mencurigakan di tiga mukim di Daerah Kapho. Pihak berkuasa kini menyekat kawasan tersebut bagi membolehkan pasukan pemusnah bom melakukan siasatan lanjut.
Pihak berkuasa meminta kerjasama orang ramai supaya berhati-hati ketika dalam perjalanan, mengelakkan kawasan berisiko, dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terjumpa sebarang objek yang mencurigakan atau kejadian luar biasa.






Leave a Reply