
PUSAT Perintah Hadapan Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) mengesahkan dron yang ditemukan ditanam di satu kawasan di Sadao tidak jauh dari sempadan Malaysia-Thai, tidak ada kaitan dengan kumpulan bersenjata Selatan Thai, sebaliknya ia mungkin akan digunakan untuk menyeludup dadah.
Panglima Tentera Wilayah Ke-4 yang juga Pengarah ISOC 4, Lt Jeneral Paisan Nusang berkata, sebaliknya, dron terbabit dimiliki dua warga China yang kini telah ditahan di Wilayah Chiang Rai.
“Dua unit dron yang dikesan di kawasan Daerah Sadao, Wilayah Songkhla kini telah berjaya dikawal. Pemilik dron tersebut merupakan dua warganegara China yang telah ditahan di Wilayah Chiang Rai.
“Mereka kini sedang dalam proses soal siasat. Dron yang dirampas itu berkemampuan untuk membawa barangan haram atau boleh diubah suai untuk tujuan persenjataan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini (17 Jun 2025).

Dua warga China terbabit ialah Yan Zhaoyang, 36, dan Yang Runze, 37. Mereka disertai oleh seorang lagi rakan yang masih bebas, Yang Haidong, 35.
Difahamkan, Zhaoyang dan Haidong tiba di Thailand melalui Imigresen 2 Lapangan Terbang Suvarnabhumi dengan penerbangan Spring Airlines 9C6293 dari Xi’an, China, pada 8 Mei lalu.
Siasatan pihak berkuasa Thailand mendapati, Runze memasuki Thailand melalui Imigresen 2 di Lapangan Terbang Don Mueang dengan menaiki pesawat Thai Lion Air SL 951 dari Xi’an, pada 22 Mei.
Zhaoyang dan Runze kemudian memasuki Bukit Kayu Hitam melalui Imigresen 6 Sadao pada 24 Mei dan tinggal selama dua hari di Malaysia, sebelum pulang melalui Imigresen 6 Sadao pada 26 Mei.
Pihak berkuasa Thailand percaya dron berkenaan ditanam di Kampung 2, Mukim Samnak Kham, Sadao, kira-kira 2.5 kilometer dari sempadan Malaysia, pada 3 Jun lalu, untuk menyeludup dadah.
Haidong kemudian meninggalkan Thailand pada 9 Jun melalui Imigresen 2 Lapangan Terbang Don Mueang menaiki pesawat Thai Lion Air SL 950 menuju Xi’an selepas menanam dron berkenaan.
Zhaoyang dan Runze pula keluar dari Thailand melalui Imigresen 5 di Daerah Chiang Khong, Chiang Rai dan memasuki Segi Tiga Emas – kawasan yang dikenali sebagai tempat pengeluaran dadah.
Kedua-duanya kemudian kembali ke Thailand melalui Imigresen 5 di Daerah Chiang Khong pada hari sama pada jam 1:47 tengah hari, setelah menghabiskan beberapa jam di kawasan Segi Tiga Emas.
Pihak berkuasa Thailand kemudian menemukan dron yang ditanam di Daerah Sadao pada 12 Jun lalu.
Pada 15 Jun Pegawai Imigresen Mae Sai dan agensi berkaitan di kawasan itu menahan Zhaoyang dan Runze ketika mereka masih berada di Daerah Mae Sai, Wilayah Chiang Rai.
Penahanan warga China itu susulan siasatan mendalam oleh pihak berkuasa Thai, yang mendapati tiga individu China terbabit menggali lubang untuk menyembunyikan dua dron berkenaan.






Leave a Reply