
AGENSI keselamatan Thailand dan Malaysia dilaporkan sedang bekerjasama menyiasat penemuan dua dron yang ditanam di satu kawasan di Daerah Sadao, Songkhla, tidak jauh dari sempadan kedua-dua negara, Khamis lalu (12 Jun 2025).
Difahamkan, dalam siasatan awam terhadap penemuan di Kampung 2, Mukim Samnak Kham, Sadao, kira-kira 2.5 kilometer dari sempadan Malaysia, pihak berkuasa mengandaikan dron terbabit akan digunakan untuk dua tujuan iaitu:
- Melancarkan serangan di kawasan ekonomi atau pejabat penting kerajaan; dan
- Digunakan untuk penyeludupan barang haram, termasuk dadah, khususnya di sepanjang sempadan Thailand–Malaysia.

Andaian pertama adalah berdasarkan pengubahsuaian yang dilakukan terhadap dron berkenaan. Enam pelancar mortar bersaiz 60mm dan satu set alat pelepas bom buatan sendiri (IED) dipasang pada dron terbabit, kata Pusat Perintah Hadapan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC 4).
Dalam satu kenyataan semalam, ISOC menjelaskan walaupun tiada bahan letupan ditemui di lokasi penemuan dron itu ditanam, pengubahsuaian berkenaan menunjukkan hasrat untuk menyerang sasaran tertentu.
“Siasatan awal oleh Pasukan Petugas Khas Rejimen Infantri Ke-5 bersama Pejabat Daerah Sadao, Balai Polis Sadao, Pasukan Polis Sempadan 437, Unit Penggempur Bom (EOD), serta Pejabat Forensik Wilayah 9 mendapati kedua-dua dron adalah jenis besar dengan enam kipas.
“Dron itu telah diubah suai untuk memasang enam slot pelancar mortar bersaiz 60mm dan satu set alat pelepas bom buatan sendiri (IED).
“Dron tersebut dipercayai mampu terbang setinggi 800 meter, sejauh 8 hingga 10 kilometer, dan boleh membawa muatan antara 10 dan 15 kilogram. Ia dilengkapi sistem penetapan lokasi (Home Point) untuk kawalan naik dan turun secara automatik,” kata kenyataan itu.

Saluran TikTok ‘radarmb1’ pernah menyiarkan klip video dron serupa dengan yang ditemui di Daerah Sadao, Khamis lalu, yang menunjukkan operasi peranti yang dipasang, dan objek berbentuk seperti kepala bom dimasukkan ke dalam enam slot. Klip video itu juga menunjukkan alat kawalan jauh untuk melepaskan objek terbabit daripada peranti.
Klip video ini juga menunjukkan cara menerbangkan dron dan memberi arahan untuk menjatuhkan objek yang kelihatan seperti bom.
Walaupun imej yang ditunjukkan, adalah objek yang dilepaskan daripada peranti dron kelihatan seperti bom, ‘radarmb1’ memberi penjelasan bahawa ia adalah peranti untuk melepaskan alat pemadam api dari udara untuk memadamkan kebakaran hutan.
Bagaimanapun, pada masa sama, terdapat ulasan daripada banyak bahasa, termasuk Russia, Ukraine, dan Myanmar yang berminat dan ingin membeli dron itu. Semua negara asal pengulas adalah zon perang.
Jika diperhatikan betul-betul, peranti yang dikatakan alat pemadam api mempunyai bentuk yang serupa dengan kepala bom. Sekali gus, boleh difahami bahawadron terbabit boleh digunakan untuk membawa dan melepaskan bom.

Untuk rekod, ketika ini kebanyakan dron besar atau dron pertanian telah diubah suai oleh tentera banyak negara menjadi “dron pengeboman” sebagai kenderaan udara tanpa pemandu bagi menyerang musuh.
Malah, unit tentera Thailand, seperti Pasukan Petugas Rajamanu – unit tentera yang bertanggungjawab menjaga keselamatan di sepanjang sempadan Thai-Myanmar di lima daerah di Wilayah Tak – telah mencipta inovasi “dron pengeboman” dengan mengubah suai dron besar atau dron pertanian untuk dilengkapi dengan pelancar bom.
Pihak berkuasa berkaitan kini dalam proses mengumpul maklumat dan bukti, termasuk cap jari pada kotak dan dron yang ditemui di Sadao, bagi mengesan pemilik dan mencari kaitan kemungkinan ia melibatkan kumpulan bersenjata di wilayah sempadan Selatan Thai.
Apa Khabar TV difahamkan, sebelum ini pihak tertentu pernah menggunakan dron untuk mengintip pangkalan pasukan keselamatan di Selatan Thai, sebelum melakukan serangan darat.
Walaupun tidak sampai ke tahap menggunakan dron bagi menggugurkan bom, didapati peranti itu digunakan untuk meninjau atau terbang ke sekeliling pangkalan sebelum serangan darat dilakukan, sebagaimana yang pernah berlaku ke atas kem Unit Perlindungan Daerah (SST) Bangol Sena di Wilayah Yala, mengakibatkan dua anggota tentera cedera pada 15 Mei 2018.
Kira-kira dua hari sebelum serangan itu, anggota SST dikatakan melihat dron mencurigakan terbang di sekitar pangkalan itu pada tengah malam, sebelum hilang.
Pada 9 April 2013, satu insiden berlaku di mana pelaku menyerang pangkalan Unit Perlindungan Kecil Daerah (SCT) di Mukim Budi, Daerah Mueang, Wilayah Yala. Dalam kejadian ini, terdapat maklumat bahawa sebelum serangan berkenaan, pegawai melihat dron mencurigakan terbang di sekitar pangkalan untuk meninjau lebih awal.
Pada 18 Mei 2013, dilaporkan bahawa anggota Balai Polis Daerah Chanae, Narathiwat, melihat sebuah dron mencurigakan terbang di sekitar kawasan di belakang balai polis berkenaan, sebelum terbang jauh.
Pada 8 Mei 2024, anggota polis melepaskan tembakan ke arah objek mencurigakan yang menyerupai dron ketika ia terbang di atas pangkalan operasi Pasukan Petugas Polis 923 di Mukim Talubo, Daerah Mueang, Wilayah Pattani.
Pada sebelah pagi, objek menyerupai layang-layang dengan peranti ditemukan di sebelah pangkalan itu. Masih tidak jelas sama ada ia adalah objek sama yang dilihat sebagai dron atau tidak.
Pada 16 Mei 2024, anggota Balai Polis Yarang, Wilayah Pattani, yang bertugas di hadapan pangkalan rondaan Krue Se di Mukim Yarang, Daerah Yarang, ternampak tiga dron mencurigakan mengelilingi pangkalan itu sebelum menembaknya, tetai tidak mengenai sasaran.
Sementara itu, Pusat Berita Wilayah Selatan mendakwa kumpulan bersenjata Selatan Thai berlatih menerbangkan ‘dron perang’.
Menurut laporan itu, selain menggunakan dron untuk mengintip pergerakan pasukan keselamatan di pelbagai pangkalan bagi merancang serangan, terdapat juga berita bahawa kumpulan terbabit merancang menggunakan dron untuk menggugurkan bom paip.
Pusat berita itu mendakwa laporan berkenaan bukan khabar angin, tetapi diperoleh daripada unit perisikan tentera wilayah sempadan selatan pada awal 2014, yang jelas menyatakan sumber itu datang daripada Rejimen Renjer.
Laporan itu juga mendedahkan sumber dari negara jiran mendakwa bahawa dua anggota kumpulan bersenjata Selatan Thai, menghubungi pakar dron memberi latihan selama dua bulan di Daerah Cho Airong, Narathiwat – satu kawasan yang banyak tanah rata yang memudahkan pengendalian dron.
Model latihan adalah mengangkat objek yang beratnya sama dengan bom paip , iaitu alat letupan buatan sendiri yang digunakan secara meluas menyerang pasukan keselamatan di Selatan Thai.
Walaupun siasatan masih belum jelas sama ada dron yang ditemukan di Sadao itu mempunyai kaitan dengan kumpulan bersenjata, namun tidak dapat dinafikan bahawa peranti untuk menjatuhkan bom kini bukan semata-mata dimiliki pasukan keselamatan sahaja.
Tetapi terdapat kumpulan atau pergerakan yang tidak dikenali mempunyai dron dilengkapi dengan peralatan pengeboman atau mengangkut barangan tertentu, dalam simpanan mereka, yang boleh mereka gunakan bila-bila masa.





Leave a Reply