
DUA anggota renjer cedera setelah bom yang dipasang pada kenderaan mereka meletup ketika dalam perjalanan di Daerah Yaring, Pattani, tengah hari tadi, lapor Stesen Radio Pattani.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari di Kampung Tok Ketitir, Mukim Tolang, Yaring ketika sepasukan anggota Pasukan Petugas Rejimen Renjer ke-44 dalam perjalanan melaksanakan misi di kampung berhampiran.
Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Yaring untuk diberi rawatan, manakala pasukan forensik dan pemusnah bom menjalankan siasatan di tempat kejadian.

Sementara itu, Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Wilayah 4 memaklumkan 35 das tembakan dilepaskan dalam serangan terhadap orang awam di Daerah Tak Bai, Narathiwat pada 2 Mei lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini ISOC menjelaskan hasil siasatan pihaknya mengenal pasti pelaku berdasarkan bukti fizikal peluru yang ditemukan di tempat kejadian iaitu di Kampung 5, Mukim Khosit, Tak Bai.
Dalam kejadian itu, tiga orang awam, termasuk kanak-kanak berusia 9 tahun, terbunuh manakala dua lagi cedera.
ISOC menjelaskan antara bukti yang dijumpai di tempat kejadian termasuk:
- 29 kelongsong peluru senapang 5.56 mm (.223);
- Tiga kelongsong peluru pistol automatik 9 mm Luger;
- Tiga biji anak peluru jenis jaket tembaga .223; dan
- Satu butir peluru hidup jenis jaket tembaga .223.
Keputusan pemeriksaan bahan bukti menunjukkan 29 kelongsong peluru senapang .223 ditembak dari dua laras senjata berbeza, di mana 14 kelongsong dilepaskan dari laras senjata AK102 yang telah digunakan dalam 26 kes kejadian jenayah sebelum ini yang direkod dalam pangkalan data Bahagian Forensik Wilayah 10.
Menurutnya, berdasarkan rekod pangkalan data yang sama 15 kelongsong lagi dilepaskan dari satu lagi senjata AK102 yang turut terlibat dalam empat kes jenayah sebelum ini.
“Tiga kelongsong peluru pistol 9 mm Luger automatik telah ditembak dari pistol jenis Glock yang sama, dan pistol ini juga dikaitkan dengan tiga kes jenayah lain sebelum ini.
“Dua butir anak peluru jenis jaket tembaga .223 dilepaskan dari laras senjata yang sama, namun tiada rekod dikaitkan dengan kes sebelum ini. Anak peluru ketiga tidak dapat dikenal pasti kerana tidak cukup kesan torehan,” kata kenyataan itu.
Laras senjata AK102 pertama berkaliber .223 adalah sangat signifikan kerana dikaitkan dengan 26 kes kejadian jenayah terdahulu termasuk serangan ke atas polis, tentera, anggota sukarelawan pertahanan kampung, sami Buddha, dan orang awam.
Antara mangsa yang terkorban akibat senjata itu termasuk dua anggota polis; anggota tentera (dua); sami Buddha (dua); dan orang awam (empat).
Menurutnya, antara kes jenayah yang dikenal pasti adalah pada:
- 4 November 2016: Serangan hendap ke atas anggota polis di Sungai Golok;
- 19 April 2017: Serangan bom tangan dan tembakan ke atas Unit Perlindungan Kampung To Deng;
- 18 Januari 2019: Tembakan ke atas sami di Wat Ratthananuparb, menyebabkan dua maut dan dua cedera;
- 30 Mac 2019: Serangan bom dan tembakan mencederakan anggota renjer di Mukim Riko;
- 3 Ogos 2021: Serangan ke atas pangkalan tentera di Mukim Nanak, menyebabkan seorang maut dan empat cedera; dan
- 8 Mac 2025: Serangan tembakan dan bom tangan di Pejabat Daerah Sungai Golok, mengorbankan dua orang maut dan 14 orang awam cedera.
Semua 26 kes jenayah ini telah dikaitkan secara saintifik melalui bukti balistik dengan laras senjata tersebut. Pihak berkuasa sedang giat menjalankan siasatan bagi membawa penjenayah ke muka pengadilan, kata ISOC.






Leave a Reply