DUA anggota tentera dari Rejimen Infantri ke-15 Thailand yang dalam perjalanan pulang ke Daerah Raman, Wilayah Yala, cedera selepas pikap dinaiki dibom, petang tadi (7 Mei 2025).

Serangan terbaharu itu menyusul kenyataan Timbalan Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai yang menyatakan Kerajaan Thailand bersetuju menyambung semula rundingan damai Selatan Thai dengan pihak Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) mematuhi tiga syarat.

Pada masa sama juga serangan kira-kira jam 5 petang tadi di kawasan Kampung Koto Tuera, Mukim Koto Tuera, Raman, bertepatan dengan lawatan Panglima Tentera Darat Thailand, Jeneral Pana Klaeoplodtuk ke Selatan Thai.

Sarjan Mejar Jamorn Chanthaniyom dan Sarjan Mejar Phanupong Phanchan adalah dari unit yang ditugaskan menggali terusan di sepanjang jalan kereta api di Ban Mai Kaen, Mukim Noen Ngam, Raman.

Dalam perjalanan pulang, pikap yang mereka naiki terkena letupan bom buatan sendiri yang ditanam di atas jalan di kampung berkenaan. Kedua-duanya mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Daerah Raman untuk rawatan lanjut.

Gambar risalah yang disebar melalui media sosial sejak beberapa hari lalu sehingga menimbulkan keadaan panik dalam kalangan rakyat adalah gambar lama yang pernah disebar pada 2013.

Sementara itu, Pusat Perintah Hadapan Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC) menjelaskan satu gambar yang disebar melalui media sosial sejak beberapa hari lalu, sehingga menimbulkan panik dalam kalangan rakyat, adalah risalah lama yang tersebar pada 2013.

Dalam satu kenyataan hari ini, ISOC menjelakan gambar risalah itu mengandungi mesej bersifat ugutan, ancaman dan hasutan kebencian disebarkan melalui media sosial.

Kandungannya risalah itu menyatakan:

“Kezaliman, tangkapan, ugutan, paksaan, penyeksaan dan pembunuhan di luar proses undang-undang terhadap orang yang tidak bersalah di bawah keadaan melawan atau menentang, penangkapan dengan cara dipentaskan dan dijadikan berita (membunuh orang tidak bersalah dan menjadikannya kelihatan sah).

“Hari ini kami tidak akan berdiam diri. Kami akan bertindak balas dalam semua bentuk, dengan kekuatan persenjataan, kewangan dan sokongan orang ramai, demi setiap kesakitan, setiap titisan darah, setiap nyawa yang hilang akibat keganasan negara.

“Maka mulai hari ini dan seterusnya, nyawa dan nafas rakyat, guru, pensyarah, komuniti Thai-Buddha, tidak kira di mana mereka berada, melalui jalan mana, aktiviti harian, walau apa bentuk perlindungan pun, kami akan ambil nyawa mereka dan menuntut kembali setiap nyawa yang kami telah hilang. (Titisan darah Muslim yang tidak bersalah lebih bernilai 10 kali ganda daripada Thai-Buddha).”

Menurut ISOC, gambar risalah ini telah menimbulkan panik dan kebimbangan dalam kalangan rakyat, terutama di wilayah sempadan selatan (Deep South).

Sehubungan itu, ISOC menjelaskan bahawa risalah berkenaan adalah gambar lama yang pernah tersebar pada 14 Februari 2013, selepas kejadian kumpulan Maroso Jantarawadi, seorang militan, cuba menyerang pos operasi tentera laut di daerah Bacho, Wilayah Narathiwat.

Bagaimanapun, diserang balas oleh pasukan keselamatan, menyebabkan 16 anggota kumpulan Maroso terbunuh pada 13 Februari 2013.

Kenyataan itu juga meminta rakyat menggunakan pertimbangan bijak dalam menerima maklumat, terutama daripada media sosial dan mengelak daripada menyebarkan atau berkongsi maklumat yang tidak benar.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading