
SATU letupan bom buatan sendiri mencetuskan suasana panik dalam kalangan orang ramai yang hadir pada pameran Tadika di Daerah Rueso, Narathiwat pagi tadi.
Letupan bom buatan sendiri itu berlaku di dalam kawasan dusun yang terletak kira-kira 40 meter di belakang khemah jualan produk yang diadakan di Masjid Al-Hidayah Ban Buena Yamu, Kampung No 2, Mukim Rueso.
Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi, sebelum Timbalan Menteri Dalam Negeri, Sabida Thaiset tiba untuk merasmikan pameran berkenaan.

Katanya, letupan itu menyebabkan ratusan penduduk dan peniaga yang datang untuk menyertai acara berkenaan selain untuk menjual produk mereka bertempiaran melarikan diri.
Pasukan keselamatan kemudian meletakkan panel keluli di tempat kejadian, sebelum Sabida tiba untuk merasmikan pameran berkenaan tanpa menyedari berlaku letupan.
Hadir sama Timbalan Gabenor Wilayah Narathiwat, Wirapat Bunthrik; Ahli Parlimen Narathiwat (Kawasan 4), Zakariya Sai; dan Datuk Bandar Rueso, Nitipong Thaha, selain beberapa pegawai kanan kerajaan.
Jurucakap itu berkata, pasukan unit pemusnah bom dan forensik yang memeriksa tempat kejadian kemudian menjumpai satu lagi bahan letupan tersembunyi kira-kira 10 meter dari bom pertama.
“Pihak berkuasa menggunakan senapang air tekanan tinggi untuk memusnahkannya. Pemeriksaan menemukan bahan letupan buatan sendiri yang diisi dalam tiub keluli seberat antara satu dan dua kilogram,” katanya.
Katanya, pihak berkuasa percaya kejadian itu dilakukan anggota kumpulan pemberontak yang menyasarkan pasukan keselamatan yang dihantar untuk menjaga keselamatan Sabida.






Leave a Reply