
SELATAN THAI: Sejak 15 April lalu, keganasan di Deep South (Narathiwat, Yala dan Pattani serta Daerah Saba Yoi; Thepa; Channa; dan Natawee di Songkhla), semakin meningkat dengan beberapa serangan dan pembunuhan melibatkan orang awam dan kakitangan kerajaan.
Sehubungan itu, Kerajaan Thailand meminta Malaysia lebih tegas dalam memberi bantuan bagi menyelesaikan masalah sekiranya keganasan di wilayah Selatan Thai terus meningkat dan berterusan.
Timbalan Perdana Menteri, Phumtham Vejjayachai menegaskan Thailand tetap memerlukan Malaysia sebagai fasilitator proses damai dengan kumpulan bersenjata, terutama Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN).
Katanya, mesyuarat akan diadakan dengan fasilitator yang dilantik oleh Kerajaan Malaysia, seperti yang dibincangkan antara Perdana Menteri Thailand dan Malaysia sebelum ini.
“Kedua-dua negara akan bekerjasama untuk menyelesaikan masalah ini sepenuhnya. Jika keganasan masih berlaku, kami akan mempertimbangkan dengan tegas bagaimana pihak berkuasa Malaysia boleh memberikan bantuan kepada Thailand.
“Thailand hanya mahu berbincang dengan pemimpin sebenar BRN. Pada masa lalu kita tidak tahu sama ada mereka pemimpin sebenar atau tidak. Ini kerana mereka didapati tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan keganasan.
“Jika mereka gagal menghentikan keganasan bermakna mereka tidak tahu bagaimana untuk berunding. Pada masa ini, kami menyelaraskan dengan banyak pihak.
“Kita perlu serius bergerak ke hadapan. Bukan hanya menyertai meja rundingan, tetapi bertemu dengan kumpulan sebenar yang berpotensi mampu mengawal konflik dan keganasan,” katanya pada sidang media di Bangkok, hari ini (28 April 2025).
Sehubungan itu, Phumtham yang juga Menteri Pertahanan memberi masa tujuh hari kepada tentera dan polis untuk melaporkan keputusan dalan menyelesaikan pergolakan di Selatan Thai.
Beliau mengakui terdapat banyak maklumat dan ketidakselarasan dalam masalah sempadan selatan, yang perlu dibincangkan semula.
Mengenai mesyuarat Kabinet yang diminta menarik balik perisytiharan undang-undang tentera di empat wilayah selatan atau dikenali sebagai Deep South, Phumtham mengesahkan bahawa Kabinet masih belum memutuskan untuk membatalkannya.
Katanya, cadangan itu sebenarnya datang daripada pihak lain dan dikemukakan kepada Kabinet untuk dibincangkan.
Untuk rekod, sejak mengambil alih kuasa pentadbiran sejak 16 Ogos 2024, kerajaan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra tidak menunjukkan keinginan untuk menyelesaikan konflik di Selatan Thai.
Ini termasuk belum lagi melantik Ketua Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thai (PEDP/RTG) bagi menyambung rundingan damai dengan BRN.






Leave a Reply