NARATHIWAT: Tidak seperti rakyat Malaysia yang meraikan Aidilfitri selama sebulan, umat Islam Selatan Thai hanya menyambutnya untuk tempoh dua hari sahaja iaitu hari raya pertama dan hari raya puasa enam.

Bagi hari raya pertama, sama seperti di Malaysia, umat Islam, khususnya di wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala, akan menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid atau surau, sebelum berkunjung ke rumah sanak saudara.

Sesetengah daripada mereka – kebanyakannya anak muda – akan bersiar-siar dan menyambut raya dengan berkunjung ke tempat tumpuan ramai, termasuk di kawasan pantai popular.

Berkumpul beramai-ramai sebelum menziarahi tanah perkuburan bagi menyambut Hari Raya Puasa Enam.

Antara pantai popular di Narathiwat ialah Pantai Amanao, Pantai Narathat dan pastinya Pantai Ban Thon.

Namun, seperkara yang menarik sambutan Aidilfitri di Selatan Thai ialah mereka akan meraikan hari raya puasa enam. Tidak kiralah sama ada mereka berpuasa sunat selama enam hari berturut-turut atau tidak, bermula 2 Syawal, sambutan itu tetap diadakan.

Istimewanya sambutan hari raya puasa enam di Selatan Thai ini bukan setakat mereka berkunjung ke rumah saudara mara, tetapi yang lebih penting ialah sambutan diadakan di tanah perkuburan.

Bermula sebelah pagi hingga ke petang, menziarahi tanah perkuburan ketika hari raya puasa enam sudah menjadi satu tradisi bagi umat Islam Selatan Thai.

Nasi bungkus turut disediakan sama ada oleh individu atau jawatankuasa kampung dan diberikan kepada mereka yang hadir di tanah perkuburan pada hari berkenaan.

Semalam (7 April 2025) Apa Khabar TV berkesempatan meninjau beberapa tanah perkuburan Islam di sekitar Narathiwat dan Pattani untuk melihat aktiviti sambutan hari raya puasa enam.

Di Masjid 400 Tahun di Telok Manok atau dikenai sebagai Masjid Wadi Husin, Bacho, Narathiwat, umat Islam berkumpul sejak pagi untuk menziarahi kubur sanak saudara mereka.

Kebetulan bapa penulis juga dikebumikan di tanah perkuburan di situ setelah meninggal dunia di rumah kakaknya di Kampung Lubo Sawo, 60 tahun lalu.

Untuk rekod, Masjid Telok Manok ini adalah destinasi wajib dikunjungi oleh pelancong, khususnya dari Malaysia, untuk melihat seni bina Melayu yang tidak menggunakan paku logam.

Usianya kini sudah mencecah kira-kira 400 tahun, tetapi papan tandanya kekal menyatakan 300 tahun.

Pada sambutan hari raya puasa enam di masjid itu, bacaan Yasin untuk dihadiahkan kepada si mati diadakan, selain makanan dan minuman turut disediakan.

Apa Khabar TV turut meninjau sambutan hari raya puasa enam di dua Tanah Perkuburan Islam Pamai di Mukim Hutan Hangus, Daerah Mae Kean, Pattani.

Sambutannya sama seperti tanah perkuburan lain apabila penduduk mula berkumpul mulai pagi hingga ke petang untuk menziarahi ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading