Oleh Rozak Hadi dan Effa Mazura

PASIR GUDANG: Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Kota Masai (SKOMAS) menganjurkan Majlis Penutupan Ihya’ Ramadan dan Majlis Khatam al-Quran yang berlangsung pada Rabu, 26 Mac 2025.

Seramai lebih 120 orang murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) dan warga pendidik SKOMAS menghiasi majlis yang bertempat di Surau Al-Ihsan, SMK Kota Masai.

Penolong Kanan Pendidikan Khas, Jamilah Ali berkata program ini bertujuan menggalakkan penyertaan MBPK dalam penghayatan al-Quran dan penanaman nilai-nilai murni sepanjang Ramadan.

Pengetua, Saridah Abdul Majid menyampaikan sumbangan kepada pengawak keselamatan sekolah sambil turut serta Penolong Kanan Pentadbiran, Zarina Sanadi (kiri) dan Penyelaras MAKDIS, Norhazrin Abdul Halim.

“Program yang berlangsung setiap tahun ini bukan sahaja sekadar memenuhi aktiviti persekolahan malah ianya sangat memberi kesan terhadap pemantapan nilai sahsiah dan jati diri MBPK untuk terus menjalani hidup dengan kesyukuran.

“Tidak hanya itu, program sedemikian juga menjadi medan kebersamaan antara sesama warga pendidik dan MBPK khususnya untuk hidup bermasyarakat dan bergotong-royong dalam rangka membentuk muafakat yang kukuh,” katanya.

Sepanjang Ramadan, pelbagai siri aktiviti dijalankan yang melibatkan pertandingan ilmiah semarak Ramadan, program kerohanian, dan pemantapan akidah, ceramah keagamaan, latihan kemahiran serta aktiviti kebersamaan seperti Program Masak Bubur Lambuk yang menjadi rutin tahunan warga PPKI SKOMAS.

Tidak hanya itu, Majlis Berbuka Puasa berkonsepkan Iftar Bersama dan Tarawih Perdana SMK Kota Masai juga turut diadakan bagi menghiasi lagi kebersamaan di Ramadan.

Pengetua, Saridah Abdul Majid menzahirkan rasa syukur melihat kerjasama barisan guru dalam berusaha mengimarahkan bulan puasa dengan semangat muafakat yang membawa manfaat kepada murid-murid.

“Senang saya melihat kebersamaan dan komited yang ditunjukkan oleh barisan guru dalam menganjurkan pelbagai aktiviti yang membawa manfaat kepada warga sekolah.

“SKOMAS pastinya akan sentiasa menyokong program-program yang membawa impak besar kepada murid dan akan sentiasa meraikan kebersamaan kekeluargaan sesama warga sekolah dalam mewujudkan suasana yang harmoni dan sejahtera,” katanya.

Sebagai bentuk kebersamaan dan kasih sayang di ambang Syawal, SKOMAS juga berkongsi rezeki dengan memberikan sumbangan aidilfitri kepada 130 pelajar dan kakitangan sekolah.

Program tahunan ini dianjurkan bagi memperkukuh ukhuwah serta menyebarkan keharmonian dengan menyemai nilai kebajikan dan kasih sayang, khususnya dalam bulan puasa yang penuh keberkatan. Ia juga sedikit sebanyak memberikan manfaat kepada penerima untuk mempersiapkan persiapan raya.

Program Ihya Ramadan Pendidikan Khas diakhiri dengan pengisian majlis ambang syawal serta sesi penggambaran hari raya disamping kesemua MBPK menerima duit dan kuih raya.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading