SELATAN THAI: Kerajaan Thailand memberi jaminan akan mencari jalan penyelesaian berhubung kesan yang dialami oleh ratusan peniaga di bandar Sungai Golok, susulan langkah Malaysia menutup laluan haram sejak penghujung tahun lalu.

Menteri Kehakiman Thailand, Lt Kolonel Polis Thawee Sodsong berkata, usaha itu termasuk mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Malaysia berhubung enam lintasan sempadan di sebelah bandar Sungai Golok.

Untuk rekod, enam tempat atau lintasan sempadan itu adalah pangkalan haram bot untuk menyeberangi sungai dari bandar Sungai Golok ke Kelantan, yang telah lama wujud. Ia menjadi laluan tradisi untuk peniaga dari Malaysia masuk secara haram ke pasar berdekatan.

“Kita (Thailand) sebenarnya tidak tutup (enam lintasan). Malaysia yang tutup… tetapi kita mesti hidup bersama Malaysia. Kita tahu, rakyat Malaysia juga mesti datang berdagang dengan kita dan kita juga berdagang dengan mereka,” katanya pada pertemuan dengan lebih 100 wakil peniaga, termasuk pengusaha hotel di Sungai Golok, semalam (22 Mac 2025).

Pertemuan itu diadakan setelah ratusan peniaga, termasuk restoran dan hotel, di bandar itu yang kini mula menghadapi kesan daripada tindakan Malaysia menutup semua pangkalan dan laluan haram, khususnya, di Sungai Golok sejak tahun lalu.

Bermula 1 Disember tahun lalu, polis Kelantan menutup semua pangkalan haram bermula dari Pengkalan Kubor ke Jeli yang dilihat memberi kesan baik dari aspek keselamatan negara. Tindakan itu sekali gus membantu mengekang aktiviti penyeludupan dan memperlihatkan ketegasan kerajaan dalam soal keselamatan negara.

Mengulas lanjut, Thawee berkata beliau akan meminta pembantu menteri di Pejabat Perdana Menteri, Jeneral Niphat Thonglek bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Phumtham Wechayachai, berhubung perkara itu.

“Kita akan minta beliau sebagai Menteri Pertahanan untuk mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Malaysia berhubung kesan daripada penutupan (laluan haram) itu, terutama di enam pangkalan (haram) di bandar Sungai Golok,” kata Thawee.

Datuk Bandar Sungai Golok, Suchada Phannara.

Sementara itu, Datuk Bandar Sungai Golok, Suchada Phannara berkata, sebelum ini enam pangkalan di bandar itu yang menjadi laluan utama dibuka kepada rakyat Malaysia dan Thailand untuk berulang-alik melintasi Sungai Golok.

“Tetapi selepas Malaysia menutup semua laluan haram, enam pangkalan itui kini tidak berfungsi. Enam laluan itu sudah lama wujud dan kita memang benarkan dan sebelum ini pun rakyat Malaysia dan Thailand berulang-alik menggunakannya.

“Sekarang ini, kita tidak tahu sampai bila Malaysia akan tutup laluan (haram) itu… ia menjejaskan ekonomi bandar ini. Kami mempunyai perniagaan, termasuk sektor pelancongan.

“Sebelum ini ekonomi (bandar Sungai Golok) berkembang dengan amat baik. Tetapi sejak akhir tahun lalu ia mula terjejas dan kini semakin teruk setelah Malaysia menutup semua laluan haram.

“Enam tempat itu jika anda menyeberangnya akan tiba di pasar. Di sebelah Thai ada pasar. Ia hanya untuk tujuan perdagangan,” katanya pada pertemuan sama.

Wakil peniaga Sungai Golok berucap ketika pertemuan dengan Menteri Kehakiman, Lt Kolonel Polis Thawee Sodsong, di Sungai Golok, semalam (22 Mac 2025).

Sementara itu, seorang wakil peniaga yang bercakap pada pertemuan dengan Thawee memberitahu bahawa mereka tidak terlalu takut dengan kejadian pengeboman seperti yang berlaku pada 8 Mac lalu, sebaliknya lebih takut apabila Malaysia menutup semua laluan haram.

“Insiden serangan di pejabat daerah itu, termasuk bom kereta yang mengorbankan dua anggota pasukan keselamatan tidak terlalu menakutkan.

“Tetapi, apa yang lebih menakutkan ialah apabila Malaysia menutup semua laluan haram untuk masuk ke bandar ini (Sungai Golok).

“Penutupan itu menyebabkan perniagaan kami merosot… ibarat kaki dan tangan kami telah dipotong,” katanya.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading