SELATAN THAI: Tatkala kesinambungan Dialog Damai Selatan Thai kini terkunci rapat susulan kegagalan kerajaan pimpinan Paetongtarn Shinawatra membentuk pasukan baharu rundingan, satu pihak lagi terus meletakkan harapan agar perdamaian bakal wujud.

Namun, dalam terus menanti harapan itu, Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) tidak pula menyatakan akan meletak senjata atau sekurang-kurangnya menghentikan kekerasan sepanjang umat Islam menyambut bulan puasa tahun ini.

Sebaliknya, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi (1 Mac 2025) sempena Ramadan 1446 Hijrah, BRN mengajak umat Islam supaya meningkatkan amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah.

“Amalan-amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah di bulan Ramadan bukan sekadar amalan-amalan bersifat rohani sahaja seperti berpuasa di siang hari…

“Tetapi mesti ditingkatkan amalan-amalan yang bersifat jasmani seperti fisabilillah dalam bentuk infaq untuk meninggikan syiar Islam dan untuk mengatasi kemiskinan…

“Dalam bentuk pengorbanan jiwa raga untuk mendapat gelaran syahid demi mencari keredaan Allah…

“Dalam bentuk peperangan untuk menghapuskan kezaliman dan penindasan yang berlaku secara berleluasa sekarang ini,” kata BRN dalam kenyataan itu sambil memberi contoh Perang Badar, pembukaan Kota Makkah dan pembebasan Andalusia di Sepanyol.

BRN turut menyeru anggota kumpulan pejuang pemisah dan penduduk Patani Darulsalam untuk ikhlas menunaikan ibadat dan berjuang sempena bulan puasa ini.

“Marilah kita bermula dengan niat tulus ikhlas pada Allah SWT untuk menunaikan ibadat secara menyeluruh dengan membanyakkan doa-doa untuk mendapat keampunan, membanyakkan kesabaran untuk mendapat kejayaan dan bersungguh-sungguh untuk mendapat rahmat dan berkat,” kata BRN sambil mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada umat Islam.

Dalam kenyataan sama, BRN turut memberi amaran kepada pihak tertentu supaya tidak melaga-lagakan antara satu sama lain dan menjadi alat kepada musuh.

“Jangan sekali-kali memesongkan fahaman Islam sebenar… Jangan sekali-kali menjadi alat-alat musuh yang bersifat musang berbulu ayam,” kata BRN.

Pada 14 Disember tahun lalu, Sekretariat Rundingan Damai BRN mengeluarkan kenyataan memberi amaran kegagalan kerajaan Thailand menunjukkan komitmen bagi menyelesaikan konflik dan mewujudkan perdamaian, akan mencetuskan aksi perlawanan yang lebih dahsyat dan parah, serta tidak terkawal.

Sekretariat itu turut mendakwa rakyat di Selatan Thai terpaksa berdepan dengan undang-undang yang bersifat kuku besi, menjalani kehidupan harian dalam keadaan terancam serta penindasan dan pelanggaran terhadap nilai-nilai hak asasi manusia.

Empat hari kemudian, dengan nada diplomasi, jurucakap BRN, Dr Nimatullah Seri berkata BRN mempunyai sikap yang jelas iaitu mahu meneruskan rundingan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa BRN tidak akan bersetuju jika rundingan itu dimulakan dengan kosong.

“BRN tidak mahu lagi undur ke belakang… start (bermula) daripada kosong. Tidak. Tetapi BRN juga siap untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading