SELATAN THAI: Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) memberi amaran kegagalan kerajaan Thailand menunjukkan komitmen bagi menyelesaikan konflik dan mewujudkan perdamaian, akan mencetuskan aksi perlawanan yang lebih dahsyat dan parah, serta tidak terkawal.

Amaran itu dikeluarkan setelah BRN mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri baharu, Paetongtarn Shinawatra sekarang ini tidak konsisten dalam mencari penyelesaian perdamaian terhadap konflik yang berterusan sejak lebih 20 tahun lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Sekretariat Rundingan Damai BRN mendakwa kerajaan pimpinan Paetongtarn selama beberapa bulan ini belum menunjukkan sikap, paksi, perhatian dan tidak ambil berat terhadap isu konflik di Patani.

Menurut kenyataan itu, rakyat Patani hidup dalam penderitaan akibat konflik yang tidak berkesudahan dan ditambah pula dengan kejutan terbaharu iaitu banjir besar yang berlaku dalam tempoh dua tahun berturut-turut.

Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.

“Rakyat Patani cinta damai ingin hidup normal, aman dan sejahtera seperti mana wujudnya bangsa-bangsa lain di dunia ini.

“BRN telah menunjukkan komitmen yang jelas untuk mencari penyelesaian politik yang bertujuan untuk mengakhiri konflik yang berpanjangan di Patani, sementara pihak Kerajaan Thai tidak konsisten dalam mencari solusi perdamaian.

“Ia amat mengecewakan oleh semua pihak terutama bagi seluruh komuniti Patani yang telah sekian lama hidup dalam keadaan tidak normal,” kata kenyataan itu.

Untuk rekod Patani merujuk kepada tiga wilayah paling selatan iaitu Yala, Narathiwat dan Pattani.

Sekretariat itu turut mendakwa rakyat di Selatan Thai terpaksa berdepan dengan undang-undang yang bersifat kuku besi, menjalani kehidupan harian dalam keadaan terancam serta penindasan dan pelanggaran terhadap nilai-nilai hak asasi manusia.

Menurut kenyataan itu, proses rundingan damai bermula daripada ‘General Consensus 2013’ dan diteruskan dengan Persetujuan Inisiatif Berlin 2019 dan Prinsip Am 2022.

Sekarang ini, BRN dan RTG (Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thai) telah bersepakat bahawa Pelan Komprehensif Bersama Kearah Perdamaian (JCPP) adalah sebagai pelan perdamaian yang menyeluruh dan akan memperincikan perkara-perkara yang berkaitan dengan solusi politik, konsultasi awam, dan gencatan senjata, kata kenyataan itu.

“Sekiranya Kerajaan Thai masih bersikap pasif, cuai, tidak ada kesungguhan dan keikhlasan untuk mencari jalan penyelesaian, ia boleh mencetuskan aksi perlawanan oleh rakyat Patani yang lebih parah, dahsyat dan tak terkawal.

“BRN menghargai segala usaha dan peranan aktif yang berterusan daripada seluruh komuniti Patani, aktivis perdamaian, ahli politik, ahli akademik dan diplomat baik di peringkat nasional atau antarabangsa yang bertungkus lumus dan bekerja keras untuk mewujudkan perdamaian di Patani,” kata sekretariat itu lagi.

Pada masa sama, kenyataan itu berkata, BRN komited terhadap perkara yang telah disepakati dan mengalu-alukan serta mengharapkan pertemuan Paetongtarn dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat sebagai momentum perdamaian bagi komuniti Patani yang dapat melahirkan satu kebijaksanaan yang konkrit dan signifikan.

Paetongtarn dijangka mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dan mempengerusikan bersama rundingan tahunan ke-7 kedua-dua negara, esok (16 Disember 2024) di Putrajaya.

Perdana Menteri Thailand itu dijadual mengadakan pertemuan dengan Anwar dan berbincang mengenai keamanan dan kemakmuran bersama, namun tidak pasti sama ada proses perdamaian Selatan Thai akan turut menjadi agenda perbincangan.

2 responses to “Selatan Thai: BRN beri amaran aksi dahsyat, tak terkawal jika kerajaan Paetongtarn gagal tunjuk komitmen selesaikan konflik”

  1. […] Selatan Thai: BRN beri amaran aksi dahsyat, tak terkawal jika kerajaan Paetongtarn gagal tunjuk komi… Proses damai Selatan Thai terus samar: BRN sekali lagi beri ‘amaran’ kepada kerajaan baharu […]

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading