
SELATAN THAI: Kira-kira dua jam sebelum pesawat yang membawa bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra mendarat, satu letupan bom berlaku tidak jauh dari menara kawalan di Lapangan Terbang Narathiwat pagi tadi.
Bom berkenaan dipasang pada bahagian lampu belakang sebuah pikap milik unit pemadam kebakaran dan dipakir berhampiran menara kawalan yang terletak di dalam kawasan lapangan terbang berkenaan.
Bagaimanapun, letupan kira-kira jam 8.35 pagi tadi tidak kuat dan hanya merosakkan sedikit bahagian belakang pikap berkenaan.
Tiada kecederaan dilaporkan, namun kejadian itu menimbulkan persoalan kerana tempat kejadian terletak di dalam kawasan yang dikawal ketat.



Pihak berkuasa, termasuk daripada unit pemusnah bom dan bahagian forensik Narathiwat dengan diketuai Superintendan Balai Polis Khok Khian, Kolonel Polis Wirayut Tasiphan, masih menjalankan siasatan di tempat kejadian.
Pesawat membawa Thaksin dan rombongannya, termasuk Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Phumtham Vejjayachai dan Menteri Kehakiman Thawee Sodsong, mendarat kira-kira jam 10 pagi.
Lawatan Thaksin ke Selatan Thai hari ini sekali gus merupakan acara turun padang pertama sejak 20 tahun lalu dan setelah beliau kembali ke Thailand pada Ogos 2013, selepas melarikan diri daripada waran tangkap dan tinggal di luar negara selama 17 tahun.
Tempat lawatan Thaksin pula adalah antara kawasan ‘panas’ di Narathiwat dan Pattani yang kerap berlaku serangan bom oleh kumpulan tidak dikenali. Beliau kemudian dijadual ke Yala, satu lagi wilayah yang sering bergolak.
Malam tadi sebutir bom diletupkan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Daerah Bannang Sata, Yala, mengorbankan seorang pemuda dan mencederakan tujuh anggota polis serta empat orang awam.





Leave a Reply