
Tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan bom terbaharu yang mengorbankan dan mencederakan orang awam di Daerah Bannang Sata, Yala, di Selatan Thai, malam tadi (22 Februari 2025).
Demikian juga tidak ada pihak yang mengeluarkan kenyataan bukan mereka yang bertanggungjawab terhadap pengeboman itu.
Ketiadaan pengakuan itu sudah menjadi lumrah setiap kali berlaku serangan atau pengeboman di Selatan Thai. Inilah yang dikatakan ‘lempar batu sembunyi tangan’. Mereka ini berbuat jahat tetapi berpura-pura tidak tahu.
Sebaliknya, semua yang terlibat dalam konflik di Deep South (Yala, Narathiwat dan Pattani serta empat daerah di Songkhla – Saba Yoi, Tepha, Chana dan Natawee), hanya berdiam diri dan membiarkan orang ramai membuat telahan siapa yang melakukan pembunuhan itu.
Ada pihak menuding jari ke arah kumpulan pejuang yang ingin membebaskan Selatan Thai daripada cengkaman Bangkok.
Dan ada pula pihak yang menyalahkan pasukan keselamatan sendiri. Pihak ini mendakwa kononnya pasukan keselamatan mahu mengekalkan keadaan tidak tenteram, supaya mereka boleh terus bertugas di wilayah konflik dengan dibayar gaji dan elaun lumayan.
Sesetengah pihak pula akan berkata “mangsa berada di tempat dan waktu yang salah” atau ia adalah ‘collateral damage’ – istilah yang sering digunakan bagi menggambarkan kerosakan yang tidak disengajakan terhadap orang atau infrastruktur awam.
Di mana-mana pun di dunia ini, kesan daripada pengeboman di tempat awam sedikit sebanyak telah meragut kepercayaan dan sokongan kepada pasukan keselamatan serta kumpulan pejuang.
Atas alasan apapun, orang awam yang tidak bersalah tidak sepatutnya menjadi mangsa kerakusan pihak yang ‘melempar batu menyembunyikan tangan’.
Adakah pihak yang meletakkan bom di hadapan kedai serbaneka di pekan Bannang Sata itu tidak berfikir kemungkinan ibu, bapa, adik, kakak atau saudara mara mereka akan melalui kawasan itu dan mungkin menjadi mangsa? Atau mereka ini adalah jenis manusia yang sanggup mengorbankan ibu bapa sendiri?
Janganlah kata kepada penulis “awak senanglah cakap… awak tak melalui semua kesusahan hidup di sini”.
Jika demikian ungkapan itu, sesungguhnya Selatan Thai tidak akan aman selama-lamanya kerana minda kehidupan masyarakat telah ditutup daripada menerima pendapat orang lain.
Tidak perlu ada dialog damai jika masing-masing berkeras. Tidak perlu ada perbincangan di meja rundingan kerana akan membuang masa dan menghabiskan bajet, sedang kesudahannya peluru dan bom digunakan.
Menutup tulisan ringkas ini, Apa Khabar TV (apakhabartv.com) turut mengucapkan takziah kepada keluarga Ibroheng Nimi, 26 tahun, yang dilaporkan terbunuh dalam letupan bom terbaharu di Bannang Sata, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, tujuh anggota polis dan empat orang awam lain cedera.
Kejadian malam tadi mengingatkan kita kepada peristiwa yang berlaku pada 30 Jun tahun lalu di mana seorang guru tadika maut, manakala lebih 20 yang lain cedera dalam letupan bom kereta juga di Bannang Sata.
Siapapun yang bertanggungjawab meletakkan bom hingga seorang ibu hilang anak lelakinya dan anak-anak guru tadika itu hilang kasih sayang ibu, jika mereka terlepas hukuman di dunia, maka ingatlah hukuman di akhirat tetap ada.
Akhir kata, tunggulah giliran kita pula untuk berada di tempat dan waktu yang salah atau hadaplah ‘collateral damage’ di mana-mana pun di Selatan Thai ini, kerana sesungguhnya ia bukan wilayah yang selamat.






Leave a Reply