SELATAN THAI: Saban tahun jutaan rakyat Malaysia melancong ke Thailand, sama ada untuk melawat tempat-tempat menarik dan bersejarah atau ingin menikmati makanan sedap dengan harga yang murah.

Menurut rekod, lebih empat juta rakyat Malaysia melawat Negara Gajah Putih itu tahun lalu, khususnya di Hat Yai, di Wilayah Songkhla, dengan hampir separuh atau 49.33 peratus masuk melalui Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadao yang bersempadan dengan Bukit Kayu Hitam di Kedah.

Justeru, usaha terus dilakukan untuk meningkatkan lagi pelbagai sumber pelancongan bagi menarik lebih ramai rakyat Malaysia melawat Thailand, tahun ini.

Antaranya, Pejabat Pelancongan dan Sukan Wilayah Songkhla dengan kerjasama Majlis Bandaraya Hat Yai merancang satu program menarik ‘Wonderful Of Love’ yang mengetengahkan pertunjukan bunga api sempena ‘Valentine’s Day’ selama dua hari mulai 14 Februari ini.

Aktiviti utama acara antarabangsa ‘Wonderful Of Love’ itu ialah pertunjukan bunga api muzikal dengan dua pusingan setiap hari.

Pusingan pertama ialah pada jam 7.30 malam dan pusingan kedua jam 9 malam. Beberapa artis terkenal Thailand juga akan turut membuat persembahan sepanjang dua hari acara diadakan.

Pengarah Pejabat Pelancongan dan Sukan Wilayah Songkhla, Jiravadee Onwong berkata, acara ini bertujuan merangsang ekonomi dan menarik pelancong ke Wilayah Songkhla.

Menurutnya, Songkhla merupakan wilayah yang mempunyai potensi pelancongan yang tinggi, sama ada tarikan semula jadi, kawasan komersial, atau budaya yang sangat popular, terutama dalam kalangan pelancong Malaysia.

Datuk Bandar Hat Yai, Leftenen Jeneral Polis Sakorn Thongmunee pula berkata pelancong yang berminat boleh menyertai acara itu secara percuma dengan menikmati suasana cinta dan kasih sayang di tengah-tengah cahaya dan bunyi yang menakjubkan.

“Majlis ini bukan sahaja sesuai untuk pasangan suami isteri, malah ia juga merupakan festival untuk keluarga dan semua peringkat umur yang ingin merasai suasana gembira sepanjang Hari Kekasih ini,” katanya pada sidang media berkaitan acara berkenaan.

Timbalan Gabenor Wilayah Songkhla, Sangkom Kerdko, pula berkata penganjuran festival antarabangsa seperti ini merupakan peluang penting untuk mempromosikan Songkhla sebagai bandar perayaan yang boleh menarik minat pelancong sepanjang tahun.

*** Untuk rekod, umat Islam di Malaysia kekal dilarang menyambut Hari Kekasih atau Valentine’s Day pada 14 Februari selaras fatwa yang ditetapkan sejak 2005 lalu, kerana ia boleh menggugat akidah Islam.

One response to “‘Bunga api muzikal’ acara pikat pelancong Malaysia kunjungi Hat Yai”

  1. […] ‘Bunga api muzikal’ acara pikat pelancong Malaysia kunjungi Hat Yai […]

Leave a Reply to Penduduk, pelancong takjub tonton bunga api ‘Wonderful Of Love’ di Hat Yai – apakhabartv.comCancel reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading