TANJUNG MALIM: Banjir besar yang melanda Kelantan baru-baru ini memberi pelbagai implikasi dalam pelbagai aspek kehidupan kepada banyak keluarga, termasuk pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Demikian juga bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Arab, Durratul Alia Mohamad Kamil, 24, yang turut terkesan akibat banjir yang melanda Kelantan, pada saat rakan-rakannya meraikan hari bersejarah menerima segulung ijazah di tempat mereka belajar.

Kisahnya mendapat perhatian apabila dia membuat rakaman video dengan memakai jubah konvokesyen sambil mengikuti tayangan istiadat secara dalam talian.

Duratul Alia yang berasal dari Kampung Alor Ganu, Jelawat, Bachok berdepan cabaran besar apabila banjir melumpuhkan kampung halamannya, menyebabkan kebanyakan jalan menuju ke UPSI di Tanjung Malim, Perak, terputus.

Kisah Durratul Alia memakai jubah melihat konvokesyen UPSI tular di media sosial hingga mencecah lebih tiga juta tontonan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin (kiri) turut menyampaikan bantuan kepada keluarga Durratul Alia yang terkesan akibat banjir yang melanda Kampung Alor Ganu, Jelawat, Bachok, baru-baru ini.

Dalam situasi yang penuh cabaran itu, Durratul Alia berdepan dengan kesukaran besar untuk hadir ke majlis konvokesyen UPSI ke-26 pada 30 November lalu walaupun sekian lama menantikan detik bersejarah itu.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, menyatakan komitmen universiti dalam membantu pelajar yang terkesan akibat bencana alam.

Beliau berkata, UPSI sentiasa bersedia membantu semua warga yang terjejas, termasuk pelajar dan keluarga mereka.

Justeru, katanya, sebagai universiti pertama yang turun padang memberikan sumbangan serta pertolongan, UPSI akan memastikan kebajikan masyarakat menjadi keutamaan

Menurutnya, menyedari kesulitan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar dari kawasan yang terjejas, pihak UPSI segera menunjukkan keprihatinan mereka.

Dalam kes Durratul Alia pula, pihak universiti memberi kelonggaran dengan membenarkannya mengikuti majlis konvokesyen pada tahun hadapan, setelah keadaan banjir pulih dan perjalanan kembali selamat.

“Keputusan ini bukan sahaja menunjukkan komitmen UPSI dalam menjaga kebajikan pelajarnya, tetapi juga memberikan rasa harapan dan sokongan yang mendalam kepada graduan seperti Durratul Alia yang terpaksa mengorbankan detik bersejarah hidupnya disebabkan bencana alam.

Sementara itu, Durratul Alia, berkata dia dan keluarganya sangat menghargai sokongan ini dan amat berterima kasih kepada UPSI atas keprihatinan dan bantuan mereka.

“Tindakan UPSI ini adalah satu contoh teladan bagaimana institusi pendidikan boleh menunjukkan empati dan sokongan terhadap pelajarnya, ” katanya.

Durratul Alia yang kini berniaga secara online dan mengajar mengaji al-Quran di rumahnya meluahkan rasa terharu kerana UPSI memahami kesulitan yang dihadapi pelajarnya dan sentiasa memberi ruang untuk mereka meraikan kejayaan merasai pengalaman konvokesyen yang sempurna tahun hadapan.

“Kehadiran pihak universiti dalam situasi ini membuatkan saya berasa UPSI sentiasa di hati dan memberi semangat baharu kepada saya untuk terus maju,” luah graduan itu ketika dikunjungi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin di rumahnya.

Dr Norkhalid yang menzahirkan ucapan tahniah berkata alumni adalah sebahagian daripada keluarga besar UPSI.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk membantu sahabat-sahabat yang menghadapi kesusahan ketika ini, ” katanya.

Katanya, pendekatan itu jelas menunjukkan semangat kebersamaan UPSI dalam mengutamakan kebajikan pelajar dan alumni, terutama ketika mereka diuji dengan cabaran besar seperti bencana banjir.

“UPSI membuktikan bahawa di tengah-tengah kesulitan, pendidikan dan pencapaian akademik tetap diutamakan, dan setiap graduan berhak untuk merayakan kejayaan mereka, tidak kira apa jua halangan yang mereka hadapi,” katanya.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading