
YALA (Selatan Thai): Seorang anggota renjer terbunuh dalam satu serang hendap oleh kumpulan bersenjata di Daerah Bannang Sata di Wilayah Yala, semalam (24 November 2024).
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.25 pagi, ketika Renjer Plian Srisuk, 44, dari Kompani Renjer 4105 sedang melakukan rondaan berjalan kaki bersama rakan sepasukannya.
Ketika melakukan rondaan di Kampung Ban Kol Kae, Mukim Bacho, Daerah Bannang Sata, mereka telah diserang hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata.
Tembak menembak berlaku kira-kira lima minit sebelum kumpulan bersenjata melarikan diri.
Mayat Renjer Plian kemudian dihantar ke Hospital Yala untuk bedah siasat.
Sepasukan anggota tentera kemudian dihantar ke lokasi kejadian untuk memburu kumpulan bersenjata terbabit.
Daerah Bannang Sata adalah salah satu kawasan ‘panas’ di Wilayah Yala. Serangan oleh kumpulan bersenjata terhadap pasukan keselamatan Thailand kerap berlaku di daerah berkenaan.
Pada 30 Jun lalu, kumpulan pemisah meletupkan bom kereta di Flat Balai Polis Daerah Bannang Sata, menyebabkan seorang guru tadika terbunuh dan lebih 30 lagi cedera, terutama anggota polis dan ahli keluarga mereka.
Kejadian itu adalah serangan bom kereta pertama di Selatan Thai tahun ini – sebulan selepas Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya bersetuju mengurang dan memberhentikan sementara kekerasan di wilayah berkenaan.
Serangan bom kereta di Selatan Thai bermula pada 2005 dan kejadian di Balai Polis Bannang Sata adalah kali yang ke-62.






Leave a Reply