
Hari ini (15 Oktober 2024) perhatian bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, khususnya di ‘Deep South’ Selatan Thai, terhadap Mahkamah Wilayah Narathiwat, tetapi juga bagi rakyat Thailand keseluruhannya serta kumpulan hak asasi manusia di seluruh dunia.
Apa yang bakal berlaku?
Pada 23 Ogos lalu, mahkamah berkenaan membuat keputusan bahawa terdapat unsur-unsur jenayah dalam Tragedi Tak Bai yang berlaku pada 25 Oktober pada 2004.
Susulan itu, tujuh daripada sembilan pegawai kanan kerajaan, termasuk panglima tentera, yang disaman oleh mangsa dan keluarga mereka, diperintah membela diri terhadap pertuduhan jenayah dan melanggar hak asasi manusia.
Mahkamah memutuskan terdapat alasan undang-undang untuk meneruskan tuntutan terhadap ketujuh-tujuh pegawai terbabit di bawah kesalahan membunuh dan penahanan secara haram.
Mereka diperintah hadir membuat pembelaan pada 12 September lalu. Bagaimanapun, tidak ada seorang pun daripada mereka yang muncul menyebabkan mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka.
Mahkamah sama kemudian mengeluarkan perintah supaya semua tertuduh dibawa ke muka pengadilan hari ini – itupun jika mereka dapat ditangkap.
Namun, maklumat mengatakan bahawa dua daripada mereka telah ‘melarikan diri’ ke United Kingdom dan Jepun, sementara tiada laporan mengatakan lima lagi sudah ditangkap.
Arahan Peguam Negara Thailand
Pada 18 September lalu, Peguam Negara Thailand, Amnat Jedcharoenruk, mengarahkan lapan suspek – enam askar dan dua orang awam – dibawa ke Mahkamah Wilayah Pattani untuk dibicarakan atas konspirasi pembunuhan 78 daripada 85 individu dalam Tragedi Tak Bai 2004.
Beberapa hari kemudian Mahkamah Wilayah Pattani mengeluarkan waran tangkap terhadap lima daripada lapan suspek terbabit kerana gagal hadir di mahkamah.
Tiga yang lain tidak dikenakan waran tangkap kerana mereka masih berkhidmat dalam kerajaan, dan diberikan saman supaya hadir di mahkamah.
Peguam Negara juga telah menghantar laporan dan mengarahkan polis menjejaki lapan suspek terbabit sebelum statut tempoh kes itu tamat pada 25 Oktober ini.
[Statut adalah undang-undang bertulis yang diluluskan oleh Parlimen atau badan lain yang berkuasa membuat undang-undang – (Kamus Dewan Edisi Keempat)]
Undang-undang Thailand menetapkan bahawa tempoh kuat kuasa sesuatu kes adalah selama 20 tahun. Sekiranya, tidak ada tertuduh yang dapat dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh itu, maka kes berkenaan dikira lupus dan tidak ada lagi tuduhan yang sama boleh dibawa ke mahkamah.
Langsung tak boleh lagi bawa kes itu ke mahkamah?
“Tak boleh… game end… full stop… titik,” kata Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang, Keadilan dan Hak Asasi Manusia Parlimen Thailand, Kamonsak Leewamoh dalam temu bual dengan Apa Khabar TV, baru-baru ini.
“Kami menyedari bahawa kes itu akan mencapai tempoh 20 tahun. Jika selepas tarikh itu (25 Oktober ini) tiada tindakan, maka kes itu akan tamat tanpa mangsa dan keluarga mereka mendapat keadilan yang sewajarnya.
“Bukan untuk menuntut duit (pampasan)… duit sudah dapat. Tapi yang penting adalah keadilan. Ia ada dalam undang-undang Thailand,” katanya yang juga Ahli Parlimen Narathiwat (kawasan 5) dan lebih dikenali dalam kalangan penduduk Selatan Thai sebagai Wan Johan.

25 Oktober semakin hampir
Dalam semua waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Wilayah Narathiwat dan Mahkamah Wilayah Pattani, pihak polis telah melakukan beberapa pemeriksaan di rumah suspek.
Tetapi sehingga berita ini ditulis, belum ada suspek yang berjaya ditangkap untuk dihadapkan ke kedua-dua mahkamah itu sebelum statut kes berkenaan tamat pada 25 Oktober ini.
Memberi sedikit harapan, Menteri Kehakiman, Pol Kolonel Thawee Sodsong, baru-baru ini berkata beliau sedang mengumpulkan peguam untuk membantu mencari jalan bagi ‘melanjutkan statut kes’ dengan memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACC). Jika NACC menerima penyiasatan, maka statut had akan digantung.
Ia kelihatan seperti berita baik, tetapi ternyata tidak ada apa-apa.
Laporan mengatakan bahawa, walaupun NACC menerima penyiasatan kes Tak Bai, statut had tidak berhenti kerana kesalahan yang menjadi punca kes Tak Bai berlaku hampir 20 tahun lalu – sebelum pindaan untuk menghapuskan statut had bagi kes rasuah.
Mahkamah Agung memutuskan sebagai ‘presedent’ bahawa “ia tidak boleh digunakan secara retroaktif.”
[Presedent – merujuk kepada keputusan mahkamah yang dianggap sebagai kuasa untuk memutuskan kes berikutnya yang melibatkan fakta yang serupa atau sama, atau isu undang-undang yang serupa]
Akhir kata, jika keadilan sebenar tidak wujud, ia hanya akan memburukkan lagi masalah yang telah lama dialami penduduk ‘Deep South’ – ‘kawasan panas’ yang meliputi Pattani, Yala dan Narathiwat, serta empat daerah di wilayah Songkhla iaitu Saba Yoi, Tepha, Chana dan Natawee.






Leave a Reply to Tragedi Tak Bai 2004: Tujuh tertuduh ‘bersembunyi’, perbicaraan ditangguh kepada 28 Oktober – apakhabartv.comCancel reply