
NARATHIWAT (Selatan Thai): Mahkamah Wilayah Narathiwat hari ini melanjutkan tempoh kehadiran tujuh tertuduh yang akan dibicarakan atas kesalahan membunuh ketika Tragedi Tak Bai 2004, sehingga 28 Oktober ini.
Semua tertuduh sepatutnya dibicarakan di mahkamah berkenaan hari ini (15 Oktober), namun tiada seorang pun yang hadir.
Tarikh baharu itu, sekali gus memberi mereka untuk menyerah diri atau ditangkap oleh pihak polis hanya sehingga tengah malam 25 Oktober ini iaitu tarikh di mana status kes Tak Bai tamat.
Pagi tadi, Hakim Wilayah Narathiwat, Songpol Phanwichatkun, bersama Timbalan Ketua Hakim Mahkamah Wilayah 9, memasuki kamar untuk memulakan perbicaraan terhadap semua tertuduh.
Namun sehingga jam 11 pagi, semua tertuduh tidak hadir dan tiada maklumat mengatakan mereka telah dikesan atau berjaya ditangkap.
Hakim kemudian menjadualkan semula perbicaraan kes itu kepada 28 Oktober ini

Dalam tempoh hari ini sehingga tengah malam 25 Oktober ini, perbicaraan boleh dijalankan pada 28 Oktober sekiranya tertuduh menyerah diri atau berjaya ditangkap oleh polis.
Namun, jika mereka tidak menyerah diri atau berjaya ditangkap sehingga tengah malam 25 Oktober ini, maka kes Tak Bai yang mencapai usia 20 tahun akan tamat dan tidak boleh lagi dibawa ke mana-mana mahkamah.
Hakim juga memaklumkan bahawa pada 28 Oktober ini mahkamah akan bersidang untuk membuat salah satu daripada dua keputusan iaitu:
- Perbicaraan akan dijalankan jika salah seorang atau semua tertuduh hadir di mahkamah; dan
- Mengeluarkan perintah menghentikan kes itu setelah mencapai statut 20 tahun, jika tidak ada seorang pun tertuduh yang hadir.
Lebih 100 pemerhati, keluarga mangsa dan petugas media dibenar berada di kamar perbicaraan untuk mendengar dan melaporkan berita yang dianggap penting itu.






Leave a Reply