TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyerahkan bantuan kerusi roda elektrik dan sumbangan takaful berkelompok kepada staf dan waris institusi itu yang berkelayakan, baru-baru ini.

Bantuan itu melibatkan empat penerima kerusi roda elektrik dan empat waris penerima sumbangan takaful berkelompok menerusi Tabung UPSI Prihatin yang diwujudkan untuk membantu kakitangan dan mahasiswa serta masyarakat bagi meringankan beban musibah dan kemiskinan.

Penyerahan bantuan disempurnakan oleh Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI,

Turut hadir menyaksikan penyerahan bantuan tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Suriani Abu Bakar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; dan Pengarah Pusat Waqaf, Endowmen, Zakat, Sedekah dan Khairat (Wezas), Prof Madya Dr Mohd Abdul Nasir Abd Latif.

Dalam ucapan pada majlis itu, Dr Md Amin berkata, program penyerahan bantuan ini merupakan satu inisiatif yang diadakan bagi menghargai sumbangan dan jasa bakti kakitangan UPSI yang telah lama berkhidmat di sini.

Menurut beliau, cetusan idea untuk melaksanakan majlis penyerahan bantuan ini disebabkan oleh semangat juang yang dipamerkan oleh kakitangan UPSI yang mempunyai kekurangan diri tapi sentiasa komited untuk menjalankan tugas.

“Saya sentiasa cakna dengan kakitangan UPSI yang kekurangan kemampuan, namun saya kagum dengan mereka yang tetap bersemangat dan komited untuk bekerja di UPSI.

“UPSI akan menyediakan pelbagai lagi inisiatif bantuan kepada kakitangan dan pesaranya pada masa akan datang bagi memastikan kebajikan terjaga,” katanya.

Pada majlis sama, Dr Md Amin berkata UPSI bakal melancarkan kad pesara kepada bekas kakitangannya, termasuk balu pesara.

Jelas beliau, kad pesara itu menyediakan manfaat dalam menggunakan semua kemudahan yang ada di UPSI pada kadar harga staf.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading