
TANJONG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melancarkan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) berkredit, yang disertai oleh 20 guru takmir dari zon utara dalam kohort pertamanya bertempat di Pusat ICT, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI baru-baru ini.
Ketua Jabatan Bahasa Moden, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Dr Taj Rijal Muhamad Romli berkata penganjuran program itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan pendidikan berkualiti dapat diakses oleh pelbagai pihak.
“Melalui program ini, peserta dan guru yang menyertai program ini akan dijangka dapat membawa ilmu, termasuk kaedah pembelajaran terkini, kembali ke komuniti masing-masing, membantu meningkatkan tahap pendidikan di negara ini,” katanya.
PSH berkredit ini , katanya, bertujuan membolehkan pendidikan diakses oleh semua golongan tanpa mengira umur atau latar belakang menimba ilmu.

Menurutnya, program PSH berkredit ini dilaksanakan secara dalam talian, menyediakan platform bagi peserta dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang untuk berkongsi pengalaman dan menimba ilmu bersama-sama.
Sepanjang berlangsungnya program ini, peserta didedahkan kepada pelbagai modul yang merangkumi pelbagai bidang ilmu, termasuk kaedah pembelajaran terkini yang relevan dengan keperluan pendidikan masa kini.
Antara kaedah yang dipelajari adalah teknik pengajaran berpusatkan pelajar, penggunaan teknologi dalam bilik darjah, dan pendekatan pembelajaran aktif yang boleh diaplikasikan dalam konteks pengajaran guru takmir.
Peserta juga didedahkan dengan pelbagai sumber kitab Turath Islam dan juga penggunaan AI seperti chatgpt dalam menyokong proses pembelajaran sepanjang hayat ini.

Pihak UPSI, katanya, amat menghargai dan berterima kasih kepada Takmir Zon Utara yang diketuai oleh Ustaz Mohd Azmi Hj Masjuri dan KIBAS Enterprise atas sokongan, bantuan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini.
“Program ini diadakan bertujuan untuk memperkukuh keupayaan dan kompetensi Guru Takmir dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka secara profesional serta memberi penekanan kepada kemahiran insaniah peserta, seperti kemahiran komunikasi, kepimpinan, dan kerja berpasukan, yang penting dalam melahirkan guru-guru yang lebih berdaya saing dan berintegriti.
Sementara itu Pegawai Penyelaras Takmir Negeri Perak, Haji Azmi Haji Masjuri menegaskan bahawa pentauliahan ini bukan sahaja untuk meningkatkan kredibiliti Guru Takmir, tetapi juga sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam membentuk masyarakat yang berilmu dan berakhlak mulia.
“Guru Takmir memainkan peranan yang amat penting dalam menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat, terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman kerana kompetensi dan kefahaman yang mendalam terhadap ilmu agama adalah sangat penting.

Menurut beliau, Guru Takmir harus sentiasa berusaha untuk mengembangkan potensi diri mereka agar dapat menyampaikan ilmu yang terbaik kepada masyarakat.
“Peserta perlu terus berusaha dalam meningkatkan tahap profesionalisme mereka melalui latihan berterusan dan pembelajaran sepanjang hayat,” ujar beliau.






Leave a Reply