Oleh Norrulkamari Daud dan Afiqah Ibrahim
Pengalaman mendewasakan kita. Perjalanan merentasi samudera memberi gambaran baru tentang sebuah pelayaran indah yang bertujuan untuk meraih ilmu dalam memartabatkan dunia pendidikan yang lebih luas.
Dalam rangka itu, barisan Majlis Mahasiswa Kolej dan pengurusan tertinggi Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) mewakili Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkai perjalanan Outreach UPSI to Vietnam 2024 yang bermula pada 9 Ogos 2024 tepatnya di Kota Ho Chi Minh City, kota indah yang dipenuhi struktur eropa yang megah tanpa mengetepikan budaya lokal yang unik dan pelbagai.

Cultural Discovery Tour adalah program yang berkonsepkan kesenian dan kebudayaan yang bertujuan untuk meluaskan pemahaman, meningkatkan pengetahuan dan memberi pengalaman kepada peserta deligasi program tentang kepelbagaian budaya serta tradisi dari pelbagai lapisan masyarakat negara Asia Timur Tenggara itu.
Setiap negara pasti memiliki budaya dan keunikannya tersendiri.
Demikian juga di Vietnam, kebudayaan adalah cerminan atau simbolik kepada cara hidup, nilai-nilai, bahasa, seni dan tradisi yang diamalkan kesinambungannya dalam satu generasi ke satu generasi berikutnya.
Program ini memberi pendedahan baharu kepada kami untuk mengenali beberapa kawasan sekitar bandar Ho Chi Minh, Vietnam.
Tempat pertama yang dilawati iaitu Saigon Central Post Office, di Ho Chi Minh, Vietnam. Sejarah berkaitan bangunan pejabat pos ni ialah ianya dibina ketika Vietnam masih sebahagian daripada IndoChina Perancis pada akhir abad ke-19 sekitar tahun 1886-1891.
Di dalam pejabat pos ini terdapat dua peta besar yang ditampal di bahagian kiri dan kanan dinding bangunan. Peta yang pertama ialah peta Vietnam Selatan dan Kemboja yang diterjemah tajuknya kepada “Telegraphic lines of Southern Vietnam and Cambodia 1892”, dan peta kedua memaparkan peta daerah Saigon yang diterjemah tajuknya kepada “Saigon and its surroundings 1892”.
Di dalam bangunan itu juga, urusan pos masih berjalan seperti biasa. Pengunjung yang datang boleh menikmati keunikan hasil senibina bangunan ini dengan selesa.
Terdapat juga poskad percuma disediakan. Di bahagian tepi pejabat terdapat deretan kedai yang menjual pelbagai jenis cenderamata, kraftangan dan aksesori dan perhiasan untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan dan pastinya, potret kebersamaan kami di hadapan megah jam dinding mengukir senyuman walupun terik menampar pipi kami.
Bersebelahan Pejabat Pos Saigon itu, kami juga sempat melewati Ho Chi Minh City Book Street yang merupakan salah satu jalan tertua yang ada di Vietnam. Pada masa penjajahan Prancis, jalanan ini dikenali nama Hong Kong Street.
Setelah beberapa kali berganti nama, jalanan ini bernama Nguyen Van Binh Book Street sejak 4 Julai 2000. Namun tetap saja jalan ini lebih dikenali sebagai Ho Chi Minh City Book Street sebagai bentuk penghormatan dan kekaguman terhadap Presiden Vietnam, Ho Chi Minh.

Seterusnya, Masjid Jamia Al-Musulman menjadi destinasi wisaya yang kedua kami kunjungi. Ini adalah masjid yang terbesar dan paling terkenal di Kita Vietnam.
Masjid ini terletak di Jalan Dong Du (Distrik 1, Kota Ho Chi Minh) yang dibina pada tahun 1935. Masjid ini merupakan tempat solat bagi umat Islam dari India, Pakistan, Indonesia, Malaysia samada pengunjung mahupun penduduk setempat.
Masjid yang luasnya sekitar 2,000 meter persegi ini disumbangkan oleh masyarakat India di Vietnam. Seni bina Islam dari India Selatan adalah ciri khas yang menonjol pada masjid ini dan menarik kedatangan banyak pengunjung yang datang ke Vietnam.
Langkah terus panjang apabila kami menjejaki bangunan Konsulat Jeneral Malaysia (Consulate General of Malaysia) yang terletak juga di Ho Chi Minh City.
Konsulat jeneral ini telah ditubuhkan sebagai pejabat Konsulat Malaysia pada Mac 1991 dan telah dinaikkan taraf kepada Konsulat Jeneral Malaysia pada 1992.
Agensi-agensi Kerajaan Malaysia lain yang turut beroperasi di Ho Chi Minh City ialah Matrade dan Pejabat Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Setibanya kami di sini, Dr Azriey Mazlan, sebagai konsul bahagian pendidikan di Konsulat Jeneral Malaysia menyambut kedatangan kami dengan penuh gembira.

Menurut beliau, hingga setakat ini, deligasi kamilah yang pertama kalinya tiba di Konsulat Jeneral Malaysia dan beliau juga meluahkan rasa senang di atas inisiatif UPSI meluaskan jaringan antarabangsa melalui pelaksanaan program yang dilihat mampu memberikan impak yang baik, khususnya buat mahasiswa UPSI untuk melanjutkan pengajian di luar negara, seperti Vietnam.
Tempat terakhir yang kami lawati sepanjang Cultural Discovery Tour di Vietnam ini ialah Muzium Bandar Ho Chi Minh yang terletak di persimpangan Jalan Ly Tu Trong dan Nam Ky Khoi Nghia, Ho Chi Minh City.
Muzium ini mula dibina pada 1885 yang direka khas oleh arkitek Perancis iaitu Alfred Foulhoux asalnya dirancang untuk menjadi Muzium Perdagangan. Bagaimanapun ia telah dijadikan kediaman rasmi Governor Cochinchina setelah pembinaannya siap.
Ketika Perang Dunia II, bangunan ini telah dijadikan kediaman Govenor Jepun pula pada 1945. Selepas pengunduran Jepun, bangunan ini ditawan oleh Viet Minh dan kemudiannya diambil alih oleh Pasukan Berikat (Allied Forces). Ia kemudiannya dijadikan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Perancis di Indochina.
Pada tahun 1954 pula ia dijadikan kediaman rasmi Perdana Menteri Republik Vietnam dan dinamakan Gia Long Palace. Kemudian dari tahun 1966 hinggalah 1975, Mahkamah Agung Republik Vietnam telah ditempatkan di sini, sehinggalah pada tahun 1978, Mahkamah Agung telah dipindahkan dan bangunan ini dijadikan Muzium Bandar Ho Chi Minh.
Muzium ini mempamerkan tema-tema seperti Arkeologi, Pelabuhan Perdagangan, Industri, Kraftangan, Kebudayaan, Revolusi Rakyat dan Matawang.
Apa yang menarik minat kami adalah Tema Revolusi Rakyat yang menunjukkan perjuangan rakyat Vietnam dalam mencapai kebebasan dari cengkaman penjajah.

Kepelbagaian seni dan budaya mewarnai sesebuah negara menerusi keindahannya. Perjalanan ini membuka mata kami untuk belajar memahami, meresapi dan menghargai setiap warna warni kesenian dan kebudayaan khususnya di kota Vietnam.
Segala pemandangan akan terus melekat dalam album memori hati yang pasti akan terus mencintai setiap sudut kota yang penuh dengan rindu.
Semoga dengam adanya program sebegini, akan membuka minda mahasiswa UPSI khususnya untuk mempelajari nilai tambah yang ada di luar negara dan memberi impak yang besar dalam kemenjadian mahasiswa yang penuh dengan jati diri, berpengetahuan, berpengalaman luas, berkarakter besar dan berwibawa sehingga mampu memberikan dampak cemerlang yang lebih tinggi untuk diri, agama, bangsa dan negara tercinta.
Terima kasih Vietnam, The Land of Blue Dragon.
Penulis adalah Felo Penasihat dan perwakilan Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid bagi program Outreach UPSI to Vietnam.






Leave a Reply