Keganasan terus berlaku di ‘Deep South’ (wilayah Selatan Thai merangkumi Yala, Narathiwat, Pattani dan empat daerah di Songkhla) dengan insiden terbaharu malam tadi (12 Ogos 2024), apabila dua lelaki tanpa menghiraukan orang ramai melempar bom buatan sendiri di pos kawalan berhampiran pasar malam.

Kejadian di Daerah Bachok, Narathiwat itu, yang disusuli tembakan senjata api, menyebabkan empat cedera, termasuk dua kanak-kanak.

Serangan ke atas pusat kawalan keselamatan itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 8.35 malam tadi di Mukim Belukar Samok, Bachok.

Dua kanak-kanak yang cedera itu dikenali sebagai Siti Anisa, 5 tahun; dan Muhammad Zubez, 10. Siti Robiha, 24. Seorang anggota Marin Thailand yang belum dikenal pasti turut cedera.

Kejadian dikatakan berlaku apabila dua lelaki menaiki sebuah motosikal melempar bom buatan sendiri ke arah pos kawalan keselamatan di Kampung Batu, Belukar Samok, disusuli tembakan senjata api.

Dua lelaki terbabit dikatakan meletakkan motosikal mereka di tempat lain sebelum berjalan bersama orang ramai di pasar malam berkenaan yang dianjurkan oleh pihak majlis perbandaran mulai 9 Ogos hingga semalam.

Mereka kemudian melempar bom buatan sendiri ke arah pos kawalan, sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun, selepas itu kedengaran bunyi tembakan menyebabkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Terdahulu, pada sebelah pagi polis Daerah Thung Yang Daeng di Pattani, menahan dua pemuda yang mencurigakan ketika mereka mengorek lubang di tepi jalan, dipercayai untuk menanam bom.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 10.20 pagi di Kampung Buerang, Mukim Nam Dam.

Penduduk kampung melaporkan kepada polis berhubung dua pemuda terbabit sedang mengorek tanah di tepi jalan menggunakan mesin pengorek.

Polis kemudian menahan kedua-duanya yang berusia 18 dan 21 tahun untuk siasatan lanjut. Bagaimanapun, kedua-duanya mendakwa mereka diupah untuk melakukan kerja-kerja berkenaan.

Pihak berkuasa mengesyaki kumpulan bersenjata terbabit dalam kejadian itu dengan mengupah pemuda berkenaan untuk mengorek lubang di kawasan itu sebelum menanam bom bagi menyerang pasukan keselamatan yang melakukan rondaan.

Leave a Reply

Trending