
YALA (Selatan Thai): Wanita yang terbunuh dalam serangan bom kereta di flat polis Bannang Sata, di sini, hari ini (30 Jun 2024), dikenal pasti sebagai Rokiyah Sarana, 45 tahun, seorang guru di sebuah tadika (pusat pendidikan di masjid) berhampiran.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Kehakiman Thailand, Thawee Sodsong yang melawat tempat kejadian petang tadi, sambil melahirkan rasa kesal dan sedih atas kejadian itu.
Beliau berkata, ketika letupan berlaku, Rokiyah, yang berasal dari Ban Ba ​​​​Cho, Kampung No. 2, Daerah Bannang Sata, sedang melalui kawasan itu untuk membeli makanan kepada kanak-kanak tadika berkenaan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki menaiki sebuah motosikal dipercayai memasang bom jangka di sebuah kereta yang diletakkan di hadapan flat polis Bannang Sata, sebelum letupan berlaku kira-kira jam 10.20 pagi tadi.

Rokiyah yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan melibatkan pelbagai agensi… pihak berkuasa juga sedang meneliti CCTV. Kami akan mempercepatkan siasatan kejadian itu.
“Kita juga merakamkan ucapan takziah kepada mangsa di atas insiden pengeboman itu. Orang yang terbunuh adalah orang awam yang juga guru tadika yang mengajar kanak-kanak.
“Dia datang untuk membeli makanan untuk dimasak dan diberikan kepada kanak-kanak Tadika… dan terpaksa mati. Kami mengucapkan takziah kepada keluarganya,” kata Thawee.
Turut melawat tempat kejadian ialah Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), Wannapong Kocharak; Gabenor Yala, Amphon Phongsuwan; dan Komander Polis Wilayah 9, Lt Gen Piyawat Chalermsri.

Menurut laporan, penjenayah telah menyembunyikan bahan letupan buatan sendiri di bawah sebuah Toyota berwarna biru.
Bahan letupan dimasukkan ke dalam satu tangki gas, dengan berat kira-kira 80 kilogram. Kemudian kereta itu dipandu dan diparkir di hadapan flat polis sebelum diletupkan.
Letupan itu turut menyebabkan 21 yang lain cedera, termasuk pegawai polis dan keluarga mereka, yang kebanyakannya adalah kanak-kanak.
Sementara itu, Piyawat berkata kereta yang digunakan oleh penjenayah itu adalah dari daerah lain dan milik agensi kerajaan.
“Ia telah dicuri semalam dan penjenayah membawanya untuk melakukan jenayah itu hari ini tanpa sebarang perubahan pada keadaannya,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri yang menyelia Kementerian Pertahanan dan beberapa jabatan keselamatan, Phumtham Wechayachai berkata, kereta yang digunakan penjenayah tidak didaftarkan sebagai kenderaan di bawah pengawasan.






Leave a Reply