
Buat kali pertama Thailand meminta Singapura mengkaji dan mengesyorkan garis panduan bagi menyelesaikan masalah serta konflik yang membelenggu tiga wilayah di Selatan Thai atau dikenali sebagai ‘deep south’ – Yala, Narathiwat dan Pattani serta empat daerah di Songkhla.
Permintaan daripada Pengerusi Suruhanjaya Khas Mempertimbangkan Pendidikan untuk Mempromosikan Keamanan di Wilayah Sempadan Selatan Thailand, Chaturon Chaisang, itu disampaikan Menteri Kehakiman Thailand, Pol Kolonel Thawee Sodsong kepada Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga & Menteri Kesihatan Kedua, Menteri yang bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Muslim, Masagos Zulkifli, ketika kedua-duanya bertemu di Bangkok baru-baru ini.
Sebelum ini, Proses Damai Selatan Thai hanya melibatkan tiga pihak iaitu Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) yang mewakili kumpulan bersenjata dan Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand (PEDP/RTG), manakala Malaysia pula menjadi fasilitator.
Singapura selama ini tidak pernah dijemput mengambil bahagian dalam Dialog Damai Selatan Thai.
Memetik laporan Southern News Center, Masagos tiba di Bangkok bagi menghadiri Mesyuarat Program Pertukaran Perkhidmatan Awam (CSEP) ke-14 anjuran Kementerian Luar Thailand.
Laporan itu memetik Thawee sebagai berkata Thailand sedia untuk bekerjasama dan menggunakan pendekatan Singapura sebagai model untuk menyelesaikan masalah di tiga wilayah sempadan selatan.
Terdapat kira-kira tiga juta penduduk di tiga wilayah berkenaan dengan 70 hingga 80 peratus terdiri daripada umat Islam.
Laporan itu seterusnya menyatakan bahawa ini adalah kali pertama penyelarasan dan kerjasama antara Thailand dan Singapura berhubung penyelesaian konflik di tiga wilayah sempadan selatan.
Thawee dilaporkan mengemukakan jemputan daripada Jaturon Chaisaeng bagi menggalakkan proses mewujudkan keamanan dan menyelesaikan konflik di tiga wilayah sempadan selatan.
Laporan itu menyatakan tiga perkara lain turut menjadi tajuk perbincangan kedua-dua pemimpin itu dalam usaha mengurangkan konflik yang timbul.
Tiga perkara itu ialah:
- Membina hubungan dengan semua agama;
- Menghubungkaitkan hubungan antara pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta, masyarakat, dan agama; dan
- Membina keyakinan dalam komuniti semua agama melalui peraturan dan undang-undang yang dikaitkan dengan prinsip agama dan berpegang kepada prinsip kesaksamaan.
Turut diketengahkan ialah masalah pelarian Uyghur, Rohingya, dan wabak dadah di Thailand yang menjadi tempat transit kumpulan pengedaran dadah antarabangsa.
Proses Dialog Damai Selatan Thailand antara Kerajaan Thailand dengan kumpulan bersenjata kini memasuki tahun ke-10.
Proses itu bermula apabila Yingluck Shinawatra, Perdana Menteri Thailand pada ketika itu meminta Malaysia menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik di Selatan Thailand.
Berikutan itu, satu Konsensus Am di antara Kerajaan Thailand dan BRN termeterai pada 28 Februari 2013.
Terbaharu, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama kali Ke-10 Kumpulan Kerja Bersama Proses Dialog Damai (JWG-PDP) Wilayah Sempadan Selatan Thailand antara BRN dan PEDP/RTG diadakan di Kuala Lumpur pada 19 Mei 2024 hingga 21 Mei 2024.
Pada 30 Mei lalu, jurucakap BRN, Ustaz Khalid Abdullah menjelaskan dalam rundingan yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, pihaknya bersetuju mengurang atau memberhentikan sementara kekerasan, walaupun Pelan Komprehensif Bersama ke Arah Pendamaian (JCPP), belum dimuktamatkan.






Leave a Reply