
‘Deep South’ – yang melibatkan tiga wilayah di Selatan Thai iaitu Yala, Narathiwat dan Pattani, serta empat daerah di Songkhla – ‘tenang’ sejak Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) mengumumkan pemberhentian sementara kekerasan, pada 29 Mei 2024.
Tidak ada perang gerila yang dilancarkan oleh mana-mana kumpulan bersenjata terhadap pasukan keselamatan Thailand, dalam tempoh sekarang, sama ada menggunakan senjata api atau serangan bom.
Namun, jangan disangka air yang tenang itu tidak berkocak. Arus deras dendam terus membara dalam kalangan beberapa pihak, termasuk mereka yang menentang proses damai antara Kerajaan Thailand dan BRN.
Ini kerana telah muncul ‘titik-titik panas’ di beberapa kawasan, dengan pihak-pihak tertentu terus meniup semangat perjuangan kepada masyarakat Melayu Selatan Thai, termasuk dengan melakukannya secara fizikal dan mengimbau kenangan atau tragedi pahit yang berlaku sebelum ini.
Sejak beberapa hari lalu, berlaku beberapa ‘tunjuk perasaan’ dalam kalangan pihak tertentu, dengan menulis perkataan yang menaikkan semangat perjuangan masyarakat Melayu Selatan Thai – ‘Patani Merdeka’.
Perkataan itu ditulis di dinding dan tembok sekolah selain di jambatan untuk dilihat orang awam yang lalu lalang.

Terbaharu, semalam (13 Jun 2024) pihak berkuasa Thailand melakukan siasatan di daerah Bannang Sata di Yala selepas menerima maklumat orang awam dan menjumpai bahan letupan buatan sendiri.
Bahan letupan berupa tong gas 10 kilogram yang diubahsuai menjadi tong pemadam api, wayar dan beberapa alat lain ditemui di kawasan berumput di tepi jalan Ban Tabing Tinggi, Bannang Sata.
Terdahulu, anggota pasukan Batalion 3302 Rejimen Renjer yang melakukan rondaan di kawasan itu menerima maklumat orang ramai berhubung penemuan objek yang mencurigakan, kira-kira jam 10.30 pagi.
Pemeriksaan awal mendapati terdapat objek mencurigakan berupa alat pemadam api berwarna merah, wayar dan beberapa alat lain tersembunyi di tepi jalan Yala ke Betong. Pihak berkuasa kemudian menutup laluan itu kepada semua lalu lintas bagi memudahkan pemeriksaan.
Sepasukan anggota Unit Pelupusan Bahan Letupan (EOD) dari Yala dan forensik dihantar untuk melakukan siasatan lanjut, sebelum dikenal pasti sebagai alat letupan.
Dalam perkembangan lain, Unit Khas Rejimen Renjer menahan dua individu mencurigakan disyaki terlibat dalam kejadian letupan bom motosikal di kawasan tumpuan ramai (Sangkar Burung) di bandar Narathiwat pada 6 Mei lalu. Ini menjadikan lima individu telah ditahan berkaitan pengeboman di Narathiwat.
Kedua-duanya yang dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ditahan ketika melalui pusat pemeriksaan di Mukim Cha Kwa, daerah Raman, Yala, kira-kira jam 4 petang semalam
Kedua-duanya yang dikenali sebagai Sulanhan dan Jekamaru berasal dari daerah Tak Bai, Narathiwat.
Kira-kira jam 10 malam pada 6 Mei lalu, dua rakyat Malaysia adalah antara sembilan individu yang cedera dalam letupan bom motosikal di bandar Narathiwat.
Kedua-dua mereka ialah Hariza Aziz, 38, dan Siti Aishah Ismail. Susulan itu pihak berkuasa telah menahan dua lel
Sementara itu, pihak berkuasa juga menahan seorang lelaki yang disyaki anggota kumpulan bersenjata setelah dia menembak mati seorang kakitangan pejabat pentadbiran sub-daerah di daerah Nong Chik, Pattani, semalam.
Terdahulu polis menerima maklumat mengatakan seorang kakitangan kerajaan, Thammarong Phromprasit, 43, diserang sekumpulan lelaki ketika menunggang motosikal untuk ke pejabat kira-kira jam 6.40 pagi
Hasil siasatan menerusi CCTV dan maklumat penduduk, polis kemudiannya menahan seorang lelaki di sebuah kampung tidak jauh dari tempat kejadian.
Melalui tingkah lakunya, polis percaya lelaki terbabit adalah anggota kumpulan bersenjata yang beroperasi di daerah Nong Chik.





Leave a Reply