Oleh Dr Hassan bin Suleiman

SEBAHAGIAN individu memandang bahawa gerakan HAMAS sebenarnya yang memulakan peperangan dengan melancarkan serangan pada 7 Oktober 2023, dan ia menyebabkan peperangan negara Yahudi ke atas Gaza! Namun hakikatnya adalah, dakwaan ini sebenarnya tidak benar.

Serangan yang dilancarkan oleh HAMAS ke atas tanah Israel adalah sebagai lawan balas terhadap serangan-serangan Israel, pencemaran yang mereka lakukan terhadap Masjid Al-Aqsa, dan cubaan mereka yang berterusan untuk menduduki tanah Palestin, sama seperti bagaimana Rasulullah SAW menggunakan peluang untuk membalas perbuatan musyrikin Makkah, mematahkan kekuatan mereka, menghentikan keganasan mereka terhadap umat Islam, dan menguji mereka dalam agama mereka.

Dan ianya berlaku apabila Baginda SAW mengetahui bahawa kafilah pedagang Quraisy di bawah pimpinan Abu Sufyan bin Harb, sedang dalam perjalanan ke Syam dari Makkah dengan hanya diawasi oleh kira-kira 40 orang lelaki sahaja.

Nabi SAW keluar bersama 313 orang untuk menghalang dan merampas kafilah tersebut, tetapi kafilah tersebut telah berjalan terlebih dahulu ke arah Syam, dan Allah menghendaki agar kafilah itu terlepas daripada mereka, supaya Allah menyimpan yang terbaik bagi umat Islam. Dan persoalan yang timbul sekarang adalah:

Mengapakah Nabi SAW keluar bersama 313 orang untuk merampas kafilah dagang yang membawa barang dagangan Quraisy?

Terdapat beberapa sebab Nabi SAW keluar untuk merampas kafilah dagang Quraisy dan cubaan untuk mengadakan perang ekonomi di antara umat Islam di Madinah dan musyrikin Makkah, antaranya adalah:

  1. Musyrikin Makkah menggunakan pelbagai jenis tekanan, kesusahan, gangguan material dan moral, serta bentuk-bentuk peperangan dingin untuk menghalang para muhajirin daripada meninggalkan Makkah dan pergi ke Madinah, sehingga mereka terpaksa meninggalkan tanah air, tempat tinggal, dan harta benda mereka; dan ini sama seperti apa yang dilakukan oleh negara Yahudi sekarang terhadap rakyat Palestin.
  2. Penindasan agama yang dilakukan oleh musyrikin Makkah terhadap orang Islam, dan ini bertujuan untuk mengembalikan mereka kepada kekufuran selepas mereka diberi petunjuk oleh Allah SWT kepada iman.

Mereka diuji dalam agama mereka dengan pelbagai cara penindasan, termasuk perang ekonomi, sehingga mereka terpaksa berhijrah dan meninggalkan kota Makkah Bersama agama mereka, serta meninggalkan harta benda dan tempat tinggal mereka di Makkah yang dirampas oleh musyrikin.

Jenis-jenis penindasan sebegini turut dilakukan oleh Yahudi zaman kini terhadap rakyat Palestin, dan faktor ini dikenali sebagai “Fitnah dalam agama” sebagaimana dalam firman Allah SWT:

ﵟوَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ‌ﵞ

Dan fitnah itu lebih buruk daripada membunuh.” (Al-Baqarah: 191).

  1. Rancangan musyrikin Makkah untuk memenjara atau membunuh Rasulullah SAW, yang menyebabkan Baginda keluar dari Makkah dan berhijrah ke Madinah.
  2. Usaha golongan musyrik Quraisy untuk menghasut golongan munafiq dan musyrik dari Madinah untuk memerangi Rasulullah dan umat Islam, serta mengancam mereka dengan serbuan dari semua suku Arab; sama seperti apa yang dilakukan oleh negara Yahudi sekarang dalam menghasut Amerika dan beberapa negara Barat untuk menyukung mereka dalam peperangan ke atas Gaza.

Realitinya, tidak boleh dikatakan bahawa gerakan HAMAS merupakan punca peperangan negara Yahudi ke atas Gaza; kerana bukan mereka yang memulakan peperangan dengan menyerang pada 7 Oktober 2023; menurut bukti-bukti yang telah dinyatakan.

Akhirnya, saya ingin menegaskan beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam konteks peristiwa Gaza dan seumpamanya, perkara tersebut adalah seperti berikut:

  1. Keyakinan yang teguh dan kepercayaan yang kukuh bahawa apa yang sedang berlaku sekarang sama ada dalam bentuk tipu daya, pembunuhan, dan serangan ganas daripada orang kafir terhadap Gaza dan negara-negara Muslim lainnya; semuanya adalah dengan pengetahuan dan kehendak Allah Yang Maha Tinggi, Allah SWT telah berfirman:

ﵟوَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا اقْتَتَلُوا وَلَكِنَّ اللَّهَ يَفْعَلُ مَا يُرِيدُﵞ

Dan kalau Allah menghendaki, tentulah mereka tidak akan berperang, tetapi Allah boleh melakukan apa yang dikehendakiNya.” (Al-Baqarah: 253) dan Allah SWT juga ada berfirman:

ﵟوَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَﵞ

Dan kalau Tuhanmu mengkehendaki, tentulah mereka tidak akan melakukannya; maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan.” (Al-An’am: 112).

Dan kehendak Allah bukanlah sesuatu yang kosong daripada hikmah, tetapi Allah SWT memiliki hikmah yang agung dalam penciptaanNya dan perintahNya, dan mereka yang mengenal Tuhannya dengan baik akan tahu tentang itu.

Oleh sebab itu, mereka tetap berbaik sangka kepada Tuhan dan yakin bahawa pengakhiran daripada peristiwa-peristiwa yang Allah takdirkan adalah kebaikan, manfaat, dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dengan izin Allah SWT.

  1. Di antara hikmah Allah SWT dalam peristiwa-peristiwa ini adalah untuk mengenalkan kita kepada sunnah-sunnahNya yang tidak berubah dan tidak akan berubah, dan dengan mengetahui sunnah-sunnah ini, ia akan memperlihatkan kepada kita jalan yang lurus dan ia akan memandu umat Islam kepadanya, serta membimbing mereka ke jalan yang benar dan tepat.

Allah SWT telah berfirman:

ﵟ‌قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِكُمْ سُنَنٌ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَﵞ

Sesungguhnya telah berlalu sebelum kamu beberapa sunnah (ketentuan) kehidupan, maka berjalanlah kamu di muka bumi, lalu perhatikanlah bagaimana pengakhiran kehidupan bagi orang-orang yang mendustakan (para rasul).” (Ali Imran: 137), dan Allah SWT juga ada berfirman:

ﵟفَهَلْ يَنْظُرُونَ إِلَّا سُنَّتَ الْأَوَّلِينَ فَلَنْ تَجِدَ لِسُنَّتِ اللَّهِ تَبْدِيلًا وَلَنْ تَجِدَ لِسُنَّتِ اللَّهِ تَحْوِيلًاﵞ

Maka apakah mereka menunggu selain daripada sunnah-sunnah orang-orang terdahulu? Kamu sekali-kali tidak akan dapati sebarang perubahan pada sunnatullah, dan kamu tidak akan dapati sebarang penukaran pada sunnatullah.” (Fatir: 43).

Oleh itu, telah menjadi kewajipan bagi umat Islam secara umumnya dan bagi para ulama dan mujahidin secara khususnya, untuk berdiri teguh bersama al-Quran serta petunjuk dan cahaya yang terdapat di dalamnya.

Di antaranya adalah sunnah-sunnah ketuhanan yang terinspirasi daripada dakwah para Nabi, kerana dengan mengetahui tentangnya serta sejarahnya termasuk dalam mengambil kira faktor-faktor kemenangan, kekuatan, dan kejayaan, dan dapat menyelamatkan diri daripada kebingungan dan kesulitan yang menimpa orang lain.

Ini berbeza dengan mereka yang tidak mengetahui tentang punca bagi peristiwa-peristiwa tersebut; maka orang yang mengetahui akan memiliki ilmu dan ketenangan, sedangkan mereka yang tidak tahu pula tidak akan memiliki apa-apa kecuali kebingungan dan ketakutan.

Dan dalam konteks peristiwa-peristiwa hangat yang terjadi saat ini di tanah Palestin yang diberkati, kita haruslah mengingati tentang sunnah-sunnah yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam kitabNya, antaranya adalah:

  1. Sunnah Pertahanan: Keimanan dan keyakinan kita tentang segala yang berlaku dalam alam semesta ini adalah dengan pengetahuan, kehendak, dan hikmah Allah Yang Maha Tinggi; tidak bermakna kita perlu menyerah kepada kehinaan dan meninggalkan segala usaha untuk bertahan; kerana Allah Yang Maha Tinggi yang mengkehendaki peristiwa ini sebagai ciptaan dan takdirNya; Dia mengkehendaki daripada kita untuk membela agamaNya dan syariatNya, dan inilah yang disebut sebagai “Sunnah Pertahanan”, Allah SWT telah berfirman:

ﵟوَلَوْ يَشَاءُ اللَّهُ لَانْتَصَرَ مِنْهُمْ وَلَكِنْ لِيَبْلُوَ بَعْضَكُمْ بِبَعْضٍ وَالَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَلَنْ يُضِلَّ أَعْمَالَهُمْﵞ

Dan jika Allah mengkehendaki, Allah akan memenangkan mereka, tetapi Allah ingin menguji sesama mereka, dan manakala mereka yang mati di jalan Allah, maka Allah tidak akan sia-siakan amalan mereka.” (Muhammad: 4) dan Allah SWT juga berfirman:

ﵟوَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌﵞ

Jika Allah tidak memalingkan sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, nescaya pasti akan dirobohkan biara-biara, gereja-gereja, tempat-tempat sembahyang (Yahudi), dan masjid-masjid yang banyak disebut nama Allah di dalamnya. Sesungguhnya Allah pasti akan menolong orang-orang yang menolong (agama)Nya. Sesungguh Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Al-Hajj: 40)

Begitu juga Allah Yang Maha Tinggi ada berfirman dalam sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

وإن الله نظر إلى أهل الأرض، ‌فمقتهم ‌عربهم وعجمهم، إلا بقايا من أهل الكتاب، وقال: إنما بعثتك لأبتليك وأبتلي بك

… Dan sesungguhnya Allah yang Maha Suci dan Maha Tinggi memandang kepada penduduk bumi, lalu Dia murka kepada mereka, baik Arab mahupun bukan Arab daripada kalangan ahli Kitab, lalu Dia berfirman: Wahai Muhammad, sesungguhnya Aku mengutusmu untuk Aku menguji kamu dan Aku menguji melalui kamu…“. (HR Muslim)

Dalam dua ayat suci al-Quran dan hadis qudsi tersebut, ia menjadi bukti yang paling jelas tentang kemestian berlakunya pertembungan di antara kebenaran dan kebatilan dalam bentuk pertahanan antara umat Islam dan orang-orang kafir.

Dan bagi sesiapa yang mengharapkan penambahbaikan dan ingin mengelakkan keburukan, namun ia ingin menyebarkan kebaikan tanpa mengikuti sunnah ini; maka sebenarnya dia tidak mengenali sunnah Allah Yang Maha Tinggi dan tidak mengikuti jalan para nabi dan pengikut-pengikut mereka.

Dan perlu diketahui bahawa terdapat pelbagai bentuk peperangan pertahanan di antara kebenaran dan kebatilan, misalnya: menjelaskan kebenaran dan memadamkan syubhat dikira sebagai mempertahankan kebenaran, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran turut dikira sebagai mempertahankan kebenaran.

Selain itu, menjelaskan jalan orang-orang beriman dan jalan orang-orang jahat juga adalah salah satu bentuk pertahanan. Begitu juga sabar dan teguh dalam menghadapi ujian daripada musuh-musuh yang kafir dan zalim, ia juga adalah satu bentuk pertahanan.

Kemudian, jihad dan perperangan di jalan Allah SWT merupakan bentuk utama dalam pertahanan ini untuk menentang kejahatan golongan yang kafir dan kemungkaran mereka daripada tanah-tanah umat Islam, begitu juga menentang agama mereka, diri mereka, dan harta benda mereka.

Ibnu Taimiyah pernah berkata:

“Terdapat jihad yang perlu dilakukan dengan tangan, ada juga yang perlu dilakukan dengan hati, dakwah, hujah, penerangan, memberikan pendapat, pentadbiran, begitu ada juga yang diperlukan dengan hasil produksi; mereka perlu berusaha sehabis baik dalam melakukan apa yang mereka mampu. Manakala bagi mereka yang tidak mampu untuk berperang disebabkan keadaan tertentu, mereka perlulah menyokong para pejuang dalam membantu keluarga mereka dan membantu kewangan mereka.”

Dan apa yang berlaku sekarang di Gaza yang terkepung adalah, serangan yang jelas dan semua Muslim mesti membela mereka dengan segala cara yang mungkin, setiap seorang perlu membela mereka sesuai dengan kemampuannya, dan tiada alasan bagi sesiapapun untuk tidak membela mereka, sehinggalah serangan itu berakhir dan keganasan itu dihentikan.

Orang yang mampu membawa senjata perlu mempertahankan mereka dengan jihad dan melakukan tindakan pertahanan sehingga pihak musuh mengundurkan diri. Dan gerakan HAMAS yang berada di tanah yang diberkati perlu untuk terus bergantung sepenuhnya kepada Allah Yang Maha Tinggi dan meminta pertolongan hanya padaNya, dan mereka tidak boleh redha dengan alternatif atau pilihan lain selain daripada jihad, kerana pihak musuh hanya akan berhenti jika ditentang dengan jihad di jalan Allah SWT.

Begitu juga HAMAS harus bertakwa kepada Allah SWT dalam sistem kepimpinan mereka, janganlah mereka menyokong sesiapapun kecuali setelah meyakini bahawa pemimpin yang dipilih itu setuju dengan syariat dan dia redha kepada Allah SWT.

Selain itu mereka juga perlu memupuk dalam diri mereka keikhlasan dan kesetiaan kepada agama ini dan bukannya kepada kumpulan, parti, ataupun tanah air. Mereka juga harus bertakwa kepada Allah dalam kesepakatan suara dan bersatu bersama saudara-saudara mujahidin mereka yang setia, serta menarik tangan mereka daripada parti-parti yang menentang Allah SWT dan RasulNya.

Para ulama pula haruslah membela mereka dengan menyatakan sokongan keapda para mujahidin di Gaza, membimbing umat dan bersolidariti bersama mereka, mengajak umat Islam untuk turut sama menyokong dan berdiri bersama para mujahidin. Begitu juga para ulama perlu berdepan dengan musuh-musuh daripada golongan Yahudi dan Amerika dengan memberikan kenyataan yang tegas dan keras serta memerintahkan mereka untuk menghentikan kezaliman dan keganasan.

Adapun bagi orang-orang kaya dalam kalangan umat Islam, mereka haruslah membela dengan membantu mereka di Gaza dengan menggunakan wang, di mana ianya dapat meringankan penderitaan mereka dan membantu mereka dalam jihad melawan musuh-musuh mereka.

Kemudian, bagi umat Islam secara umumnya, mereka haruslah membela umat Islam di Gaza dengan cara bersikap cakna tentang urusan mereka, turut merasakan dukacita ke atas penderitaan mereka, mendoakan untuk mereka, dan menyokong mereka sebaik mungkin.

  1. Sunnah Ujian dan Pemurnian: Allah SWT telah berfirman:

ﵟوَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّى نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنْكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْﵞ

Dan Kami akan menguji kamu (wahai orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang yang berjuang daripada kalangan kamu, dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami), dan sehingga Kami dapat mengesahkan (tentang kebenaran atau kepalsuan) berita-berita tentang keadaan kamu.” (Muhammad: 31).

Dalam ayat yang lain, Allah SWT juga ada berfirman sebagai satu komen ke atas peristiwa Uhud:

ﵟمَا كَانَ اللَّهُ لِيَذَرَ الْمُؤْمِنِينَ عَلَى مَا أَنْتُمْ عَلَيْهِ حَتَّى يَمِيزَ الْخَبِيثَ مِنَ الطَّيِّبِﵞ

Allah tidak akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu (orang-orang kafir) berada sekarang sehingga Allah membezakan yang buruk daripada yang baik.” (Ali Imran: 179) dan dalam peristiwa yang sama, Allah SWT telah berfirman:

ﵟوَمَا أَصَابَكُمْ يَوْمَ الْتَقَى الْجَمْعَانِ فَبِإِذْنِ اللَّهِ وَلِيَعْلَمَ الْمُؤْمِنِينَﵞ
ﵟوَلِيَعْلَمَ الَّذِينَ نَافَقُواﵞ

Dan apa yang telah menimpa kamu pada hari kedua kelompok bertemu itu, ianya terjadi dengan izin Allah, dan ianya berlaku agar Allah mengetahui orang-orang yang beriman, dan untuk mengetahui orang-orang yang munafik.” (Ali Imran: 166-167)

Imam Ibnu Kathir ada menyatakan berkenaan ayat kedua ini: “Ianya bermakna bahawa pasti akan ada sesuatu yang akan berlaku dalam bentuk ujian, yang mana ianya akan menzahirkan siapa yang ingin memenangkan agama Allah, dan akan menjadikan musuhNya hina, sehinggakan dengan ujian tersebut, orang mukmin yang sabar dan orang munafiq yang fasiq dapat dikenali.”

Jika diperhatikan peristiwa-peristiwa yang berlaku di Gaza daripada perspektif sunnah ujian dan pemurnian, kita dapat melihat bahawa sunnah yang teguh ini sedang berjalan dengan izin TuhanNya untuk memberikan hasil yang dikehendaki Allah Yang Maha Tinggi.

Di antara hasil tersebut adalah kelembutan dan rahmat daripada Allah SWT, yang dapat dilihat dalam pemurnian orang mukmin di Palestin dan di luar Palestin.

Demikian juga dalam pemisahan kelompok-kelompok sehinggalah mereka yang munafiq dan mempunyai hati yang rosak terpisah dan keadaan mereka terbongkar di hadapan manusia, dan sehingga orang-orang mukmin boleh mengenali diri mereka sendiri, menyedari kelemahan dan cabaran yang ada dalam diri mereka yang menghalang mereka daripada kemenangan dan daripada mendapatkan bantuan daripada Allah SWT.

Maka ketika kelompok-kelompok telah terpisah dan orang-orang munafiq telah jatuh tatkala berlakunya ujian, dan ketika itu orang-orang mukmin yang sabar dan jujur dapat keluar daripada ujian tersebut seperti emas tulen yang dibersihkan daripada kotorannya dengan cara ianya dipanaskan di dalam api, pada saat itulah kemenangan akan tiba bagi hamba-hamba Allah yang tulus hatinya, yang berhak untuk Allah perangi golongan yang kafir demi mereka, dan memperkukuhkan agama mereka yang diredhai Allah SWT.

  1. Hikmah dan Kasih Sayang Allah: Di antara hikmah terbesar dan kasih sayang Allah yang kita dapat lihat dalam peristiwa Gaza melalui perspektif sunnah Ilahi adalah:

Pertama: Tersingkapnya orang-orang yang munafiq yang menyusup dalam barisan orang-orang mukmin: Dan ianya berlaku sama ada mereka menyusup dalam kalangan orang Palestin ataupun selain mereka. Dan ini merupakan rahmat bagi umat Islam, di mana keadaan orang-orang munafiq tersebut terbongkar, bahkan sifat hipokrit dan khianat mereka juga terbongkar, maka dengan itu, umat Islam dapat mengenal pasti dan menjauhkan diri daripada mereka.

Kedua: Para mujahidin dapat mengenali diri mereka sendiri serta kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri mereka, begitu juga mereka dapat mengetahui kadar kemampuan kesabaran dan keteguhan jiwa mereka, yang mana kesemua itu tidak akan dapat disingkap tanpa ujian dan pemurnian ini. Dan terdapat kebaikan pada perkara ini sekiranya ianya membawa kepada perubahan dan pembebasan diri daripada segala apa yang menrosakkan hati dan melambatkan kemenangan.

Ketiga: Daripada peristiwa-peristiwa ujian tersebut, kita dapat mengetahui siapakah kawan mahupun lawan, dan ianya merupakan sesuatu yang positif bagi para mujahidin di Gaza; di mana mereka dapat membezakan siapakah yang menyokong dan siapakah yang menentang, sama ada pada peringkat individu mahupun institusi ataupun pemerintahan.

  1. Sunnah Perubahan: Allah SWT telah berfirman:

ﵟإِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْﵞ

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu sehinggalah mereka sendiri yang mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri” (Ar-Ra’d: 11) dan Allah Taala juga berfirman tentang peristiwa Uhud:

ﵟأَوَلَمَّا أَصَابَتْكُمْ مُصِيبَةٌ قَدْ أَصَبْتُمْ مِثْلَيْهَا قُلْتُمْ أَنَّى هَذَا قُلْ هُوَ مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌﵞ

Apabila kamu ditimpa sebuah musibah, di mana kamu telah ditimpa dengan sebuah musibah yang sama, kamu mengatakan, ‘Daripada puncanya musibah ini?’ Katakanlah, ‘Ini adalah berpunca daripada dirimu sendiri.’ Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu” (Al-Imran: 165)

Dalam kedua-dua ayat tersebut, Allah SWT telah memberikan peringatan kepada hamba-hambaNya yang beriman agar bermuhasabah diri dan keadaan mereka, serta memulakan proses perubahan diri bermula daripada dalam diri sendiri, menuju kepada apa yang dicintai dan diredhai oleh Allah SWT.

Ini kerana kebanyakan penderitaan yang dialami umat Islam, sama ada pada individu mahupun kelompok, ianya adalah disebabkan oleh perbuatan mereka sendiri. Oleh kerana itu, dalam situasi seperti ini, penting untuk bermuhasabah diri, merefleksi diri, dan menjauhkan diri daripada segala apa yang akan menyebabkan kekalahan serta apa yang boleh memberikan kekuasaan kepada musuh, iaitu seperti dosa, maksiat, perpecahan, dan juga hawa nafsu. Dan dari sinilah bermulanya proses perubahan diri.

Mungkin ada yang akan berkata, “Saudara-mara kita di Gaza sekarang sedang menghadapi pengepungan dan keganasan; adakah ini waktu yang sesuai untuk menilai diri sendiri dan bermuhasabah?”.

Jawapannya adalah Ya! Inilah waktunya, bahkan ini merupakan waktu yang paling tepat. Jika kita tidak memiliki keberanian untuk melakukannya sekarang, maka bila lagi kita akan lakukan? Ini sama seperti apa yang telah Allah SWT katakan kepada para waliNya iaitu para Sahabat, dalam peristiwa peperangan Uhud, ketika darah mereka masih baru mengalir dan luka mereka belum sembuh.

  1. Sunnah Istidraj untuk golongan kafir dan munafik: Allah SWT telah berfirman:

ﵟوَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّمَا نُمْلِي لَهُمْ خَيْرٌ لِأَنْفُسِهِمْ إِنَّمَا نُمْلِي لَهُمْ لِيَزْدَادُوا إِثْمًا وَلَهُمْ عَذَابٌ مُهِينٌﵞ

Dan janganlah orang-orang yang kafir itu menyangka bahwa penundaan yang Kami berikan kepada mereka itu lebih baik bagi diri mereka. Kami hanya menundakan bagi mereka untuk memberikan kepada mereka dosa yang semakin bertambah; dan memberikan mereka azab yang lebih menghinakan” (Ali Imran: 178) dan Allah Taala juga berfirman:

ﵟ‌أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُمْ بِهِ مِنْ مَالٍ وَبَنِينَﵞ
ﵟنُسَارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْرَاتِ بَلْ لَا يَشْعُرُونَﵞ

Apakah mereka menyangka bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu adalah disebabkan kebaikan? Kami memberikan kepada mereka kebaikan itu (hanya) untuk mempercepatkan kebinasaan mereka. Sebenarnya mereka tidak menyedari (tentang hal itu)” (Al-Mu’minun: 55-56)

Dan sunnah ini telahpun berlaku pada masa seperti ini, terutama di kem ketenteraan golongan kafir dan munafiq, khususnya bagi mereka yang berada pada peringkat yang membuatkan mereka berasa penuh kesombongan, keangkuhan, dan kezaliman. Dan kita dapat melihat mereka semakin hari semakin zalim, sombong, dan semakin menindas, dan disebabkan itu, kita melihat mereka tetap kekal berkuasa dan seolah akan menang, sebagaimana yang berlaku sekarang pada negara Amerika dan Yahudi.

Mereka melakukan kezaliman, menindas, dan bersikap sombong sama seperti apa yang dilakukan oleh kaum ‘Ad yang merupakan bangsa kaum Nabi Hud, di mana mereka pernah berkata: “Siapakah yang lebih kuat daripada kami?”

Dan mungkin timbul sebuah perasaan dalam hati sesetengah umat Islam, ketika mereka melihat orang-orang kafir ini melakukan kejahatan dan menindas, namun mereka masih dibiarkan oleh Allah, dan Allah tidak menghukum mereka!

Dan kemungkinan sesetengah umat Islam hampir putus asa dan merasa kecewa, namun bagi seorang Muslim yang memahami sunnah Allah SWT, yang merenunginya, dan melihat kesan dan “hasil kerja”Nya yang telah berlaku pada umat-umat terdahulu; orang seperti ini tidak akan terpengaruh dengan perkara sebegini!

Kerana dia memandang dengan perspektif sunnah ini, dia memahami bahawa orang kafir pada hari ini, terutamanya Amerika dan negara Yahudi, sebenarnya mereka sedang hidup dalam sunnah Istidraj, yang membuatkan mereka untuk melakukan lebih banyak kezaliman, penindasan, dan menambahkan kesombongan. Dan apabila tiba masanya, ianya akan membawa mereka menuju kepada sebuah kehancuran yang pasti, iaitu kebinasaan dan kehancuran, dan ianya akan berlaku pada waktu yang telah ditetapkan oleh Allah untuk mereka, sebagaimana dalam firman Allah SWT:

ﵟ‌وَتِلْكَ الْقُرَى أَهْلَكْنَاهُمْ لَمَّا ظَلَمُوا وَجَعَلْنَا لِمَهْلِكِهِمْ مَوْعِدًاﵞ

Dan kota-kota itu Kami telah binasakan ketika penduduknya zalim, dan Kami telah tetapkan waktu bagi kebinasaan mereka” (Al-Kahfi: 59)

Maka peluang yang diberkan kepada orang kafir, dan mereka dibiarkan untuk menguasai kaum Muslimin untuk sementara waktu; ianya sebenarnya merupakan sebuah ujian dan pemurnian bagi orang-orang yang beriman, sehinggalah ketika sunnah ujian membuahkan hasil, dan ianya mengeluarkan orang yang beriman daripada segala ujian, dalam keadaan hati & jiwa mereka bersih.

Dan pada saat itu, sunnah penangguhan juga hampir tiba ke penghujungnya, dan Allah SWT akan menghukum orang kafir, dana hukuman Allah SWT terhadap mereka itu adalah sebagai tanda kehormatan bagi orang-orang yang beriman dan telah diuji, dan merekalah yang Allah SWT akan berikan kekuasaan untuk mentadbir bumi setelah Dia menghancurkan orang-orang kafir, ini dapat dilihat sepertimana yang telah Allah SWT firmankan:

ﵟ‌وَلِيُمَحِّصَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَمْحَقَ الْكَافِرِينَﵞ

Dan agar Allah menguji orang-orang yang beriman dan memusnahkan orang-orang kafir” (Ali Imran: 141)

Dalam ayat tersebut, Allah SWT telah menyebutkan tentang berlakunya ujian dan pemurnian sebelum berlakunya pemusnahan, dan seandainya Allah SWT menghancurkan orang-orang kafir sebelum menguji orang-orang beriman, maka tidak akan kelihatan perbezaan antara yang baik dan yang buruk di antara mereka semua.

Oleh itu, dalam berpegang teguh pada sunnah penangguhan, kita akan dapati beberapa faedah daripadanya, antaranya adalah: tidak berasa takut dan tidak akan tertipu dengan kekuatan musuh (Yahudi, Amerika, dan lain-lain) kerana kemenangan hanya berada pada kekuasaan Allah SWT semata, sebagaimana dalam Allah SWT:

ﵟكَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَﵞ

Berapa banyak golongan kecil yang mengalahkan golongan besar dengan izin Allah. Dan Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar” (Al-Baqarah: 249)

Oleh yang demikian, Allah SWT telah menangguhkan hukuman kepada musuh-musuhNya bukanlah untuk membiarkan kezaliman mereka kekal, kerana kalau Allah SWT ingin terus menghancurkan mereka, nescaya Dia boleh lakukannya, tetapi Allah SWT memiliki hikmahNya yang tersendiri dalam menangguhkan kehancuran ini.

Dan iman seorang mukmin kepada Allah SWT akan menghilangkan rasa putus asa daripada dirinya, serta akan menghilangkan kekecewaan dan ketakutan yang timbul dek kerana kekuasaan musuh dan kekuatan mereka.

Ya Allah, tetapkanlah kami dengan kenyataan yang teguh dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.. Ya Allah, rahmatilah hamba-hambaMu yang beriman, dan lindungilah mereka yang berada di Palestin, Iraq, Afghanistan, dan di mana saja, dan kembalikanlah orang-orang Islam kepada agama mereka dengan baik.

Ya Allah, hentikanlah pertumpahan darah mereka, dan peliharalah agama, kehormatan, dan harta benda mereka. Ya Allah, rawatlah hati kami dan sucikanlah mata kami dengan kemenangan agamaMu dan para waliMu.. Amin.

Rujukan:

  1. Uthaimin, Muhammad bin Soleh, Syarh Riyadhus Solihin, edit: Basyar Iwadh Ma’ruf, (Riyadh: Madar al Watan lil Nasyr, 2008M).
  2. Ibn Qayyim, Muhammad bin Abu Bakr Ayyub, Zad al Ma’ad fi Hadyi Khair al Ibad, edit: Syuaib al Arnaut dan Abdul Kadir al Arnaut, (Beirut: Muassasah ar Risalah, 1986M).
  3. Muhammad Rasyid bin Ali Redha, Tafsir al Manar, edit: Dr Abdullah bin Abdul Muhsin at Turki, (Mesir: al Hai’ah al Misriyah al ‘Ammah li al Kitab, cet: 1, 1990M).
  4. Ibn Hajar, Ahmad bin Ali Abu al Fadhl al Asqalani, Fathul Bari, (Beirut, Lubnan: Dar al Ma’rifah, cet: 2).
  5. Al Qurtubi, Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakr, al Jami’ li Ahkam al Quran, edit: Samir al Bukhari, (Riyadh: Dar Alam al Kutub, 1423H/2003M).
  6. Ibn Juzay, Abu al Qasim Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin Abdullah, at Tashil li Ulum at Tanzil, edit: Abdullah al Khalidi, (Beirut, Lubnan: Dar al Arqam bin Abi al Arqam, cet: 1, 1416H).
  7. As Syanqiti, Muhammad al Amin bin Muhammad al Mukhtar, al ‘Azb an Namir min Majalis as Syanqiti fi at Tafsir, edit: Khalid bin Uthman as Sabt, (Makkah al Mukarramah: Dar ‘Alam al Fawa’id, cet: 2, 1426H).
  8. Ibn Taimiyah, Taqiuddin Abu al Abbas Ahmad bin Abdul Halim, al Ikhtiyarat al Fiqhiyah, edit: Ali bin Muhammad bin Abbas al Ba’li ad Dimasyqi, (Beirut, Lubnan: Dar al Ma’rifah, 1978M).
  9. Ibn Kathir, Imaduddin Abu al Fida’ Ismail bin Kathir, Tafsir al Quran al ‘Azim, edit: Mustafa Sayyid Muhammad dan lain-lain, (Giza: Muassasah Qurtubah, cet: 1, 2000M).

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading