1. Seorang sahabat bekas pengarang akhbar New Straits Times berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak bermusuh dan tidak takut kepada Dr Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin.
  2. Katanya, mereka ini pernah bersahabat dan saling bantu membantu. Lagipun Dr Mahathir dan Daim sudah tidak ada kuasa lagi sedangkan Anwar adalah Perdana Menteri. Jadi Anwar tidak perlu takut kepada mereka.
  3. Tetapi katanya, sebagai strategi untuk mengekalkan sokongan otai reformasi dan menarik sokongan generasi pengundi 18 yang tidak kenal siapa beliau sebenarnya, Anwar terpaksa terus menggambarkan Dr Mahathir dan Daim sebagai musuh yang berbahaya.
  4. Umumnya saya setuju dengan pendapat sahabat saya itu. Dr Mahathir menghadapi penolakan dalam Pilihan Raya Umum 2022 manakala Daim sudah lama mengundurkan diri daripada politik.
  5. Kali terakhir beliau berkempen adalah dalam PRU 2018 bagi memenangkan Pakatan Harapan (PH) supaya Dr Mahathir boleh jadi Perdana Menteri dan mendapatkan pengampunan diraja bagi Anwar.
  6. Cuma oleh sebab dua orang veteran ini pernah terlibat menaik dan menurunkan beliau dari menara politik, maka Anwar dan para otai beliau terus dihantui oleh mereka. Dr Mahathir bagi mereka masih “Mahazalim” dan “Mahafiraun”. Bagi menyedapkan pidatonya, Anwar telah menjadikan “maha” sebagai kata sifat untuk Dr Mahathir dan Daim.
  7. Memang betullah yang dua orang ini amat kenal dan tahu mengenai Anwar sejak sebelum beliau menyertai Umno pada tahun 1982. Apatah lagi selepas itu.
  8. Mantera Dr Mahathir dan Daim sebagai musuh yang jahat dan berbahaya ini ada kesannya. Ramai pengikut Anwar, khususnya generasi undi 18 yang cergas di media sosial, percaya mantera ini. Mereka amat memusuhi “Atok” dan orang-orang yang mereka anggap rapat dengan beliau.
  9. Setakat ini, nampak bahawa beliau telah berjaya mengekalkan Dr Mahathir dan Daim sebagai musuh atau “nemesis”. Ini ada modus operandi beliau.

Sejak mula beliau memasuki dunia politik protes pada awal tahun 1970-an, beliau sentiasa mewujudkan musuh seperti Don Quixote yang menjadikan kilang angin (windmill) sebagai gergasi yang dahsyat.

  1. Pada tahun 1970-an, musuh beliau adalah kerajaan yang dituduhnya mengabaikan petani dan golongan miskin lain. Beliau menampilkan diri sebagai pejuang marhaen yang menentang kapitalis dan bourgeois.
  2. Apabila masuk Umno beberapa hari sebelum Pilihan Raya Umum 1982 dan mara dengan pantas dalam hierarki Umno dan kerajaan, beliau memperagakan pula keintektualan, agama dan internasionalisme.
  3. Beliau menjadi sangat mesra dengan golongan kapitalis dan bourgeois. Malah keterampilan beliau turut dipengaruhi oleh unsur-unsur hedonisme yang diamalkan oleh sesetengah sahabatnya yang pada waktu itu sedang mabuk menjadi “Melayu Baru”.
  4. Baru-baru ini beliau ditajukberitakan “kamu sakit ke, kamu Tun ke, aku tak peduli” yang pastinya merujuk kepada Dr Mahathir dan Daim yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
  5. Cuma mantera dan tunjuk berani itu boleh menjadi senjata makan tuan kerana sampai hari ini beliau masih gagal mengemukakan bukti rasuah terhadap Dr Mahathir walaupun sudah lebih 30 tahun mendakwa mempunyai berkotak-kotak bukti. Sebaliknya, beliau memohon lanjutan masa daripada Mahkamah untuk menjawab saman sivil Dr Mahathir terhadapnya.
  6. Nampaknya Anwar masih takut bayang-bayang Dr Mahathir dan Daim manakala otai reformasi percaya dua watak ini masih cukup berpengaruh untuk menjatuhkan Anwar. Penyokong muda pula boleh diperkotak-katikkan dengan cerita masa silam yang mereka tidak tahu.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading